
ERTI kemerdekaan terhadap seseorang itu besar peranannya demi menulis sejarah dalam kehidupan seterusnya disemai menjadi contoh kepada generasi akan datang.
Itulah ungkapan wanita yang berlari sejauh 444 kilometer (km) dalam acara larian Coast To Coast bernama Ainun Yeop Kamaruddin atau lebih dikenali Kak Tutu.
Dia yang juga telah mencapai umur 44 tahun seiring dengan jangka 444 berjaya menghabiskan acara edisi keenam dari Lumut, Perak hingga ke Bachok, Kelantan itu membuktikan perjuangan uniknya bagi memperkasakan generasi wanita zaman ini.
BACA LAGI: Pengalih suara percaya kartun Tarzan diadaptasi dari karya Ibnu Thufail Al Andalusi
Buku Bangkit Belari menceritakan kisah kebangkitan Kak Tutu dalam hidup.
“Macam saya sendiri lebih kepada bidang sukan secara khususnya larian ultra marathon. Saya gunakan pentas itu untuk cipta naratif baharu dan membuktikan kejayaan dari sudut pencapaian seorang wanita.
“Saya cipta apa yang tidak dicipta oleh generasi terdahulu supaya boleh jadikan pedoman dan kekuatan kepada hala tuju yang baharu,” katanya yang sudah menerbitkan sebuah buku bertajuk Bangkit Berlari.
Ibu kepada tiga cahaya mata itu turut menekankan merdekanya seorang wanita itu adalah apabila mereka dapat mengatasi keraguan dalam diri yang berpunca dalam diri sendiri.
Kak Tutu tetap mengenalan Tutu (skrit pendek) walaupun semasa latihan berlari.
Sebagai contoh, dia ada menerima kecaman tentang pencapaiannya yang disifatkan sebagai hanya membuang masa berlari.
Dia akui bahawa kata-kata negatif ini tidak boleh lari daripada hidupnya apatah lagi berada dalam zaman digital.
“Ada yang cakap alah perempuan ni nak buat apa lari jauh-jauh, baik duduk rumah lagi baik. Saya perempuan, memang saya lemah tapi benda-benda macam inilah sebenarnya yang akan menguatkan saya.
“Inilah yang saya nak katakan, elemen merdeka itu adalah apabila kita menilai kejayaan melalui pencapaian dan bukan apa yang dilakukan,” ujarnya yang berjaya mencatat Malaysia Book of Records (MBOR) dan penghargaan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) baru-baru ini.
Kak Tutu jadikan sukan berlari sebagai gaya hidup sihatnya dan sebuah kegembiraan dalam hidupnya.
Mengulas lanjut, Kak Tutu turut berkongsi tentang cabaran dan usaha dalam mengurangkan berat serta melawan penyakit yang dihadapinya.
Kak Tutu bukan sahaja pernah menjadi obesiti tahap satu, malah beliau juga menghidap penyakit kritikal.
“Saya dahulunya obesiti tahap satu, nak berjalan dekat pun mengah, sampai tahap ada orang ingat saya mengandung tanya sudah berapa bulan dalam perut itu.
“Pada masa sama saya juga diagnosis dengan endometriosis dan adenomiosis dan yang merebak di dalam badan saya, memang tertekan betul.
“Dengan sakitnya obesiti lagi, jadi saya ubah gaya hidup. Jaga makan bersenam dan terus-terang mula-mula memang struggle,
“Rasa macam nak putus asa dan berserah saja. Tapi bila fikir balik, tiada gunanya saya hidup dengan perkara yang mendatangkan tekanan dalam diri, masa depan itu penting. Jadi berjuanglah saya sehingga hari ini dengan apa yang menggembirakan saya,” jelasnya.
Ikuti perkongsian lanjut Kak Tutu tentang detik-detik perjuangan dalam mencapai kejayaan berlari sejauh 444km dan erti kemerdekaan buat dirinya dan wanita dalam segmen Duduk Sembang edisi #jejakmerdeka di Majoriti.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram