
MUSIM monsun Barat Daya antara April hingga September di Pantai Timur amat dinantikan oleh penggemar kaki pancing yang tidak sabar untuk melakukan aktiviti mencandat sotong.
Segmen Nomad kali ini, menyelami aktiviti candat sotong di negeri Terengganu Darul Iman selama dua hari satu malam dengan menaiki bot tongkang milik penduduk kampung.
Pemburuan sotong bermula pukul 5 petang dari Jeti Seberang Takir, Kuala Nerus, Terengganu dengan melusuri bawah Jambatan Angkat Kuala Terengganu hingga ke tengah laut yang mengambil masa lebih kurang 1 jam 30 minit sebelum tiba di 'lubuk' sotong.
BACA LAGI: Rumah tradisional nelayan hiasi Pantai Kampung Jambu Bongkok
BACA LAGI: Cari alatan, pakej lesen aktiviti menyelam? MIDE beri anda 1001 pilihan
Sotong bersaiz besar menjadi pemburuan buat pencandat.
Tekong yang di kenali sebagai Wak Jo berkata, ketibaan kami masih terlalu awal dan lubuk sotong belum pun cukup 'panas' untuk memulakan aktiviti mencandat.
"Sotong kurang aktif waktu petang, bila masuk malam baru banyak sotong berkeliaran di sini," katanya.
Bagi tidak membuang masa, kami penuhi masa terluang itu dengan aktiviti memancing dan bersiap sedia memasang umpan sambil melayan angin yang menampar pipi.
Jeti Sebarang Takir, Kuala Nerus, Terengganu.
Menjelang malam, saat-saat yang dinantikan tiba apabila Wak Jo memberi 'lampu hijau' untuk memulakan aktiviti mencandat.
Beberapa candat digunakan seperti candat udang, candat mayat, candat lidi dan alangkah terkejutnya hanya kurang lima minit puluhan sotong berjaya dinaikkan dengan pelbagai saiz.
Dalam kesibukan mencandat ditengah laut, perut juga harus diisi. Menikmati nasi putih, ikan kerisi goreng yang dipancing dan kari sotong di tengah laut adalah menu yang paling enak dijamah, malah kesedapan itu lebih mahal dari menikmati hidangan di hotel lima bintang.
Hasil tangkapan sotong semalaman.
Aktiviti mencandat sotong diteruskan sepanjang malam hingga ke subuh dan sekitar pukul 9 pagi kami kembali semula ke Jeti Seberang Takir, bersama hasil tangkapan 20 kilogram sotong berjaya dinaikkan.
Melusuri Jambatan Angkat Kuala Terengganu sebelum ke destinasi 'lubuk' sotong.
Ikuti video penggambaran penulis mencandat sotong ini dalam segmen Nomad di Majoriti. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram