
KOS pengangkutan boleh menjadi antara perbelanjaan terbesar semasa mengembara, terutamanya jika tidak dirancang dengan baik. Tambang teksi, khususnya, berbeza mengikut lokasi dan boleh memberi kesan besar terhadap bajet perjalanan anda.
Satu kajian terbaru oleh ChoiceQuote mendedahkan lima bandar purata tambang teksi paling mahal dan paling murah di dunia.
BACA LAGI: Tulisan Jawi sebuah sistem, setiap lukisan ada kisahnya
BACA LAGI: Art of Speed 2025 kekal 'garang', simbol kekuatan dunia modifikasi permotoran
Kajian melibatkan 50 bandar utama di seluruh dunia dari Jepun hingga Mexico.
Kajian ini melibatkan 50 bandar utama di seluruh dunia dari Jepun hingga Mexico dengan analisis berdasarkan perjalanan sejauh lima batu termasuk bayaran tip.
5 bandar dengan tambang teksi paling mahal
1. Paris, Perancis
Bandar cinta ini menduduki tangga teratas dengan purata kos teksi sejauh lima batu mencecah £29.12 (RM165.80) termasuk tip 7.5 peratus. Dari segi pelancongan, Paris terkenal dengan keindahan Menara Eiffel, seni bina klasik dan gastronomi bertaraf dunia, cuma kos pengangkutan di sini agak tinggi.
2. London, United Kingdom
Di tempat kedua ialah London dengan tambang purata £27.96 (RM159.27) termasuk tip 10 peratus. Teksi hitam ikonik London mungkin bergaya, namun harganya juga ‘bergaya’.
3. Milan, Itali
Bandar fesyen dunia ini berada di kedudukan ketiga dengan purata kos £24.57 (RM140.00). Di sini, tip sebanyak 7.5 peratus dianggap mencukupi.
4. Osaka, Jepun
Osaka menduduki tempat keempat dengan kos sekitar £24.06 (RM118.54). Jepun memang terkenal dengan sistem pengangkutan yang cekap, namun tambang teksi boleh jadi agak mahal.
5. Amsterdam, Belanda
Bandar kincir angin dan terusan ini berada di tempat kelima dengan tambang purata £24.00 (RM118.24) untuk perjalanan sejauh lima batu.
Delhi, India menduduki tempat pertama sebagai lokasi yang paling murah tambang teksi.
5 bandar dengan tambang teksi paling murah
1. New Delhi, India
Mendahului senarai bandar paling murah ialah ibu negara India dengan purata tambang hanya £2.06 (RM10.15) termasuk tip sebanyak 12.5 peratus.
2. Kaherah, Mesir
Bandar penuh sejarah ini menawarkan tambang sekitar £2.31 (RM11.38) termasuk tip 10 peratus.
3. Denpasar, Indonesia
Lokasi pelancongan popular di Bali ini menduduki tempat ketiga dengan kos hanya £2.41 (RM11.87).
4. Agra, India
Rumah kepada monumen Taj Mahal ini turut tersenarai sebagai bandar keempat termurah dengan tambang £3.74 (RM18.43).
5. Shanghai, China
Bandar metropolitan moden ini berada di tempat kelima dalam senarai paling murah, dengan tambang sekitar £4.14 (RM20.40).
Bijak merancang, Bijak berbelanja. Sebagai pengembara, penting untuk mengambil kira kos pengangkutan dalam perancangan bajet anda. Walaupun menaiki teksi boleh memberikan keselesaan dan kemudahan, ia juga boleh menjadi faktor utama peningkatan kos jika tidak dikawal. Pilih destinasi dan kaedah pengangkutan yang sesuai agar pengalaman kembara anda lebih lancar dan berbaloi.
(Nota: Semua kadar pertukaran mata wang adalah berdasarkan nilai Euro semasa kajian dibuat dan mungkin berubah mengikut masa). — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram