LOKASI gunung berapi kini menjadi pilihan buat penggemar aktiviti mendaki. Mungkin saja pengembaraan dan suasananya berbeza berbanding gunung-gunung yang dipenuhi dengan hutan belantara.
Selain daripada debaran dan cabarannya, aktiviti berani ini juga memberikan rasa pencapaian yang luar biasa.
Merentas kawasan berbatu gunung berapi dan menyaksikan kawah berasap serta lava merah menyala, ia sebuah keadaan yang menjadikan pengalaman pendakian tersebut lebih menakjubkan.
BACA LAGI: Apa yang berlaku jika tak ikut arahan kru kabin, terutamanya berbaring ketika kapal terbang mendarat
BACA LAGI: Pusat akuatik baharu di Bandar Tun Razak dijangka siap 2030, telan belanja RM50 juta
Lokasi seperti ini tidak semestinya memerlukan masa berjam-jam atau berhari-hari untuk mendaki mendekati gunung berapi.
Ambil contoh Gunung Bromo di Indonesia, anda boleh mendaki ke puncaknya atau menaiki jip untuk menikmati pengalaman yang lebih santai.
Jadi buat mereka yang merancang untuk mendaki gunung berapi, ini lima lokasi yang boleh dipertimbangkan.

1. Gunung Etna (Itali)
Terletak di dalam Taman Negara Etna di pesisir timur Sicily, Itali, Gunung Etna ialah gunung berapi tertinggi dan paling aktif di Eropah.
Dengan ketinggian lebih 3,300 meter, gunung ini telah dibentuk oleh ratusan tahun letusan yang menghasilkan keadaan landskapnya seperti sekarang.
Menurut Pemerhati Bumi NASA (Nasa’s Earth Observatory), Gunung Etna merupakan Tapak Warisan Dunia UNESCO yang telah meletus hampir 200 kali dalam tempoh 3,500 tahun yang lalu.
Letusan terbaharunya berlaku awal tahun ini, melepaskan kepulan abu besar ke langit.
Walaupun masih aktif, gunung ini umumnya selamat untuk dilawati kerana ia dipantau rapi oleh Institut Geofizik dan Volkanologi Kebangsaan Itali.
Pelancong hanya dibenarkan mendaki di kawasan selamat yang ditetapkan, ditemani pemandu bertauliah.
Gunung Etna mempunyai lebih daripada 100 laluan pendakian, daripada laluan mudah di kawasan lava hingga ke pendakian altitud tinggi yang mencabar.
Akses ke kawasan melebihi 2,500 meter, merangkumi empat kawah utama. Kebenaran laluan ke sana juga tersebut hanya diberikan kepada pemandu berlesen, kerana faktor keselamatan terhadap aktiviti gunung yang tidak menentu serta permukaan tanah yang tidak sekata.
Antara laluan yang dianggap mudah termasuk Monti Sartorius dan Piano Provenzana, Abisso Monte Nero, yang menawarkan pemandangan spektakular landskap gunung berapi yang lasak.

2. Pulau Guishan (Taiwan)
Turut dikenali sebagai Pulau Penyu kerana bentuknya yang menyerupai seekor penyu, Pulau Guishan ialah destinasi popular dalam kalangan pencinta alam semula jadi.
Untuk melawat pulau gunung berapi itu, anda perlu memohon permit melalui Pentadbiran Kawasan Pemandangan Nasional Timur Laut dan Pantai Yilan atau pengendali bot yang sah.
Pulau ini dikatakan mempunyai kolam air panas bawah laut serta ekosistem yang pelbagai, menjadikannya tersenarai dalam 100 Destinasi Mampan Terbaik oleh Green Destinations selama lima tahun berturut-turut (2016–2020).
Pendakian sederhana curam yang melibatkan lebih 1,700 anak tangga akan membawa pengunjung ke puncak tertinggi pulau tersebut iaitu, setinggi 398 meter dari aras laut, yang dikenali sebagai Puncak 401.
Disarankan agar pengunjung sentiasa berada di laluan yang telah ditanda demi keselamatan.
Setibanya di puncak, anda akan disajikan dengan pemandangan lautan yang menakjubkan.
Pulau Guishan hanya dibuka kepada pelawat dari Mac hingga November setiap tahun.

3. Gunung Batur (Indonesia)
Jika anda berhasrat untuk mendaki gunung berapi, Gunung Batur di Bali merupakan pilihan terbaik.
Kaldera atau cengkungan tanah yang menakjubkan ini terletak pada ketinggian 1,717 meter dari aras laut menawarkan pemandangan matahari terbit serta terbenam yang menawan.
Terdapat beberapa laluan indah menuju ke puncak, gunung ini lebih kecil dan mudah didaki berbanding Gunung Bromo di Jawa Timur.
Namun, perlu diingat bahawa anda wajib mendapatkan khidmat pemandu tempatan sebelum memulakan pendakian.
Salah satu laluan paling popular bermula di perkampungan Toya Bungkah. Pendakian ke tepi kawah mengambil masa kira-kira dua jam, bergantung pada kelajuan anda.
Kebanyakan pendaki akan memulakan perjalanan sebelum subuh untuk menikmati panorama matahari terbit yang indah di ufuk timur.
Laluan alternatif lain, anda boleh memulakan pendakian menggunakan jalan Serongga atau Pasar Agung.
Dari tepi kawah Batur, anda akan dapat menikmati pemandangan Gunung Agung iaitu gunung tertinggi di Bali serta Tasik Batur yang tenang.
Salah satu pengalaman unik di sini ialah merebus telur menggunakan wap panas semula jadi daripada celahan kawah gunung berapi.

4. Gunung Pinatubo (Filipina)
Terletak kira-kira tiga jam dari Manila, Gunung Pinatubo di Luzon Tengah ialah destinasi pelancongan popular, terutamanya dalam kalangan pendaki.
Mereka datang untuk menyaksikan tasik kawah berwarna biru kehijauan, yang terbentuk selepas letusan besar pada awal 1990-an.
Gunung berapi ini pernah tidak aktif selama hampir enam abad, sebelum meletus pada tahun 1991, yang menyebabkan landskap kawasan sekitarnya berubah.
Letusan tersebut juga dilaporkan menyebabkan penyejukan sementara atmosfera bumi apabila sulfur dioksida dilepaskan ke lapisan stratosfera.
Pengembaraan ke sini bermula dengan perjalanan menaiki jip melalui Lembah Crow, kawasan terpencil yang dipenuhi dataran tandus.
Dari situ, anda perlu berjalan kaki selama kira-kira 90 minit untuk sampai ke tasik kawah.
Sepanjang perjalanan, anda mungkin akan menemui pelbagai tumbuhan dan bunga liar.
Anda mesti ditemani kakitangan berdaftar semasa meneroka Gunung Pinatubo.
Mereka bukan sahaja memastikan keselamatan anda, tetapi juga akan berkongsi kisah menarik mengenai sejarah dan keunikan kawasan ini.

5. Gunung Arenal (Costa Rica)
Rata-rata pengembara, menyatakan keindahan alam liar Costa Rica selain melawat Taman Negara Gunung Arenal adalah luar biasa.
Pendakian ke kawah utama adalah dilarang, namun terdapat beberapa laluan mendaki yang melalui aliran lava lama dan hutan hujan subur, menawarkan pemandangan menakjubkan landskap gunung berapi.
Bagi pencinta burung, laluan berhampiran Arenal Observatory Lodge adalah tempat yang wajib dikunjungi.
Anda boleh melihat pelbagai spesies burung termasuk burung kelicap, flycatcher dan honeycreeper.
Kebanyakan laluan di taman ini mudah untuk dilalui, jadi pendaki baharu tidak perlu risau.
Bagaimanapun, pengunjung perlu membayar yuran kemasukan kecil untuk memasuki taman negara ini.
Selepas sehari meneroka, anda boleh berehat di kolam air panas semula jadi yang terdapat di kawasan taman sebagai penutup ekspedisi pendakian yang cukup sempurna.— The Star/GISELE SOO
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
