Kalau ada rezeki, 'tokong bola sepak' antara 7 stadium wajib singgah andai ke Eropah


  • Nomad
  • Jumaat, 22 Ogos 2025

Eropah memilik tujuh stadium yang wajib dikunjungi. — Agensi

STADIUM kini bukan sahaja menjadi lokasi tumpuan untuk penyokong bola sepak menonton perlawanan tetapi berpotensi juga diangkat sebagai destinasi pelancongan selain penganjuran acara besar seperti konsert.

Ini kerana sesetengah stadium bukan sekadar memiliki kemudahan moden tetapi ada juga aktiviti sampingan untuk pengunjung seperti memanjat bumbung dan gelongsor zipline di dalam stadium.

Jika rezeki anda berkunjung ke Eropah, ini tujuh stadium paling menarik untuk dilawati di Eropah dan pastinya anda akan berpuas hati andai berkesempatan menikmati tarikan yang ditawarkan.

BACA LAGI: [VIDEO] Larian 444km Kak Tutu lambang perkasa wanita Malaysia

BACA LAGI: Pengalih suara percaya kartun Tarzan diadaptasi dari karya Ibnu Thufail Al Andalusi

 

Pelawat dibenarkan juga untuk menjejakkan kaki ke atas bumbung ketika sesi melawat yang dipanggil ‘roof climb’.

1) Olympiastadion Munich, Jerman

Stadium ini sesuai buat pencinta adrenalin. Di Olympiastadion Munich, pengunjung boleh masuk ke bawah bumbung malah dibenarkan juga untuk menjejakkan kaki ke atas bumbung ketika sesi melawat yang dipanggil ‘roof climb’.

Mereka yang berani dan inginkan pengalaman tersebut akan disajikan dengan pemandangan indah bandar Munich dan puncak Alps yang boleh nampak dari jauh.

Lebih hebat lagi, pelawat akan mengakhir kunjungan tersebut dengan aktiviti zipline ‘Flying Fox’, menyajikan pengalaman kepada mereka meluncur merentasi stadium.

2) Olympiastadion Berlin, Jerman

Olympiastadion Berlin dibina oleh rejim Nazi untuk Sukan Olimpik Musim Panas 1936, sebagai projek propaganda berskala besar.

Tapi kini pengunjung boleh meneroka stadium itu melalui lawatan berfokuskan sejarah selain daripada lawatan terhadap sukan dan seni bina di sana.

Sebagai gelanggang rasmi kelab Hertha BSC, Berlin, stadium berkenaan turut menawarkan lawatan istimewa lain seperti pengalaman pertunjukan cahaya dan muzik.

Dalam sesi lawatan juga, pengunjung berpeluang memanjat bahagian bawah bumbung untuk melihat keindahan stadium tersebut.

3) Stadium Wembley London, England

Stadium ikonik bola sepak Wembley telah menjadi pentas kepada pelbagai detik dramatik bersejarah dunia sukan termasuk perlawanan akhir Piala Dunia 1966 ketika England menewaskan Jerman.

Bangunan asal stadium tersebut telah dirobohkan 2003 dan digantikan dengan stadium baharu di lokasi yang sama seterusnya dibuka pada 2007, dengan lengkungan keluli setinggi 133 meter sebagai ciri utamanya.

Ruangan tempat duduk golongan kerabat diraja masih dikekalkan sebagai lambang dan sebahagian daripada lawatan stadium.

Ia khusus ditempatkan di kerusi VIP kerabat diraja dan selebriti serta lokasi tradisional untuk penyampaian piala kemenangan.

Kemudian, buat pasukan yang menang mereka perlu mendaki 107 anak tangga untuk sampai ke kawasan tersebut.

 

 

4) Camp Nou di Barcelona, Sepanyol

Stadium milik pasukan FC Barcelona ini bukan sahaja stadium bola sepak terbesar di Eropah, tetapi juga di dunia, dengan kapasiti 99,354 penonton.

Walaupun kini sedang menjalani proses pengubahsuaian, ia masih menawarkan banyak tarikan kepada pengunjung.

Lawatan 'Barça Immersive Tour' menawarkan pengunjung menggunakan teknologi realiti maya (VR) untuk melihat gambaran awal Spotify Camp Nou selepas ia siap diubah suai.

Terdapat juga muzium interaktif FC Barcelona yang menceritakan tentang sejarah dan aspirasi kelab tersebut.

Bagi mereka yang mahukan aktiviti mencabar, anda boleh mencuba “Robokeeper Challenge” untuk menguji kemahiran menjaringkan gol dengan menewaskan robot penjaga gol.

5) Signal Iduna Park Dortmund, Jerman

Tokong, itulah gelaran peminat pasukan bola sepak Borussia Dortmund terhadap stadium ini. Stadium itu merupakan yang terbesar di Jerman dengan kapasiti 81,365 tempat duduk.

Di sini, anda boleh menyertai lawatan melihat di sebalik tabir termasuk tempat duduk penyokong South Stand yang terkenal di dunia, dikenali sebagai ‘Yellow Wall’ dan kawasan berdiri yang sentiasa menjadi rebut peminat.

Turut boleh dilawati adalah bilik persalinan pemain, terowong keluar ke padang, dan juga 'penjara' stadium yang digunakan jika pemain menimbulkan masalah semasa perlawanan.

 

6) Stadium Tottenham Hotspur London, England

London mempunyai sebuah lagi stadium dengan sesi lawatan yang unik. Di gelanggang rasmi Tottenham Hotspur, pengalaman ‘The Dare Skywalk’ membawa pengunjung ke puncak stadium.

Peserta boleh memanjat ke atas bumbung stadium dan menikmati pemandangan latar langit London dari kawasan tinjauan khas.

Bagi mereka yang benar-benar berani, pengalaman ini boleh dipertingkatkan kepada ‘The Edge’, membolehkan pengunjung turun di bahagian tepi bumbung stadium.

7) Celtic Park Glasgow, Scotland

Celtic Glasgow telah menjadikan stadium ini sebagai markas sejak 1892. Walaupun peminat memanggil Celtic Park sebagai ‘syurga’, suasana tegang dan menggerunkan di situ boleh menjadikannya seperti "neraka" untuk pasukan lawan.

Selain itu, bagi mereka yang berminat dengan bola sepak dan makanan mewah, ditawarkan pakej ‘Tour & Dine’. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram