Malaysia 'berkabung' tewas kepada Vietnam, tapi ada pula yang bersorak


  • Podium
  • Rabu, 28 Dis 2022

Harimau Malaya berdepan tugas sukar sekiranya berhasrat untuk mara ke separuh akhir Piala AFF 2022.

PERSEMBAHAN kurang meyakinkan skuad Harimau Malaya ketika perlawanan ketiga Kumpulan B Piala AFF 2022 menentang Vietnam, menyaksikan mereka tewas dengan skor 0-3 di tempat lawan.

Meskipun berjaya mendapatkan rentak terbaik dalam dua aksi pertama, reputasi dan kemampuan juara dua kali kejohanan tersebut sememangnya sukar untuk dipersoalkan.

Namun, apa yang lebih menarik perhatian dalam pertembungan itu ialah mutu pengadilan, lebih-lebih lagi apabila keputusan Ryuji Sato sebagai pengadil hangat diperdebatkan.

Selepas melayangkan kad merah kepada pemain Vietnam, Nguyen Van Toan pada separuh masa pertama, skuad kebangsaan dilihat mula mendapatkan rentak dan lebih berani untuk melakukan percubaan.

Bagaimanapun, kontroversi tercetus apabila pada minit ke-64, pengadil berasal dari Jepun itu menghadiahkan sepakan penalti kepada pihak lawan berpunca daripada kekasaran pertahanan kanan Harimau Malaya, Azam Azmi Murad.

Perdebatan terus diperhangatkan setelah perbincangan bersama pembantunya menyaksikan pemain Terengganu FC tersebut dilayangkan kad merah, sekali gus mencetuskan protes dalam kalangan skuad kebangsaan.

Hal itu dilihat terus dibincangkan dalam media sosial dengan rata-rata penyokong Harimau Malaya tidak berpuas hati dengan keputusan itu yang disifatkan sebagai tidak adil.

WhatsApp Image 2022-12-28 at 11.08.29

Layangan kad merah terhadap Azam mencetuskan tanda tanya. Agensi

Selain itu, keputusan berkenaan juga menyebabkan skuad negara perlu berhempas-pulas ketika aksi terakhir kumpulan menentang Singapura pada 3 Januari sekiranya mahu mara ke peringkat separuh akhir.

Tetapi, apa yang menariknya adalah apabila terdapat segelintir pihak yang seakan-akan mahu memarakkan api kemarahan dengan mempersoalkan kualiti pasukan secara keseluruhan.

Perkara itu sememangnya bukan sesuatu yang baharu dalam kempen Piala AFF tahun ini selepas beberapa pemain dilaporkan enggan menyertai skuad kebangsaan untuk kejohanan tersebut.

Ini termasuk keputusan juara Liga Super, Johor Darul Takzim (JDT) yang tidak mahu tonggak pasukan terlibat dengan berpendapat penglibatan mereka tidak akan membawa kesan besar.

Tinjauan di ruangan Facebook mendapati rata-rata penyokong skuad Harimau Selatan seolah-olah tidak terkesan dengan kekalahan dan keputusan tidak adil yang berlaku dalam pertembungan itu.

"Nasib baik bukan pasukan yang dipenuhi pemain JDT yang bermain malam ni (Selasa)... Kalau tidak, pasti hater cakap pengadil sudah dibayar untuk perlawanan itu," kata Martelo Gomezz.

"Dah nampak kan sekarang? Dari mula-mula lagi Kim Pan-gon kata tiada pemain JDT susahlah untuk kempen Piala AFF kali ini, dah nampak bukan kebenarannya?," kata Jamaludin Din.

"Sebahagian penyokong Harimau Malaya, khasnya haters JDT riak dengan dua kemenangan terdahulu tanpa ramai player JDT. Apabila bertemu Vietnam baru terserlah kelemahan mentaliti pemain terlalu dipuji-puji," kata Jasmin Dayumi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram