Selepas Ryuji Sato, FB Kim Dae-yong pula diserang 'tentera bawang'


  • Podium
  • Sabtu, 07 Jan 2023

Perbalahan dalam kalangan pemain Malaysia dan Thailand juga berpunca daripada pengadilan. — Facebook/FAM

PERLAWANAN separuh akhir pertama antara Malaysia dan Thailand dalam saingan Piala AFF 2022 berkesudahan dengan jaringan tunggal pemain negara, Faisal Halim.

Peluang Harimau Malaya membawa bekalan dua gol ke tempat lawan dinafikan pengadil, Kim Dae-yong selepas tandukan Dominic Tan yang masuk ke gawang gol Thailand tidak disahkan.

Keputusan kontroversi itu sekali gus membuatkan penyokong berasa tidak puas hati sama seperti pengadil dalam perlawanan menentang Vietnam sebelum ini, Ryuji Sato.

kim-dae-yong-1

Akaun FB Kim Dae-yong diserang penyokong Harimau Malaya yang tidak berpuas hati dengan mutu pengadilannya.

Seperti dijangka, akaun Facebook Dae-yong akhirnya menjadi mangsa serangan ekor Harimau Malaya yang tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil dari Korea Selatan itu.

"Keputusan yang salah. Jaringan Malaysia adalah sah. Perlanggaran berlaku melibatkan penjaga gol dan pemain pertahanan Thailand," kata Fahmum Hananun.

"Kamu boleh berhenti menjadi pengadil dan mulakan perniagaan kimchi. Memalukan," kata Muhammad Safwan.

"Kualiti pengadilan tahap rendah. Keputusan yang tidak adil. Mental terlalu lemah bila diprovokasi oleh pemain Thailand," kata Amin Shaiful.

Kesemua komen itu ditinggalkan menerusi status yang dimuat naik Dae-yong pada 2020.

Bagaimanapun tidak dapat dipastikan sama ada akaun itu merupakan akaun rasmi Dae-yong.

Untuk rekod, pengadil dalam perlawanan antara skuad kebangsaan bertemu Vietnam sebelum ini, Ryuji Sato dari Jepun juga pernah mendapat kecaman penyokong ekoran keputusan tidak tepatnya.

Sato melayangkan kad merah kepada pemain Harimau Malaya (HM) Azam Azmi Murad yang didakwa mengasari Doan Van Hau diluar garisan padang pada aksi perlawanan Kumpulan B AFF Mitsubishi Electric Cup 2022 di antara Malaysia menentang Vietnam di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi pada 27 Disember lalu.

Tindakan pengadil dari Jepun itu membuatkan seluruh rakyat Malaysia berang kerana berasakan keputusan yang dibuat berat sebelah sehingga menyebabkan skuad bimbingan Kim Pan-gon tumpas 0-3 kepada Vietnam. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram