Panorama matahari terbenam memukau, Bukit Kokol miliki 'aset' unik antara laut dan langit


  • Nomad
  • Selasa, 07 Okt 2025

Bukit Kokol merupakan sebahagian daripada kaki Banjaran Crocker

SABAH adalah sebuah negeri yang tidak pernah surut dengan pemandangan indah tidak kira siang mahu pun malam. Yang pastinya kehadiran sesiapa sahaja di sana akan meninggalkan sebuah kenangan yang indah.

Bukit Kokol yang berliku-liku, sempit dan jauh dari kawasan tepi pantai Kota Kinabalu menjadi sebuah lokasi yang harus dikunjungi buat mereka yang datang ke Sabah.

Menggunakan kereta enjin kecil sambil mematikan penyaman udara bagi memberi lebih kuasa untuk mendaki, pengembaraan penulis, Eddie Chua, di sana telah mengabadikan memori yang sukar dilupakan.

BACA LAGI: Suara Palestin curi tumpuan ekspresi seni di New York

BACA LAGI: Remaja obses bina badan cenderung alami kesunyian — Pakar

 

Suasana petang di puncak Bukit Kokol.

Ketika menaiki bukit tersebut, semasa menurunkan tingkap kereta, angin sejuk mula menyapa memberi bayangan udara tanah tinggi sedang menanti.

Perjalanan ke puncak Bukit Kokol akan melalui rumah-rumah kampung, kebun buah-buahan kecil dan kawasan hutan yang tersisa termasuk asap dari dapur kayu mewujudkan suasana klasik.

Kadangkala aroma bau manis buah cempedak turut menyinggah, sekali gus menampilkan kelainan destinasi ini.

Hanya 45 minit jarak dari ibu negeri Sabah, hampir sepanjang perjalanan menunjukkan permukaan laluan yang mendaki.

Semakin hampir anda menuju ke puncak, kelihatan Laut China Selatan dengan kilauan pantulan cahaya air laut terbentang luas dan cukup mempesonakan.

Tambahan pula, kelihatan kapal tangki dan pelantar minyak bertaburan di lautan memperlihatkan keluasan samudera ciptaan Tuhan yang begitu luar biasa.

Di lereng bukit berkenaan, komuniti Kadazandusun mengusahakan kebun dan ladang kecil mereka.

Bahkan, ada yang diusahakan di cerun yang begitu curam hingga sukar dipercayai bagaimana tanaman tersebut dapat tumbuh dengan elok di situ.

Pada hujung minggu, penduduk Kota Kinabalu akan datang ke tanah tinggi itu dan menjadikan tempat yang sunyi itu bertukar menjadi tempat perhimpunan ramai untuk melihat keajaiban alam semula jadi di puncak bukit berkenaan.

Malahan, anda boleh bersantai sambil minum petang di gerai-gerai kecil berderet yang menjual jagung bakar, kepak ayam panggang, kopi dan teh.

Namun apabila matahari mula menghampiri ufuk, semua pandangan tertumpu ke arah barat. Langit pula mula mempersembahkan fenomena pertukaran cahaya siang ke senja dengan perlahan.

Kemudian laut pula berubah menjadi cair keemasan, manakala pulau-pulau di Taman Tunku Abdul Rahman muncul sebagai bayang hitam di balik jalur warna jingga, ungu dan merah jambu.

Malahan, pelantar minyak juga kelihatan megah, berdiri kukuh seperti penjaga senyap di hadapan kanvas langit yang menyala dan tanpa anda sedar suasana menjadi hening.

Tidak lama kemudian, bunyi kamera memecah keheningan, telefon diangkat untuk merakam sinaran cahaya itu.

Langit berubah daripada jingga ke merah menyala, kemudian menjadi ungu lembut dan kebanyakkan orang yang ada di sana terpegun melihat situasi atau detik-detik ketika kejadian itu berlaku.

Apabila jalur terakhir matahari hilang dari pandangan, tumpuan beralih terus ke bawah.

Cahaya atau lampu bandar di kaki bukit mula berkelip atau dihidupkan, bermula lampu jalan, papan tanda neon hinggalah bangunan mula menyerikan lagi waktu malam di kota tersebut.

Pada ketinggian 900 meter dari paras laut, Bukit Kokol merupakan sebahagian daripada kaki Banjaran Crocker.

Bagi mereka yang mendaki ke sini, ganjarannya bukan sekadar pemandangan tetapi kenangan atau peringatan bahawa keindahan sering menuntut sebuah perjalanan.

Semoga setiap saat dan detik yang dialami menjadi sebuah peninggalan yang cukup indah dalam diri kita.— TheStar/EDDIE CHUA

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram