SELAMA beberapa generasi, kehidupan di Buwun Mas, iaitu sebuah kepulauan di Lombok, Indonesia hampir tidak berubah akan tetapi keadaan itu bakal bertukar.
Di atas tanah pertanian dan kawasan pantai seluas 149 hektar, terdapat khabar angin mengatakan terdapat pemaju sedang giat membangunkan Marina Bay City, iaitu sebuat resort bernilai berbilion dolar yang digelar sebagai “Miami Indonesia”.
Namun apakah perkara tersebut merupakan sebuah hala tuju yang membangun atau ia merosakkan suasana di sana?
Rochidi, ketua kampung Buwun Mas, berkata, sejak beberapa dekad lalu terdapat pelabur yang hadir ke sana untuk membeli tanah, dan berjanji untuk membangunkan kawasan tersebut.
“Tetapi tiada apa yang berlaku. Ada tanah yang ditinggalkan begitu saja, malah dikategorikan sebagai tanah terbiar.
“Kali ini, mereka benar-benar ingin membina resort dan kami harap penduduk dapat terlibat dalam projek tersebut sebagai pekerja, rakan kongsi dan penerima manfaat,” katanya.

Pemandangan kehidupan kampung di Buwun Mas di pulau Lombok, Indonesia menjadi tapak yang bakal dibangunkan oleh pemaju Australia.
Projek yang diterajui oleh pelabur dari Australia itu menjanjikan pelabuhan marina, villa mewah dan hotel dan menjadi sebuah pusat pelancongan berskala besar. Ia dikatakan mampu mengubah nasib salah satu daerah termiskin di Lombok.
Keraguan bercampur harapan menggambarkan dilema yang dihadapi oleh masyarakat di Indonesia ketika landskap pelancongan berkembang pesat.
Dengan sandaran meniru kejayaan Bali di kawasan lain, projek tersebut menawarkan peluang pekerjaan dan pembangunan infrastruktur.
Bagaimanapun kebimbangan itu masih ada apabila melihat dari sudut pengekalan budaya sedia ada, alam sekitar dan risiko penduduk tempatan.
Resort Mandalika yang terletak berdekatan telah dibina sebagai sebahagian daripada inisiatif “10 Bali Baharu” Indonesia, telah menjadi tuan rumah perlumbaan MotoGP dan menarik ramai pengunjung.
Namun, kawasan itu juga menjadi titik panas apabila Pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menuduh pihak berkuasa melakukan pengusiran paksa dan bayaran pampasan yang tidak mencukupi terhadap keluarga etnik Sasak yang dipindahkan. Ia menyebabkan isu tanah masih belum selesai.
Di kawasan lain di Lombok, pertikaian sama tutur berlaku di Tanjung Ann apabila penduduk tempatan melancarkan petisyen membantah rancangan merobohkan sekolah luncur air, restoran dan gerai makanan milik keluarga, bagi memberi laluan kepada pembinaan hotel mewah.
Hal tersebut mendatangkan kebimbangan penduduk yang tidak akan mampu bertahan selepas dipindahkan, sebaliknya hanya pengusaha besar mendapat manfaat.
Begitu juga penduduk yang bimbang tentang nilai budaya yang diterapkan selepas kewujudan resort mewah itu nanti.
“Sekarang, kalau seseorang didapati minum alkohol, mereka boleh diusir dari kampung. Tapi nanti, bila ramai pelancong luar datang, perkara itu mungkin jadi normal. Itulah yang ditakutkan kerana nilai dan adat kami mungkin teruji,” ujar seorang penduduk.
Kebimbangan terhadap pembangunan berlebihan juga muncul dalam sebuah perbincangan tentang kesan yang berlaku di Bali dan Mykonos.
“Bangunan tinggi mencacatkan pemandangan dan akan memusnahkan Lombok. Ia patut diharamkan. Tolong belajar daripada pengalaman Bali dan Mykonos (di Greece),” luah seorang pembaca pada laporan akhbar Bali Sun mengenai projek Marina Bay.
Kawasan itu juga antara yang paling terdedah kepada perubahan iklim di Indonesia.
Sepanjang pantai yang berisiko menghadapi kenaikan paras laut dan ancaman tsunami besar.
“Kerajaan tidak sepatutnya terpesona dengan skala pelaburan. Ia perlu diteliti sama ada pembangunan yang dicadangkan sesuai dengan rancangan guna tanah, keupayaan alam sekitar, serta kesannya terhadap ekonomi, budaya, alam sekitar dan risiko bencana,”jelas pengarah organisasi tempatan Koslata, Sulis Angger.
Di wilayah lain di Indonesia, ketegangan antara pembangunan dan pemeliharaan alam sekitar lebih ketara lagi.
Di Pulau Padar,Taman Negara Komodo, rancangan sebuah syarikat swasta untuk membina ratusan vila, restoran dan dewan perkahwinan telah mencetuskan protes awam.
Aktivis mendakwa projek tersebut mengancam habitat biawak komodo yang terancam pupus serta melemahkan pelancongan berasaskan komuniti.
“Pulau Padar bukan untuk dijual kepada pelabur,” tegas penyelaras Komodo Calls Alliance, Astra Tandang.
Menteri Perhutanan, Raja Juli Antoni, berkata, sebarang pembangunan pelancongan di Tapak Warisan Dunia (UNESCO) akan dikawal dengan ketat bagi melindungi alam sekitar dan habitat semula jadi.
“Walaupun pembinaan dibenarkan, ia akan tertakluk kepada sekatan yang sangat ketat, maksimum hanya 10 peratus daripada kawasan asal dan tiada bangunan konkrit dibenarkan, hanya struktur sementara yang boleh ditanggalkan,” ujarnya.
Menurut pihak pemaju Marina Bay, mereka bertekad untuk mengelak kesilapan seperti itu berlaku.
Daripada 150 hektar tanah yang dirancang, 35 hektar telah pun diperoleh. Tapak asas untuk vila sedang dalam proses pembinaan dan dijangka akan mendapat kelulusan permit terakhir tidak lama lagi.
Ketua Pegawai Eksekutif projek, Adrian Campbell berkata, ciri kelestarian projek termasuk sistem penjanaan tenaga daripada sisa, pengangkutan berkuasa solar, stesen pengecasan kenderaan elektrik, serta ladang komuniti.
Janjinya, dia akan menawarkan pekerjaan seiring gaji yang adil kepada penduduk tempatan, biasiswa untuk guru dan komitmen untuk mengutamakan pengambilan pekerja dari warga kampung itu sendiri.— Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
