CAHAYA pagi baru sahaja beransur hilang, namun Muhammad Fuad Abdullah, 69, sudah pun sibuk menebang buluh dengan parang sambil peluh mengalir di dahinya.
Sejak beberapa bulan lalu, rimbunan buluh di tepi sungai belakang kampungnya iaitu Kampung Orang Asli Pos Raya di Sungai Siput, Perak, menjadi lokasi rutinnya bekerja.
Bangun seawal jam 7 pagi, beliau datang ke sini dua atau tiga kali seminggu untuk menebang dan mengumpul batang buluh sehingga tengah hari.
BACA LAGI:Genting Highland syurga flora, taman botani terbesar Eufloria tarik pengunjung menjelang TMM 2026

Penduduk kampung mengendalikan mesin untuk memproses buluh yang dikumpulkan di Kampung Orang Asli Pos Raya di Perak.
“Ada caranya untuk menebang. Nampak buluh besar berwarna hijau gelap? Itu yang patut ditebang.
“Kami biarkan pucuk muda supaya ia boleh membesar, buluh tumbuh sangat cepat,” katanya kepada StarMetro.
Bapa kepada tiga anak itu merupakan bekas anggota polis yang dahulunya menanam dan mengutip hasil buah-buahan sebagai pendapatan selepas bersara.
Dengan harga buluh RM1 bagi setiap 2.54 sentimeter, kini dia mampu mengumpulkan antara 50 hingga 80 batang buluh sehari.
Didiami kira-kira 500 penduduk, Kampung Orang Asli Pos Raya hanyalah sebuah perkampungan tenang.
Semua itu berubah apabila pada September 2024, program sulung Maybank Asean Social Impact Grant (Masig) dianjurkan, melibatkan kira-kira 40 penduduk di sini dan 40 lagi di Kampung Orang Asli Pos Poi di mana separuh daripadannya adalah peserta wanita.
Di bawah inisiatif ini, Sead Industry, sebuah perusahaan sosial, menerima US$50,000 (RM206,000), untuk melaksanakan projek kemampanan yang memberi manfaat kepada komuniti.
Selain menuai dan menjual buluh, peserta turut diberi latihan untuk memasarkan dan mempromosikan produk berasaskan buluh yang lain.
Malahan terdapat perancangan untuk membina sebuah pavilion daripada buluh di kampung tersebut dengan kaedah menganjurkan acara budaya dan lawatan, sebagai usaha menjana pendapatan penduduk melalui aktiviti ekopelancongan.
Sead (singkatan kepada Stewards of Environmentally-Aware Development) ialah syarikat yang memfokuskan penggunaan buluh sebagai penyelesaian mampan untuk persekitaran binaan, pemulihan tanah dan pemerkasaan komuniti.
Mengulas mengenai kerjasama itu, Pengarah Eksekutif Sead Industry, Lucas Loo berkata permintaan terhadap buluh di pasaran semakin meningkat.
Ini sekali gus mendorong Loo untuk mencari lebih banyak sumber bekalan.
“Ketika itulah saya bertemu dengan Tok Batin, bertanya sama ada kami boleh membeli buluh daripada mereka.
“Inisiatif itu bermula tidak lama selepas itu, dengan penubuhan Sahabat Buluh Lestari, sebuah persatuan tempatan untuk mengendalikan operasi. Ia merupakan satu pencapaian besar,” kata Loo.
“Ia memudahkan kami merangka pelan dan mencari cara terbaik untuk Orang Asli memanfaatkan kemahiran mereka.
Dikatakan pada masa yang sama, mereka turut berjaga-jaga agar tidak mengeksploitasi sumber tersebut untuk memastikan alam sekitar terus terjaga.

Zut Ahmad.
Pengerusi Sahabat Buluh Lestari, Zut Ahmad, yang merupakan penduduk tempatan berkata, beliau bertanggungjawab menyelaras mereka yang terlibat dalam kerja-kerja menuai buluh serta memastikan aspek keselamatan dijaga.
“Saya perlu sentiasa peka terhadap risiko kemalangan dan, syukurlah, kami belum pernah terserempak dengan haiwan liar,” ujarnya.
Bapa kepada tiga anak itu, yang turut mengusahakan kedai runcit di kampung berkata, beliau bersyukur komuniti kini dapat menjana pendapatan tambahan.
“Kami dahulunya hanya menuai 200 batang buluh sebulan, bergantung pada permintaan daripada Sead Industry.
“Jumlah itu meningkat kepada 1,000, dan kini kami mungkin mencapai tuaian 4,000 batang sebulan,” jelasnya.
Memandangkan kampung-kampung itu terletak dalam kawasan hutan simpan, Pengurus Kanan Komuniti dan Program Sead Industry, Habibun Najar Zainal Abidin, memaklumkan bahawa mereka perlu mendapatkan kebenaran daripada Jabatan Perhutanan Perak untuk beroperasi.
Walaupun ada keluarga yang telah menjual buluh sebelum program itu akan tetapi jumlahnya masih sedikit.
“Dengan inisiatif ini, buluh dikumpulkan bersama dan dijual secara pukal, membolehkan kami mendapatkan harga yang lebih baik,” ujarnya.
Sementara itu, Tok Batin Kampung Orang Asli Pos Raya, Ayob Alang, berkata beliau bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), bagi menyemak sebarang program yang dicadangkan di kampungnya.
“Kami tidak boleh sewenang-wenangnya benarkan sesiapa saja masuk. Kami mesti pastikan aktiviti pihak luar tidak merosakkan alam sekitar dan cara hidup kami.
“Saya tiada masalah dengan program buluh ini. Jika penduduk kampung berminat untuk menyertainya, saya gembira membenarkannya,” terangnya
Tanggungjawab sosial korporat
Ketua Hal Ehwal Korporat Kumpulan Maybank merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Maybank, Izlyn Ramli, berkata mereka berharap program itu dapat meningkatkan taraf hidup komuniti terlibat.
Ia bagi mempelbagaikan sumber pendapatan komuniti tersebut.
“Secara purata, peserta kini mampu memperoleh sehingga RM1,000 sebulan hasil program ini.
“Izlyn berkata Maybank akan terus memantau pelaksanaan inisiatif itu selama setahun bagi memastikan perkembangan yang konsisten,” jelasnya.

Zamzamzairani Mohd Isa.
Pengerusi Yayasan Maybank, Tan Sri Ir. Zamzamzairani Mohd Isa, berkata Masig diperkenalkan untuk meningkatkan daya ketahanan kewangan komuniti yang kurang berkemampuan, sambil mempromosikan kelestarian alam sekitar.
“Projek ini menyediakan peralatan, pengetahuan dan ekosistem yang diperlukan komuniti untuk menjana pendapatan secara mampan.
“Pengajaran daripada program juga akan membantu kami menambah baik inisiatif pada masa depan untuk memberi manfaat kepada komuniti di seluruh Asean,” katanya pada majlis bagi meraikan inisiatif Masig di Kampung Orang Asli Pos Raya, baru-baru ini
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Ahli Parlimen Gopeng, Tan Kar Hing, serta wakil Jakoa bagi Kinta dan Batu Gajah, Mohd Farizal Mohd Zakhir.

Dayanti (kanan) dengan bangganya mempamerkan masakan tradisional suku kaum Temiar.
Pada acara itu, tetamu disajikan hidangan tradisional popular suku Temiar, yang merupakan komuniti majoriti Orang Asli di kawasan ini.
Antara hidangannya termasuk Cep Pen Ol (gulai ayam pencen), Rembok Pen Ol (salad pucuk buluh) dan Kuwoi Kemnem (ubi keledek parut).
“Kami jarang menerima pelawat, dan acara ini merupakan salah satu cara untuk mempromosikan kampung serta budaya kami,” katanya.
Sebagai ahli kumpulan persembahan tempatan, Dayanti berharap pavilion buluh itu dapat menarik lebih ramai pelancong.
“Kami pernah menerima satu atau dua kumpulan lawatan sebelum ini, tetapi ia jarang berlaku. Diharapkan ia boleh menjadi perkara biasa apabila kami mempunyai tempat yang sesuai untuk menempatkan mereka,” harapnya.
Ibu kepada dua anak itu menambah bahawa penduduk kampung bersemangat untuk menyambut kedatangan pelawat.
“Ramai orang di luar sana beranggapan komuniti Orang Asli hanyalah masyarakat sederhana yang tinggal di hutan dan gunung.
“Tetapi budaya dan tradisi kami jauh lebih kaya, dan kami ingin menonjolkan perkara itu,” ujarnya. — The Star/FARID WAHAB
Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
