Dilabel 'budak jahat' Vietnam, 3 kelab elit Liga Super yang cukup ngam sambar Van Hau


  • Podium
  • Rabu, 11 Jan 2023

Van Hau memulakan karier bola sepaknya pada usia 17 tahun dan turut mempunyai pengalaman bermaian dalam Liga Kelab Belanda bersama SC Heerenveen. — Agensi

NAMA pemain Vietnam, Don Van Hau pada ketika ini sememangnya tidak lekang di bibir-bibir penyokong bola sepak Malaysia dan Indonesia.

Manakan tidak, Van Hau dianggap sebagai seorang pemain yang cukup kontroversi pada Piala Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) 2022.

Tindakannya yang tidak profesional dan berlaku kasar pada pemain lawan menyebabkan penyokong berasa geram dan marah.

Antara insiden kekasaran yang dilakukan pemain berketinggian 185 sentimeter itu ialah pada ketika aksi menentang Malaysia pada 27 Disember lalu.

Van Hau dilihat menyiku tonggak pertahanan Harimau Malaya, Azam Azmi di kawasan kotak penalti. Namun pada ketika itu, pengadil yang bertugas, Ryuji Sato tidak melayangkan sebarang kad mahupun memberi sepakan penalti kepada Malaysia.

Ketika menentang Indonesia dalam aksi separuh akhir kedua pula, Van Hau sekali lagi mencetuskan kontrovesi melakukan kekasaran terhadap penyerang skuad Garuda, Dendy Sulistyawan.

Namun begitu, tiada siapa yang boleh menyangkal prestasi permainan menarik yang ditunjukkan oleh Van Hau di atas padang.

Walaupun baru sahaja berumur 23 tahun, pemain pertahanan pasukan Golden Star Warriors ini pernah tersenarai dalam senarai sebagai pemain muda terbaik Vietnam.

Van Hau memulakan karier bola sepaknya pada usia 17 tahun dan turut mempunyai pengalaman bermain dalam Liga Kelab Belanda kbersama kelab SC Heerenveen.

Dia juga dilihat sebagai figura yang penting membawa kejayaan Vietnam menentang pasukan ketika perlawanan final kumpulan Bawah 23 tahun (B-23) pada Sukan SEA 2019 kerana berjaya meledakkan dua gol sekali gus membantu pasukannya mengalahkan skuad Garuda Muda.

Jika dilihat pada sisi positif, kehebatan pemain muda ini pastinya akan mengubah corak permainan bola sepak di Malaysia.

Antara tiga kelab yang boleh menyambar Van Hau ataupun dikenali dengan nama 'budak jahat' di Piala AFF itu bagi memperkuatkan skuad masing-masing menjelang tirai Liga Super musim depan ialah:

1. Terengganu FC

1805701

Gandingan Van Hau bersama Azam Azmi dapat menguatkan lagi benteng pertahanan pasukan Terengganu pada musim depan. — Facebook/TFC

Walaupun dikatakan sudah melengkap pemain importnya dengan kehadiran pemain Croatia, Domigoj Pusic dan Ivan Mamut baru-baru ini, namun skuad Sang Penyu itu dilihat tidak mempunyai benteng pertahanan yang kukuh.

Ini kerana pemain yang dibawa masuk adalah pemain baharu yang mungkin belum mendapat persefahaman dengan pemain muda sedia ada dalam kelab.

Pasukan itu dilihat hanya lebih menumpukan jentera serangan dan bahagian tengah dengan kehadiran pemain baru pada musim depan.

Sekiranya Van Hau diberi peluang untuk bermain bersama Terengganu, sudah pasti gandingan bersama Azam Azmi dapat menguatkan lagi benteng pertahanan pasukan itu.

2. Perak FC

1869297

Perak FC dikatakan masih belum memiliki seorang pertahanan kiri yang berpengalaman dan berkualiti dari aspek serangan mahupun pertahanan. — Facebook/The Bos Gaurus

Perak FC di bawah kendalian Lim Teong Kim yang dilihat rancak membawa masuk pemain-pemain muda untuk membarisi kelab Kejor Yob Kejor musim depan.

Sehubungan itu, membawa masuk Van Hau pastinya satu tindakan yang bijak yang mana pemain-pemain muda ini mempunyai keserasian antara satu sama lain.

Pada masa sama, Van Hau juga boleh memberikan kelainan pada corak permainan The Bos Gaurus. Ini adalah kerana pasukan itu pada ketika ini tidak mempunyai sebarang pemain import.

Selain itu, pasukan tersebut dikatakan masih belum memiliki seorang pertahanan kiri yang berpengalaman dan berkualiti dari aspek serangan mahupun pertahanan.

Jika dilihat pada bakat Van Hau ini, sudah pastinya dia mampu menjadi pemain pertahanan terbaik dalam pasukan itu.

3. Sabah FC

SABAH-FC

Sabah FC memerlukan pemain pertahanan kiri untuk menggantikan Nazirul. — Facebook/Sabah FC

Dengan ketiadaan pemain, Nazirul Naim Che Hashim yang kontraknya bersama skuad Sang Badak tidak dilanjutkan pada musim lalu, pasukan itu dilihat seperti kekurangan pemain pertahanan kiri.

Malah peminat juga pernah meluahkan rasa tidak berpuas hati apabila Nazirul tidak lagi bersama Sabah FC pada musim depan kerana dia merupakan seorang pemain yang terbaik pernah dimiliki pasukan tersebut.

Sekiranya diberikan peluang, kehadiran Van Hau dapat mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Nazirul sekali gus menjadi satu pulangan pelaburan yang cukup baik buat pasukan Sabah FC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram