SECARA umumnya, mengambil gambar atau merekod video di tempat awam tidak menyalahi undang-undang. Akan tetapi perlu diingatkan, ia bergantung pada konteks dan situasi semasa terutamanya melibatkan kanak-kanak.
Apabila visual kanak-kanak dipaparkan di media sosial, adalah penting untuk kita tahu bahawa terdapat undang-undang yang melindungi kanak-kanak daripada tersebar.
Ia boleh dilihat sepertimana Putera William dan Puteri Kate yang telah memenangi kes saman terhadap majalah Paris Match selepas majalah itu menerbitkan gambar percutian yang menunjukkan ketiga-tiga anak mereka.

Keluarga Putera William dan Puteri Kate.
Mahkamah Perancis memutuskan bahawa penerbitan tersebut telah melanggar privasi keluarga diraja dengan menyiarkan gambar dan butiran percutian mereka pada bulan April lalu bersama tiga anak mereka iaitu Putera George, Puteri Charlotte dan Putera Louis.
Putera dan Puteri Wales menyifatkan artikel itu sebagai gangguan dan telah mengambil tindakan undang-undang terhadap penerbit majalah tersebut, selepas gambar-gambar berkenaan disiarkan pada bulan yang sama.
Jurucakap pasangan diraja itu mengeluarkan kenyataan di majalah People bahawasanya Putera dan Puteri Wales telah berjaya dalam prosiding undang-undang yang dibawa di Perancis terhadap pemilik Paris Match.
“Terbitan tersebut menerbitkan artikel dan gambar paparazzi lensa jauh yang amat mengganggu tentang percutian peribadi keluarga mereka di Alps pada bulan April.
“Keputusan mahkamah itu mengesahkan bahawa walaupun mereka mempunyai tanggungjawab awam sebagai ahli Keluarga Diraja, kerabat raja serta anak-anak mereka itu tetap berhak mendapat penghormatan terhadap kehidupan peribadi dan masa bersama keluarga tanpa gangguan atau pencerobohan yang menyalahi undang-undang,” katanya.
Jurucakap itu menambah lagi, Putera dan Puteri Wales komited untuk melindungi masa peribadi keluarga dan memastikan anak-anak mereka membesar tanpa pengawasan atau gangguan yang berlebihan.
“Mereka tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan yang perlu bagi menegakkan batasan tersebut,” jelasnya.
Pada mulanya, pasangan diraja itu menuntut ganti rugi kewangan, namun kemudian mereka meminta agar pihak penerbitan menerbitkan notis kehakiman dalam majalahnya.
Paris Match turut diarahkan untuk menanggung kos guaman pasangan diraja tersebut yang telah pun dibayar.
Terdahulu, The Star sebelum ini melaporkan menerusi kenyataan Menteri Jabatan Perdana Menteri Malaysia (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Sri Azalina Othman Said menegaskan tentang pelanggaran subseksyen 15(2) Akta Kanak-Kanak 2001, yang boleh membawa kepada pendakwaan jenayah.
Ia melarang merujuk kepada larangan penerbitan sebarang gambar kanak-kanak yang terlibat dalam prosiding jenayah di media.
Begitu juga di tempat awam, pengambilan gambar atau video perlu diteliti secara terperinci dahulu kerana ia bergantung pada konteks dan situasi semasa.
Jika gambar fokus kepada kanak-kanak lain tanpa izin penjaga, ia boleh dianggap melanggar hak privasi atau perbuatan mencurigakan. Kemudian, apabila gambar itu disebarkan di media sosial, ia boleh melibatkan pelanggaran Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (PDPA) atau dianggap gangguan di bawah undang-undang tertentu. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
