
POSKAD mungkin tidak lagi relevan di era digital pada hari ini, namun masih ada yang tahu betapa bernilainya sekeping kertas yang boleh menjadi medium menyimpan detik-detik indah.
Bagi Fatin Syahida Saharudin, 25, setiap poskad ibarat 'kenangan yang ditulis dengan tangan setiap kali dia berkunjung ke luar negara ketika terlibat dalam program pertukaran pelajar.
Ini termasuk penghantaran poskad dari Turkiye, Singapura dan China sama ada untuk dirinya atau insan tersayang.
BACA LAGI: Nak duduk hotel 5 bintang tapi harga 3 bintang? Ini rahsianya
BACA LAGI: Uniknya flora hidup, Taman Negara Kinabalu tersenarai 8 lokasi safari terbaik Asia
Fatin gemar menghantar poskad kepada rakan-rakan serta dirinya sendiri.
Yang pasti, Fatin berbuat demikian bukan untuk bermegah seperti cara masyarakat kini mempamerkan kehidupan mereka di sosial media tetapi dia menggunakan cara tulen untuk membuktikan dirinya sudah mengembara ke banyak tempat.
“Menulis poskad membantu saya memperlahankan langkah dan menghargai tempat yang saya jejak. Satu nota kecil penuh kasih daripada diri saya yang lalu untuk dikenang pada masa depan,” ujarnya.
Maka tidak hairanlah walaupun telefon pintar kini mendominasi kaedah komunikasi, penggunaan poskad ibarat 'hidup semula' apabila makin ramai menggunakan kaedah tradisional itu.
Contohnya, projek seperti Postcrossing yang dilancarkan pada 2005 dan Hari Poskad Sedunia pada 1 Oktober telah menghidupkan kembali kegembiraan penulis tangan dalam era digital.
Menyedari jurang hubungan yang dialami oleh masyarakat moden, Postcrossing telah bekerjasama dengan syarikat percetakan komersial Portugis, Finepaper untuk melancarkan secara rasmi Hari Poskad Sedunia pada 2020.
Ia bertujuan untuk mengeratkan hubungan antara keluarga, rakan, dan juga orang asing. Sejak itu, Hari Poskad Sedunia diraikan setiap tahun pada 1 Oktober.
Eisenring bersama foto dirinya (gambar sudut kanan atas, kiri) dan rakannya Rebecca dalam poskad.
Walaupun poskad dianggap sebagai cara ‘lama’, masih ada golongan Generasi Z dan Milenial mengekalkan semangat berhubung melalui poskad.
Seperti Joanne Jeya, 25 dan Livia Eisenring, 24 dari Amerika Syarikat (AS), mereka menghantar poskad sebagai tanda penghargaan tulus, manakala artis dari Pulau Pinang, Teoh Lip Sheng menjual poskad ilustrasi di kiosnya bagi membolehkan pengunjung menulis dan menghantarnya kepada penerima.
“Saya tinggal di AS selama beberapa tahun ketika melanjutkan pelajaran di sana. Jadi setiap kali saya melancong ke negeri lain di sana, saya akan menghantar poskad pulang kepada ibu bapa dan rakan-rakan.
“Itu cara saya untuk memberitahu mereka bahawa saya masih mengingati mereka walaupun berada jauh dari rumah termasuk berkongsi sedikit pengalaman hidup saya. Mungkin juga sebuah hadiahkan mereka sesuatu yang nyata daripada tempat yang mungkin mereka tidak sempat lawati," ujar Joanne.
Jelas Eisenring yang bersetuju dengan Joanne, item tersebut menjadi satu tanda penghargaan yang manis buat penerima poskad.
“Saya mula melakukannya sejak sekolah rendah setiap kali mengikuti lawatan sekolah. Adalah perkara biasa menulis poskad kepada keluarga di rumah untuk memberitahu apa yang kami lakukan dan bagaimana perasaan kami,” ujarnya.
Eisenring kadangkala menghantar poskadnya yang dihasilkan sendiri menggunakan aplikasi Postcard Creator oleh Swiss Post.
“Apabila saya reka sendiri poskad, saya akan pilih gambar alam semula jadi, tempat menarik, dan diri saya sendiri,” kongsinya.
Kotak pos merah kecil ini sentiasa bersama Teoh setiap hadirkan diri ke acara poskad.
Mengekalkan semangatnya
Bagi anak Pulau Pinang, Teoh Lip Sheng, 32, dia sendiri menghasilkan poskad dan menjualnya di kios yang secara bergilir dibuka di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.
Kios tersebut dibuka di kawasan tumpuan pelancong dan peniaga.
“Ia sebahagian daripada pengalaman,” terangnya.
Manakala Joey Lim, 44, pula mengendalikan Unique Penang Art Gallery yang menyediakan perkhidmatan 'poskad masa depan'.
Idea ringkas itu ia berkembang menjadi satu tempat untuk menghantar kasih sayang, perhatian dan kebaikan kepada diri sendiri (pengirim) serta kepada orang tersayang.
Malahan, dia turut menyediakan meja-meja kecil untuk para pengunjung meluangkan masa menulis ucapan dan kata-kata mereka termasuk menyediakan cop dakwat khas untuk menghias poskad.
Kebangkitan trend poskad turut dikaitkan melalui pengumpulan setem dan ‘stamp rally’, yang popular di Jepun dan kini menular ke Malaysia.
Kedai kraftangan yang mempunyai setem cenderahati mereka sendiri.
Bila hobi mengumpul menjadi penghubung
Teknik cop dakwat kini semakin popular di luar dunia penulisan jurnal. Cop khas yang direka berdasarkan tempat tertentu atau acara istimewa menjadi kaedah untuk menyimpan kenangan lawatan ke lokasi tersebut.
Walaupun aktiviti itu telah lama digunakan di Jepun, beberapa tahun kebelakangan ini terdapat negara-negara lain mula memperkenalkan cop tersebut sebagai cenderamata pelancongan.
Pengembara, Jeremy Loh, berusia 40-an menggabungkan minatnya terhadap pelancongan dengan hobi mengumpul poskad dan cop.
Aktiviti mencari cop itu seperti memburu harta karun, dan menganggap setiap cop yang ditemuinya sebagai 'kejutan' yang boleh dikumpul sepanjang perjalanan.
Salah satu acara yang disertainya baru-baru ini ialah “George Town Festival x Elsie with Love Stamp Rally 2025”.
Loh berharap akan ada lebih banyak acara cop rasmi yang disokong kerajaan di seluruh Malaysia, seperti Muzium Negara dan Pejabat Pos Besar Kuala Lumpur, yang secara berkala menawarkan cop cenderamata kepada pengunjung.
Dia turut mencadangkan supaya gerai cop diwujudkan di stesen kereta api sebagai tarikan pelancong serta tempat bersejarah dan kebudayaan.
Menjadikan Jepun, Taiwan dan China sebagai contoh terbaik, langkah itu bukan sahaja dapat merancakkan pelancongan, tetapi juga menggalakkan pelawat untuk mempelajari sejarah dan makna di sebalik setiap lokasi.
Seorang lagi pengembara, Michelle Lim, 38, turut mengenali budaya cop di Jepun kerana pernah tinggal di sana hampir sedekad.
Namun, aktiviti ‘stamp rally’ pada awalnya tidak pernah wujud dalam hidupnya.
Ketika mula berjinak-jinak sekitar tahun 2018–2019, dia tidak tahu tentang 'peraturan tidak rasmi' aktiviti itu.
“Apabila selesai kumpul semua cop, kita perlu pergi ke pusat kutipan untuk menebus hadiah,” katanya, sambil tersenyum mengenang pengalaman menerima patung Lego JR Line Stationmaster selepas menamatkan satu acara stamp rally.
Lim juga pernah mengumpul cop di kuil dan tokong, yang dipercayai sebagai asal-usul tradisi itu di Jepun. Amalan mengumpul goshuin (cop kuil) sejak zaman Nara dikatakan menjadi pencetus kepada budaya stamp rally moden pada hari ini.
Lim kini meneruskan hobinya dengan mengumpul cop tempatan bagi menghubungkan jalinan sosial bersama masyarakat, sambil mengecap cop, mereka dapat bertukar pengalaman.
Joanne kumpulkan pelbagai jenis setem di setiap dalam perjalanannya.
Usaha Kreatif
Begitu juga dengan Farah Diyana Abdul Rahman, 43, yang berharap dapat lebih aktif dalam hobi mengumpul cop.
“Ia memberi saya sesuatu yang bermakna untuk dinantikan setiap kali mengunjungi tempat baharu, dan saya rasa ini cara yang indah untuk mengumpul kenangan,” katanya.
Farah yang turut memburu cop bersama dua orang anak pada awalnya hanya mengenalinya sebagai aktiviti yang agak popular di Jepun.
Tetapi apabila mengetahui bahawa terdapat beberapa acara yang diadakan di Malaysia, dia memutuskan untuk membawa anak-anaknya memburu cop di sekitar Kuala Lumpur.
“Anak-anak saya sangat seronok. Mereka teruja setiap kali kami menemui lokasi cop baharu. Ia ringkas saja tetapi mencipta rasa pengembaraan dan kerjasama yang seronok.
“Satu cara yang bagus untuk menghabiskan masa berkualiti bersama keluarga dan menjadikan setiap lawatan lebih bermakna”, kongsinya.
Seorang lagi peminat cop Joanne Jeya, 25, berkata, minatnya timbul kerana hobi seperti ini menyeronokkan, kreatif dan tidak susah.
“Walaupun lawatan ke pelbagai tempat itu memerlukan sedikit tenaga, ia selari dengan matlamat saya untuk meneroka tempat-tempat baharu, sesuatu yang saya suka sejak pulang dari luar negara.
“Hobi ini bukan sahaja membantu saya mendokumentasikan tempat yang saya lawati, tetapi juga menambah nilai pada pengalaman tersebut,” ujarnya.
Baginya, mengumpul cop terasa jauh lebih mengujakan daripada sekadar membeli poskad.
“Tambahan pula, walaupun saya perlu beli buku cop dan cop itu sendiri adalah percuma,” terangnya.
Walaupun Joanne tidak merancang perjalanan ke Jepun dalam masa terdekat, dia sudah pun menanda beberapa lokasi yang ingin dikunjungi sebagai misi kecil di samping aktiviti lain yang menyeronokkan.
Joanne mula berjinak-jinak dengan hobi itu pada bulan Jun ketika menghadiri Some Market, sebuah lokasi yang menjual alat tulis terletak di Kuala Lumpur.
Niat asalnya untuk membeli buku nota baharu kemudian berakhir dengan 'pasport cop' di tangan.
Ternyata, terdapat persilangan antara dunia penulisan jurnal, pengumpulan poskad, dan cop, terutamanya bagi mereka yang gemar menyimpan jurnal perjalanan sebagai wadah kreativiti. — TheStar/FLOREY D. MIKIL
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram