Naquib Azlan wakili Malaysia berlumba dalam kejohanan Ferrari HP eSports Series Grand Final di Abu Dhabi


  • Hobi
  • Selasa, 02 Dis 2025

Juara keseluruhan Ferrari HP Esports Series 2025 akan dinilai untuk potensi pengambilan ke dalam Scuderia Ferrari HP Esports Team.

BAKAT pelumba dunia maya, Naquib Azlan, 25, berpotensi mengharumkan nama negara apabila bersaing dalam kejohanan Ferrari HP eSports Series Grand Final, yang akan berlangsung Abu Dhabi pada 3 Disember ini.

Remaja tersebut merupakan salah seorang daripada dua pemandu Asia Tenggara yang melayakkan diri ke Grand Final, selepas menempah tempatnya melalui proses persaingan yang ketat bermula pada Jun baru-baru ini.

Siri tersebut bermula dengan fasa Global Hot Laps, dan ribuan pemandu dari seluruh dunia menghantar catatan masa pusingan terpantas mereka melalui tiga platform simulasi perlumbaan.

BACA LAGI: Genting Highland syurga flora, taman botani terbesar Eufloria tarik pengunjung menjelang TMM 2026

BACA LAGI: Gabungan 2 kumpulan orkestra dalam satu pentas The Symphony of Friendship pamer nilai tinggi seni muzik

 

Senarai pelumba yang akan bertanding di Ferrari HP Esports Series Grand Final.

Mereka yang mencapai prestasi terbaik melangkah ke Regional Qualifiers dan Regional Finals.

Hanya yang terunggul berjaya meraih kedudukan di grid bagi salah satu kejohanan e-sukan perlumbaan paling berprestij di dunia.

Grand Final tahun ini akan menampilkan 15 pemandu elit dari APAC, EMEA dan Americas.

Pesaing akan berlumba menggunakan iRacing, Assetto Corsa dan Assetto Corsa Competizione, dengan setiap pusingan terdiri daripada sesi kelayakan 10 minit diikuti perlumbaan pecut 30 minit.

Pemandu akan memegang stereng maya kereta ikonik Ferrari, termasuk Ferrari 488 EVO GT3, Ferrari 296 GT3 dan Ferrari 499P, beberapa litar perlumbaan paling legenda di Itali dan pastinya menjadi sebuah saingan yang mendebarkan.

Menariknya, juara keseluruhan Ferrari HP eSports Series 2025 akan dinilai untuk potensi pengambilan ke dalam Scuderia Ferrari HP eSports Team.

Edisi tahun lalu menarik lebih 17,000 jumlah peserta dan pemandu simulasi British, Luke Whitehouse, menjuarai kejohanan.

Sejak itu, beliau mewakili Ferrari dalam acara perlumbaan simulasi antarabangsa.

 

Naquib berasa persaingan di Ferrari HP Esports Grand Final adalah satu peluang yang luar biasa.

Naquib tiba di Abu Dhabi dengan momentum yang tinggi, selepas baru-baru ini memenangi dua kejohanan perlumbaan sebenar utama.

Terdahulu, Naquib berjaya merangkul gelaran kelas GT4 dalam Thailand Super Series pada November. Kemudian pada Ahad lalu, beliau memenangi Toyota Gazoo Racing GR86–BRZ Cup di Jepun.

“Saya benar-benar berasa terhormat untuk mewakili Malaysia di pentas global yang berprestij ini.

“Sim racing sentiasa menjadi sebahagian penting dalam perkembangan saya sebagai seorang pemandu, dan kini berpeluang untuk bersaing di Ferrari HP Esports Grand Final adalah satu peluang yang luar biasa.

“Tahap persaingan pasti sangat tinggi, tetapi saya yakin dengan persediaan yang telah kami lakukan. Saya berterima kasih atas sokongan daripada komuniti eSports Malaysia dan rakan-rakan kongsi kami yang menjadikan perjalanan ini mungkin,” kata Naquib.

 

Kejohanan Grand Final tahun ini akan menampilkan 15 pemandu elit dari APAC, EMEA dan Americas.

Penglibatan Naquib turut disokong oleh Kementerian Belia dan Sukan, Rakan Muda, dan Esports Integrated di bawah Malaysia Esports Accelerator Program (MEAP), serta Axle Sports.

Anak muda ini memperlihatkan sebuah potensi yang cukup tinggi dalam -sukan permotoran dan diharapkan dia dapat mengharumkan nama Malaysia ke seluruh dunia dengan memenangi kejohanan tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram