Penyokong HM anggap mohon maaf tak ikhlas, Ryuji Sato akhirnya kemas beg balik kampung


  • Podium
  • Khamis, 29 Dis 2022

Ryuji mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan penyokong bola sepak tanah air gara-gara keputusannya yang didakwa berat sebelah ketika aksi bertemu Vietnam pada Selasa. — Agensi

PENGADIL perlawanan kontroversi antara skuad Harimau Malaya dan Vietnam, Ryuji Sato dilihat seakan-akan tidak terkesan dengan kecaman yang diterimanya sejak insiden tersebut pada Selasa.

Ia berikutan satu hantaran InstaStory di laman Instagram @satoryuji.official yang memaparkan dia pulang ke kampung halamannya, Jepun selepas perlawanan itu.

Berdasarkan video pendek itu, pengadil berusia 45 tahun itu difahamkan sudah berada di Tokyo, Jepun dengan meletakkan emoji rumah dan bendera negara terbabit.

Melihat di ruangan komen, rata-rata penyokong bola sepak tempatan masih tidak dapat memaafkan kelakuan dan keputusan pengadilan Ryuji yang mencetuskan perdebatan hangat.

WhatsApp Image 2022-12-29 at 10.02.34

Ryuji seakan-akan memberi gambaran bahawa dia sudah pulang ke Jepun.

"Satu senyuman yang tidak bermakna, keputusan berat sebelah dan tidak adil itu akan menghantui anda sepanjang hidup," kata fedtriyahya.

"Ini adalah Malaysia, jangan kau pernah main-main dengan kami," kata dakkray_.

Terdahulu, Ryuji memohon maaf kepada penyokong tegar skuad kebangsaan serta merayu agar tidak mengganggu ahli keluarganya selepas pertembungan antara Vietnam dan Harimau Malaya.

Dalam aksi ketiga Kumpulan B Piala AFF 2022 itu, pengadil tersebut menyebabkan rasa kurang senang selepas menghadiahkan sepakan penalti kepada pihak lawan sebelum melayangkan kad merah kepada pemain pertahanan negara, Azam Azmi Murad.

Sementara itu, ketua jurulatih Vietnam, Park Hang-seo turut seolah-olah memarakkan lagi api kemarahan peminat Harimau Malaya apabila menegaskan sesebuah pasukan sepatutnya terbuka hati dalam menerima kekalahan.

Jelasnya, anak-anak buah Kim Pan-gon perlu memahami peraturan yang ditetapkan di samping menegaskan jika seseorang tidak mematuhinya, mereka akan dihukum.

"Tiada sebab untuk komplen, setiap perlawanan ada peraturan. Jadi kena akur keputusan pengadil. Bila langgar peraturan, memang boleh dikenakan hukuman.

"Sebelum sepak mula, saya sudah ingatkan pemain Vietnam untuk menang sebagai hadiah Tahun Baharu buat penyokong. Jadi, memang cukup bagus apabila (menewaskan Malaysia) 3-0," kata Hang-seo. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram