Sabah bina laluan pertama di Malaysia guna sisa lautan, jadi tarikan terbaharu Pulau Gaya


  • Nomad
  • Khamis, 11 Dis 2025

Visi projek berkenaan adalah untuk menangani dua cabaran paling berterusan di Sabah iaitu keadaan jalan luar bandar yang daif dan krisis sisa plastik yang semakin memburuk.

SABAH amat terkenal sebagai pilihan destinasi pelancongan kerana memiliki banyak pulau yang menawarkan sebuah pengalaman percutian yang pastinya melekat dalam ingatan.

Pulau Gaya merupakan salah satu pulau yang cantik di sana dan lokasi tersebut kini, menampilkan laluan pejalan kaki pertama di Malaysia yang dibina daripada sisa lautan, menggunakan sampah marin dan plastik buangan pulau.

Binaan laluan pejalan kaki sepanjang 130 meter di Kampung Lobong itu menggunakan 813 kilogram sisa plastik, bersamaan dengan puluhan ribu botol memperlihatkan penjagaan ekosistem yang baik.

BACA LAGI: Rakyat Malaysia wajar contohi wanita ini amal '10R', jadikan kemampanan satu gaya hidup

BACA LAGI: Pastikan pilih menu 'warna-warni' sayur, kekacang dan buah antara 8 tip gaya hidup sihat

 

Laluan yang diperbuat daripada sisa plastik laut.

Presiden Meraki Daat Initiative, Michelle de la Harpe, mengumumkan bahawa projek tersebut menandakan tamatnya projek perintis di bawah Malaysia Island Waste Innovation Challenge, anjuran Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP).

“Kami telah berjaya menghalang sisa ini daripada memasuki lautan atau dibakar,” katanya.

Siap dibina pada 30 Oktober lalu, laluan tersebut menghubungkan jambatan kayu kampung dengan gelanggang sukan setempat.

“Berbeza dengan jalan plastik industri di tanah besar, projek ini dilaksanakan sepenuhnya di lokasi, sekali gus menutup kitaran sisa pulau dengan lebih berkesan,” katanya.

Projek berkenaan melibatkan usaha pembersihan kepada pelbagai pendekatan, termasuk kerjasama dengan Marine Research Foundation untuk mengumpul sampah terapung.

Sementara itu, penduduk kampung mengutip botol semasa penganjuran “Cabaran Kampungku Bersih” yang berlangsung pada Ogos dan September.

Dilancarkan pada Januari, projek berkenaan berdepan cabaran infrastruktur yang ketara, termasuk ketiadaan bekalan elektrik tiga fasa dan kelewatan logistik.

Pasukan teknikal yang diketuai pengurus projek, Adora Shariman, membangunkan kaedah pembinaan hibrid menggunakan eco-pavers dan papak konkrit.

Ia memanfaatkan sistem tadahan air hujan dan pasir pantai tempatan bagi mengurangkan jejak karbon.

Michelle memaklumkan projek perintis itu menandakan permulaan kepada visi yang lebih besar.

Pasukan kini sedang menjalankan ujian tekanan dan proses pensijilan untuk mengkomersialkan teknologi eco-paver.

“Berbeza dengan projek lain yang menggunakan sisa industri, inisiatif ini secara unik menangani cabaran logistik di pulau dengan menggunakan semula sisa marin yang dikitar tinggi nilainya.

“Walaupun jalan asfalt diubah suai dengan plastik baru-baru ini diuji di Semenanjung Malaysia dan Sarawak menggunakan sisa industri, projek Meraki Daat Initiative ini mempunyai keunikan tersendiri,” yjar Adora Shariman.

Visi projek berkenaan adalah untuk menangani dua cabaran paling berterusan di Sabah iaitu keadaan jalan luar bandar yang daif dan krisis sisa plastik yang semakin memburuk.

Pertubuhan bukan kerajaan itu menyeru kerajaan Sabah untuk menyokong projek seumpama ini, sebagai usaha menangani kekurangan infrastruktur luar bandar yang berkualiti.

“Bekerjasamalah dengan kami untuk mengadaptasi teknologi eco-paver bagi projek pembangunan luar bandar.

“Dengan mengintegrasikan penyelesaian ini dalam dasar negeri, kita dapat membaiki jalan luar bandar Sabah dan membersihkan pesisir pantai kita secara serentak,” tambahnya.— The Star

Boleh follow media sosial Majoriti diTwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram