Uncle GP layak digelar 'MacGyver Subang Jaya', pakar baiki alat permainan sambil bantu komuniti


  • Hobi
  • Jumaat, 22 Ogos 2025

Poh meletakan harapan dan sasarn untuk menganjurkan bengkel membaiki mainan untuk warga dengan  mengajar mereka kemahiran asas elektronik dan pembaikan mainan.

TAN Guan Poh, 75, telah berkerjaya sebagai jurutera elektronik selama lebih 25 tahun namun dia tidak pernah berhenti meninggalkan ilmunya walaupun sudah tidak berkerja.

Malah dengan pengalaman tersebut, Tan yang berasal dari Subang Jaya, Selangor itu amat mahir dengan hal berkaitan elektronik dan kini banyak meluangkan masa membaiki permainan yang rosak.

“Apabila saya buka mainan yang rosak, nampak wayar-wayar yang ada saya dah tahu macam mana litar itu berfungsi dan aliran kuasanya,” katanya ketika ditemui di Subang Jaya, Selangor.

BACA LAGI: Kikis persepsi 'game budak jahat', Farid Hamidi buktikan snuker boleh bentuk disiplin melalui pakaian

BACA LAGI:  [VIDEO] Larian 444km Kak Tutu lambang perkasa wanita Malaysia

 

Gaya hidup aktif membantu warga emas mengekalkan tujuan, keyakinan dan semangat kekitaan.

Menariknya, Tan mendapat inspirasi untuk membaiki mainan itu daripada siri TV popular pada tahun 1980-an bertajuk MacGyver, kisah ejen rahsia Angus MacGyver yang memiliki kepakaran membaiki atau mencari penyelesaian dalam keadaan terdesak.

“Bagi saya, MacGyver sangat hebat dan suka bagaimana dia menggunakan kepintarannya untuk menyelesaikan masalah, saya mahu jadi sepertinya.

“Sekarang saya membaiki mainan. Ia membuatkan minda saya sentiasa aktif saya seronok rasanya bila memberi nafas baharu kepada mainan lama,” katanya.

Di rumah, timbunan mainan lama memenuhi kotak plastik milik cucu-cucunya seperti kereta mainan dan robot yang rosak akan dibaiki Tan.

Kemudian dia akan menyumbangkannya kepada kanak-kanak kurang bernasib baik termasuk Orang Asli di Bukit Tinggi, Pahang.

“Kebanyakan mainan yang menggunakan bateri ini berhenti berfungsi disebabkan masalah mudah.

"Mudah untuk membuang barang yang rosak, tetapi jika ia boleh dibaiki, kenapa tidak betulkan saja?” ujarnya yang juga dikenali sebagai Uncle GP.

Walaupun ada sesetengah individu yang menjadikan aktiviti membaiki itu sebagai kerja sambilan, bagi Poh dia menggunakan kepakarannya untuk membantu orang lain.

Poh (kanan) bersama ahli gerejanya dan masyarakat Orang Asli dari Kampung Chemperoh, Bentong, Pahang.

Dia percaya bahawa aktiviti sedemikian boleh membantunya sebagai warga emas untuk kekal aktif dari segi mental dan terus berhubung secara sosial.

“Persaraan bukan bermakna kita berhenti hidup. Tengok saya, rasa lebih muda apabila buat kerja ini. Dan yang paling seronok, saya dapat bermain dengan mainan,” kata datuk kepada sembilan orang cucu itu.

Satu kajian pada tahun 2020 bertajuk Health Promotion and Active Ageing Among Seniors in Malaysia mendapati bahawa warga emas yang kekal aktif dari segi mental dan fizikal cenderung untuk menilai kesejahteraan diri mereka secara positif.

Kajian yang diterbitkan dalam Journal of Health Research itu turut menyatakan bahawa promosi kesihatan dan penuaan aktif merupakan dua komponen utama dalam meningkatkan kualiti hidup.

Ini termasuk membolehkan warga emas mengekalkan rasa kawalan dalam kehidupan mereka.

Bantu komuniti

Kerja komuniti Tan bermula semasa pandemik selepas dia menawarkan khidmat membaiki mainan di Re:Play Toy Hub and Toy Library, ruang permainan percuma yang diusahakan oleh Play Unlimited di sebuah pusat beli-belah di USJ.

“Suatu hari, saya lalu di hadapan kedai itu dan ternampak mainan di dalam. Saya masuk dan dapati ada mainan terpakai yang rosak.

“Saya tawarkan diri untuk membantu. Inilah cara saya menyumbang kembali kepada masyarakat,” jelasnya.

Dia menabur bakti bersama Re:Play selama hampir dua tahun dan telah membaiki ratusan mainan berkuasa bateri.

Malahan, dia juga melatih beberapa sukarelawan untuk membaiki mainan.

Poh sangat percaya kepada prinsip 3R guna semula (reuse), kurangkan (reduce) dan kitar semula (recycle) dan mahu membantu membina Malaysia yang lebih lestari.

Poh memanjangkan hayat barangan yang sepatutnya berakhir di tapak pelupusan, sambil mendidik orang ramai.

Melalui pembaikan mainan, dia memanjangkan hayat barangan yang sepatutnya berakhir di tapak pelupusan, sambil mendidik orang ramai untuk menghargai harta milik mereka.

“Kanak-kanak zaman sekarang ada segalanya. Kadang-kadang mereka kurang minat dan untuk belajar kerana terlalu hidup senang.

“Ibu bapa tidak sepatutnya terlalu memanjakan anak-anak. Ayah saya bekerja di Ladang Sungkap Para di Sungai Petani. Kami tak mampu beli mainan, jadi saya buat sendiri.

“Saya guna kotak mancis untuk buat kereta mainan, dan penutup botol Coca-Cola sebagai tayar. Masa itu umur saya lebih kurang lapan tahun,” katanya.

Tan meluahkan walaupun kanak-kanak hari ini bertuah kerana mempunyai akses kepada telefon dan teknologi, mereka juga perlu dibimbing cara menggunakannya dengan kreatif.

“Mereka boleh bermain permainan video, tetapi mereka juga patut guna telefon untuk belajar dan teroka perkara baharu. Itu sangat penting,” jelasnya.

Misi besar

Minat Poh untuk membantu orang lain tidak terhad kepada membaiki mainan sahaja.

Beliau juga berkhidmat sebagai kapelan (pegawai agama) di sebuah gereja di USJ 1, Subang Jaya.

“Dalam hidup, kita mesti lakukan apa yang kita mampu untuk membantu orang lain.

“Walaupun kecil, setiap perbuatan boleh memberi kesan yang besar,” ujarnya.

Selepas bersara pada 2000, Poh berkhidmat sebagai pastor di beberapa gereja Methodist di seluruh negara.

Kemudian melanjutkan pengajian dalam Pendidikan Pastoral Klinikal di Texas Health Harris Methodist Hospital, Bedford, Texas, Amerika Syarikat pada 2008, seterusnya bekerja selama lima tahun sebagai kapelan hospital di Singapura.

“Tugas saya ialah memberikan sokongan emosi dan rohani kepada pesakit.

"Apabila mereka lebih positif, mereka lebih cenderung untuk mengambil ubat dan lama-kelamaan bertindak balas dengan lebih baik terhadap rawatan.," katanya.

Kini, dia terus menawarkan khidmatnya di PARC, sebuah pusat komuniti di Subang Jaya, dengan membaiki barang rosak setiap hari Rabu dan Jumaat dengan bayaran kecil.

Pengetahuan teknikal juga membolehkannya mencipta penyelesaian mudah seperti menukar mainan berkuasa bateri kepada mainan yang boleh disambung menggunakan USB.

“Kebanyakan mainan beroperasi dengan lima volt, sama seperti kuasa USB. Jadi saya buka mainan, cari terminal, dan sambungkan kabel USB. Dengan cara itu, tak perlu tukar bateri berkali-kali,” maklumnya.

Di rumah, Tan juga mempelajari perkara baharu menggunakan internet sebagai rujukan.

Warisi ilmu

Melihat ke hadapan, Poh meletakan harapan dan sasaran untuk menganjurkan bengkel membaiki mainan untuk warga emas dengan mengajar mereka tentang kemahiran asas elektronik dan pembaikan alat permainan.

“Ramai warga emas rasa bosan. Saya percaya kepada perkongsian ilmu. Setakat ini, saya sudah melatih beberapa wanita semasa saya menjadi sukarelawan di Re:Play. Saya tahu saya boleh latih lebih ramai lagi.

“Selagi anda tahu cara membuka mainan, kenal pasti terminal positif dan negatif, dan tak tertukar antara keduanya, itu dah kira separuh jalan.

“Bahagian mekanikal memang mudah. Bahagian elektronik hanya perlukan sedikit latihan dari segi tukar komponen wayar, dan beberapa lagi,” kongsinya.

Baginya, apabila sudah faham perkara tersebut, tahu guna skru dan buka pasang mainan, proses pembaikian sudah boleh dimulakan.

“Anda tak perlukan ijazah kejuruteraan pun. Mainan bukan hanya untuk kanak-kanak. Ia boleh mengembalikan kenangan.

"Bagi pesakit dementia, mainan lama boleh menjadi peringatan yang kuat tentang masa silam mereka,” katanya mengakhiri perbualan.

TheStar/SHEELA CHANDRAN

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram