Gelakkan seluruh Malaysia ditewaskan Thailand, wanita misteri Vietnam 'koyak' akhirnya bongkar rahsia Ryuji Sato


  • Podium
  • Selasa, 17 Jan 2023

Wanita Vietnam itu menafikan Ryuji Sato merupakan suaminya. — TikTok/My Linh

"SAYA masih belum bersuami."

Demikian respons My Linh, wanita misteri Vietnam yang sebelum ini dikatakan memiliki hubungan istimewa bersama pengadil kontroversi Jepun, Ryuji Sato.

Wanita terbabit membuat pengakuan secara terbuka itu selepas sekali lagi diserang 'tentera bawang' Malaysia sebaik memuat naik entri di Instagram peribadinya, @leen0320 yang menyifatkan skuad Harimau Malaya bukan tandingan Thailand ketika tewas menerusi agregat 1-3 di peringkat separuh akhir kempen Piala AFF 2022 baru-baru ini.

ryujilatest4

My Linh menafikan laporan media Malaysia bahawa Ryuji Sato merupakan suaminya.

Pada masa sama, My Linh menganggap laporan media Malaysia mengenai hubungannya bersama Ryuji Sato juga sesuatu yang melucukan, namun dia masih tidak mengulas lanjut sama ada benar-benar memiliki hubungan istimewa bersama pengadil kontroversi itu ataupun tidak.

Begitupun, lagak wanita terbabit seolah-olah memakan diri sendiri apabila skuad kesayangannya, Vietnam juga ditewaskan Thailand secara agregat 2-3 di pentas final pada Isnin, sekali gus merupakan kejayaan ketujuh Thailand mendakap trofi Piala AFF.

Terdahulu, seluruh platform media sosial My Linh dihujani kritikan netizen Malaysia gara-gara keputusan kontroversi Ryuji Sato melayangkan kad merah kepada tonggak Harimau Malaya, Mohamad Azam Azmi Murad ketika skuad kebangsaan tewas 0-3 dalam aksi Kumpulan B sebelum ini.

ryujilatest3

Entri Instagram My Linh yang seolah-olah mentertawakan kekalahan Harimau Malaya di tangan Thailand tempoh hari.

Ia rentetan My Linh memuat naik gambar mesranya bersama Ryuji Sato, sekali gus membangkitkan kemarahan seluruh rakyat Malaysia yang mendakwa pengadil itu berat sebelah serta berpihak kepada Vietnam.

Ia bukan kali pertama Ryuji Sato bertindak sedemikian apabila dia turut memberikan sepakan penalti kontroversi kepada Vietnam ketika seri 1-1 dengan skuad kebangsaan pada penghujung aksi kelayakan Piala Asia 2023 di Dubai sebelum ini.

Cuma, aksi antara Vietnam dan Malaysia besar kemungkinan yang terakhir buat Ryuji Sato apabila dia dilaporkan sudah berusia 46 tahun, sekali gus terpaksa mengucapkan selamat tinggal buat dunia pengadilan profesional bertaraf antarabangsa.

Selain Ryuji Sato, pengadil dari Korea Selatan, Kim Dae-yong juga membangkitkan kemarahan ekor sejati Harimau Malaya apabila membatalkan jaringan Dominic Tan ketika aksi separuh akhir pertama Piala AFF di Stadium Nasional, Bukit Jalil sebelum ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram