Jangan terjebak! Abaikan testimoni antara 5 'dosa besar' ketika mencari lokasi penginapan murah


  • Nomad
  • Jumaat, 07 Nov 2025

Berikan perhatian khusus kepada ulasan mengenai keselamatan dan kebersihan kerana kedua-duanya sangat penting.

MENCARI penginapan murah sudah menjadi salah satu jalan cara buat mereka yang ingin melancong tanpa mengeringkan poket, sekali gus berjimat ketika bercuti.

Tetapi harga murah juga bukanlah satu-satunya perkara yang perlu diutamakan walaupun kita mahu menikmati percutian yang selesa.

Ini kerana masih ramai yang mudah tergoda dengan harga rendah dan terus membuat tempahan tanpa mempertimbangkan beberapa aspek penting lain.

Kesilapan memilih penginapan boleh menyebabkan pengalaman percutian menjadi tidak seronok.

Berikut lima kesilapan utama yang perlu dielakkan semasa mencari penginapan murah dan pasti akan memuaskan hati anda.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Panduan rider ketika layan corner', pakar tekankan pentingnya hukum 'countersteering' berbanding 'tunduk udang'

BACA LAGI:  'Sakit lutut sudah haus?', amalkan senaman aerobik seperti berjalan, berbasikal atau berenang

 

 

1. Terlalu fokus pada harga tanpa melihat lokasi

Kesilapan pertama yang paling kerap berlaku ialah godaan harga murah tanpa meneliti lokasi penginapan.

Benar harganya mungkin murah, tetapi jika terletak jauh dari pusat bandar, anda akan berbelanja lebih untuk kos lain seperti pengangkutan.

Lokasi pedalaman atau terpencil juga boleh membuatkan anda berasa tidak selamat, terutamanya jika melancong bersendirian atau keluar pada waktu malam.

Sebaiknya pilih penginapan di lokasi strategik, walaupun harganya sedikit lebih tinggi. Pemilihan seperti ini sebenarnya boleh menjimatkan masa dan kos pengangkutan sepanjang perjalanan.

Lokasi juga mempengaruhi kemudahan akses kepada kemudahan awam seperti restoran, pasar mini dan pengangkutan awam.

Jangan biarkan harga murah menjadikan percutian anda sukar, jauh untuk bergerak ke sebuah tempat lain dan meletihkan. Oleh itu, periksa dengan teliti lokasi penginapan sebelum membuat keputusan.

 

 

2. Tidak menyemak kemudahan dan perkhidmatan yang ditawarkan

Kesilapan kedua ialah tidak meneliti kemudahan yang disediakan oleh penginapan. Harga murah memang menarik, tetapi jangan sampai anda mendapat bilik tanpa kemudahan asas seperti Wi-Fi, air panas, tuala mandi. Bahkan, tahap kebersihan yang juga tidak memuaskan.

Walaupun penginapan bajet biasanya lebih berpatutan, anda tetap perlu memastikan kemudahan asas dan perkhidmatannya mencukupi.

Jika kemudahannya terlalu terhad, anda mungkin akan menyusahkan diri sendiri. Semak juga jika ada caj tambahan seperti caj parkir, kebersihan atau bayaran penggunaan kemudahan tertentu.

Perkara kecil seperti ini sering terlepas pandang dan akan menambah belanja anda.Buatlah sedikit bacaan,  penerangan serta ulasan daripada tetamu terdahulu sebelum membuat tempahan.

 

 

3. Mengabaikan ulasan dan testimoni pengunjung terdahulu

Ramai pelancong sering lupa untuk membaca ulasan dan testimoni daripada tetamu yang pernah menginap sebelum ini.

Sedangkan respons dan penilaian orang lain amat penting dan jujur untuk menggambarkan tentang keadaan sebenar sesebuah penginapan.

Gambar dan penerangan yang disediakan oleh pihak penginapan biasanya telah disunting dan kadangkala sudah lama serta tidak dikemaskini.

Amalan membaca ulasan, boleh membantu anda untuk membuat keputusan dan menjangkakan sama ada penginapan tersebut bersih, selamat dan mempunyai perkhidmatan yang baik atau sebaliknya.

Berikan perhatian khusus kepada ulasan mengenai keselamatan dan kebersihan, kerana kedua-duanya sangat penting bagi keselesaan penginapan.

Jika terdapat banyak ulasan negatif, maka eloklah cari lokasi lain. Ulasan boleh menjadi panduan yang amat berharga supaya anda tidak kecewa.

 

 

4. Menempah penginapan terlalu dekat dengan tarikh berlepas

Kesilapan seterusnya ialah membuat tempahan penginapan pada saat-saat akhir sebelum berangkat.

Ramai yang beranggapan bahawa menempah pada saat akhir boleh mendapat harga lebih murah, memang benar namun hakikatnya tidak selalu terjadi.

Sebaliknya, apabila tempahan dibuat terlalu lewat, pilihan bilik menjadi terhad dan harga pula meningkat, terutamanya pada musim cuti atau ketika berlangsungnya acara besar.

Anda juga berisiko mendapat bilik yang kurang selesa atau kemudahan yang tidak seberapa.

Dengan menempah lebih awal, anda mempunyai masa untuk membandingkan harga dan kemudahan, serta memilih penginapan terbaik pada kadar yang berpatutan.

Langkah ini memberi anda lebih banyak pilihan dan peluang untuk mendapatkan harga yang lebih mesra bajet.

Selain itu, menempah awal juga membolehkan anda menikmati promosi khas atau diskaun istimewa yang biasanya tidak tersedia bagi tempahan saat akhir.

Jadi, anda bukan sahaja dapat menjimatkan wang, malah lebih tenang untuk memperoleh penginapan yang memenuhi jangkaan, dan kemahuan, tanpa perlu tergesa-gesa.

 

 

5. Tidak meneliti polisi pembatalan dan perubahan tempahan

Kesilapan terakhir yang sering dilakukan ialah tidak meneliti polisi pembatalan dan perubahan tempahan.

Biasanya, penginapan bajet menawarkan promosi menarik, tetapi dengan syarat pembatalan yang ketat dan tidak fleksibel, malah ada juga yang menetapkan tiada pulangan untuk seberang pembatalan.

Sebaliknya hanya memberikan baucar untuk tempahan seterusnya atau tidak mendapat apa-apa.

Jika berlaku perubahan rancangan, anda mungkin kehilangan wang yang telah dibayar atau dikenakan caj pembatalan yang tinggi.

Oleh itu, anda perlu membaca dengan teliti terma dan syarat sebelum membuat tempahan, supaya tidak mengalami kerugian sekiranya perlu membatalkan atau menukar tarikh menginap.

Pilih penginapan yang mempunyai polisi jelas dan fleksibel agar anda berasa lebih tenang serta yakin semasa merancang perjalanan.

Jangan biarkan tawaran harga murah membuat anda terpesona dan menanggung kerugian yang tidak sepatutnya di kemudian hari.

Oleh itu, memilih penginapan bajet memerlukan strategi dan ketelitian supaya tidak tersilap langkah hingga menjejaskan keselesaan percutian, selamat mencuba. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram