Surat kepada AFF: FAM mahu tindakan diambil, tak puas hati mutu pengadilan aksi HM-Vietnam


  • Podium
  • Khamis, 29 Dis 2022

Kontroversi tercetus apabila pengadil dari Jepun, Ryuji Sato memberikan sepakan penalti kepada tuan rumah dan turut melayangkan kad merah kepada Muhammad Azam Azmi Murad pada minit ke-62.

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) telah menghantar surat rasmi kepada Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) berhubung ketidakpuasan hati badan itu ke atas mutu pengadilan pada aksi penuh kontroversi melibatkan Vietnam dan Malaysia dalam saingan Kumpulan B Piala AFF 2022 di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi, Vietnam Selasa lepas.

Setiausaha Agung FAM Noor Azman Rahman dalam kenyataan memaklumkan tindakan mengutus surat kepada AFF pada Khamis dilakukan selepas Sekretariat Agung FAM mendapatkan pandangan daripada Jawatankuasa Penilai Pengadil FAM dipengerusikan Timbalan Presiden FAM, Datuk S Sivasundaram yang telah berbincang dan meneliti klip video beberapa insiden sepanjang perlawanan berkenaan.

"Susulan itu, surat rasmi yang menyatakan ketidakpuasan hati FAM terhadap tindakan dan keputusan pengadil pada perlawanan berkenaan telah pun dihantar ke Setiausaha Agung AFF, Winston Lee pada petang tadi bagi memastikan tindakan selanjutnya dapat diambil oleh badan induk bola sepak Asia Tenggara itu,” katanya.

Kontroversi tercetus apabila pengadil dari Jepun, Ryuji Sato memberikan sepakan penalti kepada tuan rumah dan turut melayangkan kad merah kepada Muhammad Azam Azmi Murad pada minit ke-62 selepas pengadil dari Jepun itu mendakwa pemain muda Terengganu FC telah melakukan kekasaran ke atas Doan Van Hau di luar padang.

Kesempatan itu digunakan sebaiknya Que Ngoc Hai untuk menggandakan jaringan selepas Nguyen Tien Linh meletakkan pasukan di depan pada separuh masa pertama sebelum Vietnam melengkapkan kemenangan bergaya 3-0 hasil penyudah Nguyen Hoang Duc menghampiri masa penuh.

Kekalahan tersebut menyaksikan Malaysia gagal menamatkan kemarau tanpa kemenangan ke atas juara dua kali Piala AFF itu sejak 2014 - tewas tujuh kali dan seri sekali, sementara kejayaan itu membolehkan Vietnam mendahului saingan Kumpulan B dengan mengumpul enam mata selepas dua perlawanan.

Malaysia kini menduduki tangga kedua selepas mengumpul enam mata diikuti Singapura yang baru melengkapkan dua perlawanan di tempat ketiga (enam mata) manakala Myanmar dan Laos tercorot selepas gagal mengutip sebarang mata. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Piala AFF, FAM, Malaysia, Vietnam, Hanoi