MEDEBARKAN. Itu yang boleh disimpulkan dalam aksi separuh akhir pertama Piala AFF 2022 melibatkan skuad bola sepak kebangsaan bertemu Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Menerus perlawanan itu, gol pertama dijaringkan pemain sayap, Faisal Halim pada minit ke 12.
Selepas itu, Thailand mula melakukan asakan bertalu-talu ke arah pintu gol hingga membuatkan barisan pemain pertahanan Harimau Malaya terpaksa bekerja keras mempertahankan kelebihan satu gol itu.
Memasuki separuh masa kedua, skuad Gajah Perang juga terus garang mengasak dan nyaris menjaringkan gol pada minit-minit awal permainan.
Aksi Faisal Halim (tengah) ketika menjaringkan gol pertama Harimau Malaya ketika bertemu Thailand di SNBJ. — Facebook/FAM
Namun, anak buah Kim Pan-gon nyaris menemukan gol kedua berpunca daripada sepakan percuma yang diambil oleh Lee Tuck.
Lambungan bola itu berjaya ditanduk Dominic Tan sebelum masuk ke dalam gol namun dibatalkan oleh pengadil, Kim Dae-yong.
Ini kerana, Dae-yong mengatakan terdapat kekasaran ketika perebutan bola di udara sedangkan menerusi ulang tayang mendapati Dominic berjaya menanduk bola dengan baik.
Dae-Yong juga mengambil masa lebih daripada lima minit sebelum membatalkan gol tersebut secara rasmi sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan penyokong.
Difahamkan, berlaku tindakan menyiku terhadap penjaga gol sedangkan kekasaran itu dilakukan oleh pemain Thailand sendiri.
Untuk rekod, pengadil dalam perlawanan antara skuad kebangsaan bertemu Vietnam sebelum ini, Ryuji Sato dari Jepun juga pernah mendapat kecaman penyokong ekoran keputusan tidak tepatnya.
Sato melayangkan kad merah kepada pemain Harimau Malaya (HM) Azam Azmi Murad yang didakwa mengasari Doan Van Hau diluar garisan padang pada aksi perlawanan Kumpulan B AFF Mitsubishi Electric Cup 2022 di antara Malaysia menentang Vietnam di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi pada 27 Disember lalu.
Tindakan pengadil dari Jepun itu membuatkan seluruh rakyat Malaysia berang kerana berasakan keputusan yang dibuat berat sebelah sehingga menyebabkan skuad bimbingan Kim Pan-gon tumpas 0-3 kepada Vietnam.
Nama Dae-yong juga sebelum ini pernah menjadi sasaran penyokong skuad Vietnam ketika perlawanan penentuan pingat gangsa berdepan UAE dalam saingan Sukan Asia 2018 yang lalu.
Ini kerana, Dae-yong telah memberikan keputusan yang tidak tepat kepada Vietnam yang akhirnya membawa kepada sepakan penalti hingga mengubah keputusan perlawanan penentuan tempat ketiga acara bola sepak Sukan Asia 2018 itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram