PENGADIL perlawanan antara skuad Harimau Malaya dan Vietnam, Ryuji Sato mencuri perhatian selepas dikatakan memberi keputusan yang berat sebelah terhadap pasukan kebangsaan dalam aksi ketiga Kumpulan B Piala AFF 2022.
Hal itu dapat disaksikan apabila pengadil berasal dari Jepun itu melayangkan kad merah kepada tonggak Harimau Malaya, Azam Azmi Murad di samping menghadiahkan sepakan penalti kepada pihak lawan pada babak kedua.
Bagaimanapun, setakat ini, penganjur perlawanan masih tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai kredibiliti Ryuji atas keputusan yang dibuat sepanjang 90 minit perlawanan.
Namun, baru-baru ini, muncul satu pendedahan daripada peminat bola sepak tempatan yang mengatakan pengadil tersebut tidak sepatutnya dipilih dalam aksi tersebut.
Ini berdasarkan penemuan sebuah akaun TikTok milik seorang wanita Vietnam yang dikenali sebagai My Linh yang bergambar mesra bersama Ryuji dalam beberapa video yang dimuat naik wanita itu.
Berdasarkan komen yang berlegar-legar di media sosial, wanita terbabit dipercayai menjalinkan hubungan istimewa dengan pengadil kontroversi itu.
Di ruangan deskripsi TikTok wanita terbabit juga tertera nama Ryuji bersama emoji love, sekali gus mengundang kemarahan peminat fanatik bola sepak Malaysia di laman sosial.
Antara gambar mesra wanita Vietnam terbabit bersama Ryuji Sato di laman sosial.
Perkara itu dilihat menyalahi undang-undang ditetapkan badan profesional bola sepak, yang mana seseorang pengadil perlawanan tidak boleh mempunyai hubungan secara langsung kepada mana-mana pasukan yang diadili dalam satu-satu perlawanan seperti mana yang termaktub oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Pada masa sama, laman Instagram wanita misteri terbabit juga sudah ditukar ke mod privasi, dipercayai selepas diserang 'tentera bawang' netizen Malaysia.
Belum ada sebarang kenyataan rasmi daripada Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) berhubung kontroversi itu setakat ini.
Malaysia yang tumpas 0-3 dalam pertemuan itu selepas ini bakal berdepan Singapura di laman sendiri dalam aksi terakhir Kumpulan B pada 3 Januari. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram