Kempunan ke final, skuad 'mesin' Harimau Malaya tetap membanggakan


  • Podium
  • Rabu, 11 Jan 2023

Skuad Harimau Malaya masih membanggakan seluruh rakyat Malaysia selepas layak sebagai semifinalis Piala AFF 2022 di sebalik segenap kontroversi. — FB Sportflex

SIAPA yang tidak kecewa bukan kepalang apabila skuad 'mesin' Harimau Malaya gagal mara ke final Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (Piala AFF) 2022 apabila dikecewakan Thailand menerusi agregat 1-3 di peringkat separuh akhir pada Selasa malam, sekali gus gagal mengulangi sejarah menjadi finalis seperti mana edisi 2018.

Bermula dengan call-up yang agak kontroversi berikutan ketiadaan 12 pemain utama termasuk 11 daripada kelab Johor Darul Takzim (JDT), Harimau Malaya menempuh pelbagai episod suka dan duka.

Ini termasuk dipanggil dengan gelaran Harimau B selain dilabel skuad kedua kebangsaan ekoran ketiadaan beberapa tonggak utama yang diturunkan sebelum ini ketika membantu pasukan melayakkan diri ke Piala Asia 2023.

287997088_718946239178615_107293644254241315_n

Barisan pemain Harimau Malaya yang membantu skuad kebangsaan melayakkan diri ke Piala Asia 2023.

Fokus kepada cabaran membawa nama Malaysia di pentas Piala AFF, anak-anak buah Kim Pan-gon yang menyertai kem Harimau Malaya pada 29 Disember lalu, gigih menjalani sebagai persiapan menjalani kempen Kumpulan B Piala AFF.

Mengimbau semula perjalanan skuad 'mesin' Harimau Malaya pada kempen kali ini, mereka terdahulu diuji aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 yang pertama menentang Kemboja pada 9 Disember 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil yang menyaksikan Malaysia menang 4-0 ke atas Pahlawan Angkor.

Selepas itu, Harimau Malaya meneruskan momentum kemenangan apabila beroleh keputusan 3-0 ke atas Maldives bagi aksi pemanas badan kedua pada 14 Disember 2022 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

319848164_647743353811129_1832605617323424701_n

Barisan pemain Harimau Malaya di kempen Piala AFF 2022. — Facebook

Berada dalam Kumpulan B bersama power house seperti Vietnam dan Singapura benar-benar menguji taktikal Pan-gon sebagai ketua jurulatih selepas mengambil alih skuad kebangsaan pada Januari tahun lalu.

Menerusi aksi pertama Kumpulan B Piala AFF 2022 pada 21 Disember 2022, Harimau Malaya berjaya mengumpul tiga mata penuh selepas menundukkan Myanmar dengan skor 1-0 di Stadium Thuwunna, Yangon.

Ahmad Syihan Azmi muncul wira apabila berjaya menidakkan peluang terbaik tuan rumah untuk menyamakan kedudukan apabila menepis sepakan penalti penyerang Myanmar, Myat Kaung Khant pada saat-saat akhir apabila bola terkena tangan Sharul Nazeem sebelum itu.

Malaysia meraikan gol ketika bertemu Thailand pada separuh akhir pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Pada aksi seterusnya ketika bertemu Laos di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 24 Disember 2022, Malaysia menang bergaya selepas memperoleh keputusan 5-0.

Harimau Malaya berdepan ujian sebenar ketika bertemu pasukan Vietnam dalam perlawanan aksi ketiga Kumpulan B Piala AFF 2022 di Stadium My Dinh, Hanoi pada 27 Disember lalu.

Aksi ibarat final itu menyaksikan kekalahan pertama buat Harimau Malaya selepas tewas 0-3 ke atas pasukan Golden Star Warriors.

Aksi pasukan Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe pada separuh akhir kedua Piala AFF 2018.

Kekalahan Malaysia itu turut dibayangi dengan keputusan kontroversi pengadil, Ryuji Sato memberikan penalti kepada pasukan tuan rumah dan kad merah kepada pertahanan negara, Azam Azmi Murad yang didakwa mengasari Doan Van Hau pada separuh masa kedua.

Bangkit semula di kandang sendiri, Harimau Malaya membaham Singapura 4-1 dalam aksi terakhir Kumpulan B Piala AFF 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 3 Januari lalu.

Kemenangan itu sekali gus melunaskan hasrat penyokong untuk melihat skuad kebangsaan mara ke separuh akhir selepas kali terakhir meloloskan diri sebagai finalis pada 2018.

Namun disangkakan panas hingga ke petang, rupa-rupanya hujan di tengah hari. Skuad Harimau Malaya yang memiliki kelebihan defisit satu gol hasil jaringan Faisal Halim pada aksi separuh akhir pertama akhirnya ditunjukkan jalan keluar apabila tumpas mudah 0-3 dalam aksi timbal balik di Stadium Thammasat, Bangkok pada Selasa malam.

Gol-gol skuad Gajah Perang dicetak oleh Teerasil Dangda pada minit ke-19, Bordin Phala (55) dan penyerang baharu Terengganu FC, Adisak Kraison pada minit ke-71.

Tapi tidak mengapa, tanpa tonggak utama dan dengan barisan pemain yang ada, pencapaian itu tentunya masih cukup membanggakan seluruh rakyat Malaysia.

Malaysia pernah menyandang gelaran juara Piala AFF pada 2010 sementara pada edisi terakhir 2020 di Singapura sebelum ini, skuad kebangsaan tersingkir awal di peringkat kumpulan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram