JIKA dulu kita selalu dengar laporan tentang ulat teksi atau teksi haram, kini kegiatan tersebut telah menukar plaform mengikut arus semasa melibatkan perkhidmatan e-hailing haram.
Pengusaha perkhidmatan e-hailing haram yang menawarkan perkhidmatan rentas sempadan Johor Bahru–Singapura dilaporkan muncul semula selepas sekian lama menyepi.
Kegiatan ulat teksi pula dilihat kembali aktif di Larkin Sentral, Johor Bahru, namun kali ini dengan modus operandi berbeza.

Safarudin Abu Bakar.
Pemandu teksi berlesen rentas sempadan, Safarudin Abu Bakar, 44, berkata, pemandu ulat teksi terbabit kini menggunakan kereta jenis sedan dan bukan lagi kenderaan pelbagai guna (MPV).
Ia bagi mengelak dikesan oleh Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat Singapura (LTA).
Safarudin, yang telah beroperasi di laluan Johor Bahru–Singapura selama 13 tahun berkata, tambang turut meningkat kepada SGD$35 (RM114) bagi setiap penumpang, berbanding sebelum ini, penumpang dikenakan caj SGD$30 (RM98) sahaja.
“Mereka menawarkan perkhidmatan dari Terminal Larkin ke mana-mana lokasi di Singapura,” katanya.
Seorang lagi pemandu teksi Malaysia, Affidin Salimun, 52, menyeru supaya tindakan tegas diambil terhadap kegiatan ini.
“Kami berharap pihak LTA mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat membawa penumpang ke Singapura secara haram,”ujarnya.
Dia turut berpandangan satu-satunya cara untuk menghentikan aktiviti tersebut adalah kerjasama pihak berkuasa Singapura bersama-sama untuk mengambil tindakan terhadap penumpang, termasuk mendakwa mereka di mahkamah.
Affidin juga menggesa agar Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad) Malaysia dan LTA membenarkan teksi berdaftar Malaysia menawarkan perkhidmatan dari pintu ke pintu (door-to-door) ke Singapura.
Pada masa ini, hanya teksi berdaftar Singapura dibenarkan menghantar penumpang ke mana-mana lokasi di negara itu.
Teksi Malaysia pula hanya dibenarkan menghantar penumpang dari Terminal Larkin ke kawasan teksi Ban San Street di seberang sempadan.
Menurut undang-undang sedia ada, menawarkan perkhidmatan rentas sempadan tanpa Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSVL), yang sah merupakan satu kesalahan dan boleh dikenakan denda sehingga S$3,000 (RM12613.50) atau penjara sehingga enam bulan. — TheStar/ZAZALI MUSA
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
