Rahsia awet muda, 8 hobi boleh diceburi saat usia makin lanjut


  • Hobi
  • Rabu, 08 Okt 2025

Kajian terbitan Journal of Health Psychology mendapati bahawa berkebun dapat mengurangkan paras kortisol secara ketara.

 

 

SEBAGAI manusia normal, adalah penting untuk kita mempunyai hobi masa lapang. Malah, ada sesetengah hobi bukan sekadar mengisi waktu lapang, namun cara untuk membentuk minda dan tubuh untuk anda menyesuaikan diri dengan perjalanan usia.

Pilihan hobi itu terletak ditangan anda untuk menentukannya sama ada minat yang sedia ada atau baharu timbul hasil ajakan rakan sebaya.

Ahli psikologi dan penyelidik telah mengkaji perkara ini selama beberapa dekad dan bukti jelas menunjukkan aktiviti yang betul boleh meningkatkan kesihatan otak, mengurangkan tekanan, dan bahkan menambah tahun dalam kehidupan anda.

BACA LAGI: Tradisi cop poskad dan setem, 'cara lama' dilupa jangan setiap kali ke tempat orang

BACA LAGI: Uniknya flora hidup, Taman Negara Kinabalu tersenarai 8 lokasi safari terbaik Asia

Jadi, berikut adalah antara lapan hobi yang berpotensi membantu proses penuaan, kekuatan, tujuan dan ketenangan.

 

 

1. Berkebun

Ada sesuatu yang menenangkan tentang sentuhan tangan di atas tanah. Berkebun membuat anda aktif dan mendekatkan diri dengan alam serta memberi kepuasan apabila melihat sesuatu yang ditanam daripada benih tumbuh dengan segar.

Bagi ramai warga emas, ahli psikologi menjelaskan bahawa aktiviti berkebun dapat membantu menurunkan tekanan dengan mencetuskan tindak balas istirehat dalam tubuh.

Kajian terbitan Journal of Health Psychology mendapati bahawa berkebun dapat mengurangkan paras kortisol secara ketara. Bahkan memperbaiki perasaan dalaman berbanding aktiviti dalam rumah.

Selain melegakan tekanan, ia juga memastikan anda kekal aktif secara fizikal dengan cara yang sesuai untuk semua peringkat umur.

Gabungan pergerakan dan ketenangan minda menjadikan berkebun satu hobi yang bagus dan menyihatkan badan.

 

 

2. Menari

Menari bukan sekadar hiburan, jika anda ingin tahu terdapat kelebihan lain yang melatih sudut otak yang tersembunyi di sebalik kegembiraan.

Mengingat langkah, menyelaras pergerakan, dan mengikut rentak muzik akan merangsang pelbagai bahagian otak secara serentak.

Penyelidik mendapati menari adalah keseronokan berganda. Muzik dapat merangsang pusat ganjaran otak, manakala tarian mengaktifkan sistem deria dan motor dalam otak.

Selain itu, menari juga bersifat sosial. Sama ada menari dalam dewan, gaya salsa, atau seumpamanya, anda berkongsi pengalaman hubungan sosial yang menjadikan kesannya lebih mendalam.

3. Membaca

Membuka sebuah buku ibarat membuka jendela ke dalam minda orang lain. Pembaca tegar pasti tahu bahawa membaca bukan sekadar hiburan tetapi ia adalah latihan mental.

Ahli psikologi mendapati bahawa membaca menguatkan empati dengan mengaktifkan rangkaian otak yang dikenali sebagai “theory of mind” iaitu keupayaan untuk memahami pemikiran dan perasaan orang lain.

Lama-lama ia membantu mengekalkan kecerdasan sosial dan emosi. Dua elemen penting itu sangat perlu dipelihara untuk menjalani kehidupan yang bermakna terutamanya ketika usia meningkat.

Itulah kekuatan membaca, ia meluaskan pandangan, melembutkan hati, dan menguatkan ingatan kita bahawa dunia ini jauh lebih besar dan kompleks daripada rutin harian.

Jadi bawalah perspektif yang baik itu ke usia tua dan jadikan hidup anda terasa lebih bermakna, tidak kira di tahap mana anda berada.

4. Berjalan atau Mendaki

Berjalan nampak seperti perkara biasa tetapi ia sebenarnya antara cara terbaik untuk kekal sihat ketika menua.

Berjalan secara konsisten mampu menguatkan jantung, memperbaiki peredaran darah, dan meningkatkan suasana ceria.

Kesan psikologinya juga besar kerana berdasarkan kajian, berjalan di kawasan semula jadi dapat mengurangkan rumination iaitu corak pemikiran negatif yang berulang yang berkait dengan masalah kemurungan.

Ini termasuk meningkatkan emosi positif dalam diri. Aktiviti mendaki pula menambah elemen cabaran yang melatih keseimbangan dan daya tahan tubuh.

Diingatkan dua perkara tersebut mudah merosot jika tidak dijaga apabila menjangkau usia yang lebih tua.

Anda tidak memerlukan peralatan mahal atau keahlian gim, cukup sepasang kasut dan udara segar saja.

 

 

5. Memasak

Memasak bukan sekadar untuk mengisi perut yang lapar, ia adalah satu bentuk kreativiti.

Memilih bahan, bereksperimen dengan rasa, dan hidu makanan, dan menyediakan hidangan itu merupakan proses yang menyeronokkan dan merangsang minda.

Ahli psikologi menyatakan bahawa memasak memberi rasa autonomi dan kecekapan. Menyediakan makanan sihat pula memberi manfaat fizikal yang jelas, seperti mengawal berat badan dan mengurangkan risiko penyakit kronik.

Banyak manfaat boleh dapat jika anda rajin memasak. Selain itu, memasak juga menjadi cara untuk menjalin hubungan seperti mewariskan resipi turun-temurun, menghimpunkan keluarga, atau sekadar lepak dan berkongsi makanan bersama rakan-rakan.

Gabungan kreativiti, kesihatan, dan ikatan sosial inilah yang menjadikan masakan anda sangat bermakna dalam kehidupan.

 

 

 

 

6. Bermain Alat Muzik

Alat muzik seperti piano, gitar, atau biola seringkali menenangkan pemikiran apatah lagi jika anda memiliki kemahiran bermain alat tersebut.

Ia sebenarnya memberikan senaman kepada otak dengan cara yang unik melalui ingatan, koordinasi, dan ekspresi emosi secara serentak.

Satu kajian terbitan Frontiers in Psychology mendapati bahawa, warga emas yang bermain alat muzik menunjukkan daya ingatan dan keanjalan kognitif yang lebih baik berbanding mereka yang tidak bermuzik.

Amalan berlatih dan membuat persembahan juga membantu membina ketahanan pada rangkaian otak yang biasanya merosot apabila usia meningkat.

Walaupun anda baru mula belajar pada usia dewasa, manfaatnya tetap nyata. Muzik bukan sekadar mendengar, ia merangsang otak, membawa kegembiraan dan ganjaran pada emosi manusia untuk terus berlatih.

7. Menjadi Sukarelawan

Membantu orang lain sebenarnya adalah antara cara terbaik untuk membantu diri sendiri.

Aktiviti sukarelawan sebenarnya sebuah inisiatif yang bagus untuk mengurangkan rasa kesunyian dan menghubungkan anda bersama komuniti di luar lingkungan biasa.

Kajian psikologi menunjukkan bahawa warga emas yang aktif dalam kerja sukarelawan melaporkan tahap kepuasan hidup yang lebih tinggi bahkan kadar kemurungan yang lebih rendah.

Sebahagian besar daripada kesan positif tersebut datang daripada apa yang disebut sebagai “helper’s high”, iaitu rasa bahagia yang timbul apabila menerima impak positif kepada orang lain.

Kerja sukarelawan boleh dilakukan dalam pelbagai bentuk seperti mengajar kanak-kanak, memberi bantuan makanan atau menyertai program dalam talian.

Apa yang paling penting ialah rasa makna dan tujuan yang terhasil daripada aktiviti berkenaan.

 

 

 

 

8. Meditasi atau Yoga

Amalan minda dan tubuh seperti meditasi dan senaman yoga bukan sekadar meningkatkan kelenturan atau menenangkan fikiran.

Ia membantu “menetapkan semula” cara tubuh dan minda anda bertindak balas terhadap tekanan termasuk, mengekalkan keseimbangan emosi dalam jangka masa panjang.

Kajian yang diterbitkan dalam JAMA Internal Medicine menunjukkan bahawa amalan meditasi berasaskan kesedaran mampu mengurangkan gejala kebimbangan, kemurungan, dan kesakitan terutamanya dalam kalangan orang tua.

Yoga pula dikaitkan dengan peningkatan keseimbangan badan, pengurangan risiko jatuh, serta kualiti tidur yang lebih baik.

Kehebatan kedua-dua amalan tersebut terletak pada sifatnya yang fleksibel. Anda boleh bermeditasi selama lima minit atau sejam.

Malah pengamalnya boleh memilih yoga lembut di kerusi atau rutin yang lebih mencabar.

Kedua-duanya cara itu dapat membantu menghadapi proses penuaan dengan ketahanan dan ketenangan.— Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram

 

 

Berkebun, menari, muzik, senaman, kajian, pakar