[EKSKLUSIF] Keputusan berat sebelah, pengadil kontroversi tunggu masa 'gantung but'


  • Podium
  • Ahad, 08 Jan 2023

Nama Kim Dae-yong (kiri) dan Ryuji Sato cukup hangat diperkatakan peminat bola sepak tempatan ketika ini. — Agensi

DUA pengadil kontroversi, Kim Dae-yong dari Korea Selatan dan Ryuji Sato (Jepun) sememangnya nama yang cukup dibenci seluruh rakyat Malaysia ketika ini.

Ia ekoran keputusan kedua-dua pengadil itu yang dikatakan berat sebelah ketika mengadili dua aksi penting membabitkan skuad Harimau Malaya pada kempen Piala AFF 2022.

Dalam aksi separuh akhir pertama antara skuad kebangsaan dan Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu, peluang Harimau Malaya membawa bekalan dua gol ke tempat lawan dinafikan Kim Dae-yong selepas tandukan Dominic Tan yang masuk ke gawang gol lawan pada babak kedua tidak disahkan.

Disebabkan itu, skuad bimbingan Kim Pan-gon berdepan tugas getir menjelang aksi timbal balik separuh akhir kedua di Stadium Thammasat, Bangkok pada Selasa apabila cuma memiliki satu defisit gol hasil jaringan tunggal Faisal Halim.

kim dae yonggggg

Mutu pengadilan Kim Dae-yong (tengah) dikritik ramai pihak — FAMalaysia Official

Keputusan kontroversi Dae-yong itu sekali gus membuatkan penyokong berasa tidak puas hati sama seperti pengadil dalam perlawanan menentang Vietnam sebelum ini, Ryuji Sato.

Untuk rekod, Ryuji Sato melayangkan kad merah kepada pemain Harimau Malaya, Azam Azmi Murad yang didakwa mengasari Doan Van Hau diluar garisan padang pada aksi perlawanan Kumpulan B AFF Mitsubishi Electric Cup 2022 di antara Malaysia menentang Vietnam di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi pada 27 Disember lalu.

Tindakan pengadil dari Jepun itu membuatkan seluruh rakyat Malaysia berang kerana berasakan keputusan yang dibuat berat sebelah sehingga menyebabkan skuad bimbingan Kim Pan-gon tumpas 0-3 kepada Vietnam.

Malah, sentimen luar padang apabila Ryuji Sato dikatakan menjalinkan hubungan istimewa bersama wanita Vietnam yang dikenali sebagai My Linh ekoran gambar mesra mereka bertebaran secara meluas di media sosial juga menyemarakkan lagi api kemarahan ekor sejati Harimau Malaya.

ryujisatooooo2

Keputusan kontroversi Ryuji Sato ketika melayangkan kad merah terhadap Azam Azmi dalam aksi Malaysia-Vietnam pada 27 Disember lepas — Facebook

Cuma pada masa sama, Ryuji Sato dikatakan hanya menunggu masa untuk mengucapkan selamat tinggal kepada dunia pengadilan bola sepak apabila 2023 merupakan tahun terakhirnya sebagai pengadil profesional Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Seorang pegawai kanan bola sepak yang enggan didedahkan namanya berkata, had umur maksimum pengadil adalah berusia 45 tahun sebelum dikehendaki bersara sebagai pengadil profesional pada hujung tahun terakhir kariernya meskipun masih dianggap cergas dan relevan selaku pengadil.

"FIFA menetapkan syarat bahawa mana-mana pengadil haruslah berusia lebih 18 tahun dan menduduki kelas ujian sekurang-kurangnya pada Tahap 10.

"Selepas berusia 45 tahun, mana-mana pengadil diiktiraf tidak lagi layak untuk mengadili mana-mana perlawanan profesional bagi memberi ruang dan peluang kepada pengadil yang lebih muda dan 'fit', selain tidak lagi dibenarkan menduduki mana-mana kelas ujian pengadilan selepas itu.

"Malah, untuk aksi antarabangsa juga, seorang pengadil diiktiraf juga harus lulus semua ujian level antarabangsa sebelum dia mencecah usia 35 tahun," katanya kepada Majoriti.

Untuk rekod, Ryuji Sato yang dilahirkan pada 16 April 1977 kini sudah berusia 46 tahun sementara Kim Dae-yong yang dilahirkan pada 12 Jun 1981 pula sudah berusia 42 tahun, sekali gus tinggal cuma kira-kira tiga tahun lagi sebelum pencen.

Mengulas lanjut, pegawai kanan berkenaan itu begitupun enggan membuat sebarang spekulasi sama ada keputusan berat sebelah Ryuji Sato adalah disebabkan memiliki sentimen luar padang, tambahan pula ini bukan kali pertama pengadil itu dilihat berpihak kepada Vietnam apabila turut memeberikan sepakan penalti kontroversi kepada Vietnam pada penghujung permainan ketika seri 1-1 dengan Malaysia ketika aksi kelayakan Piala Dunia 2022 di Dubai.

"Pengadil juga manusia, jadi susah nak komen mengenai perkara ini. Jika dia (Ryuji Sato) memang rakyat Vietnam, senang kita nak buat kesimpulan kerana peraturan FIFA jelas tidak membenarkan mana-mana pengadil memiliki hubungan langsung dengan dua negara terlibat dalam satu-satu aksi sebagai pengadil.

"Disebabkan itu, FIFA sudah lama memperkenalkan teknologi video bantuan pengadil (VAR) bagi meminimakan keputusan kontroversi seperti ini, dan ia sewajarnya dituruti semua pihak termasuk AFF (Persekutuan Bola Sepak Asean) dan FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia," tegasnya lagi.

Sebelum ini, bekas pengadil kebangsaan bertaraf FIFA, Subkhiddin Mohd Salleh turut mencadangkan penggunaan VAR khususnya dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) dan Piala AFF bagi mengelakkan kontroversi insiden perlawanan Vietnam-Malaysia berulang.

Pada Sabtu, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim juga mendedahkan bahawa FAM dan Malaysia Football League (MFL) bersetuju untuk melaksanakan VAR dalam saingan Liga M musim depan.

Perkara tersebut dikongsikan TMJ dalam satu ciapannya di Twitter pada Sabtu sejurus sahaja tamat perlawanan antara Malaysia dan Thailand.

Menurut TMJ, perlaksanaan VAR itu sudah dipersetujui dan akan dilaksanakan dalam masa terdekat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram