Malaysia akhirnya pintas Thailand destinasi pelancongan paling popular, Langkawi-George Town antara 5 lokasi tumpuan


  • Nomad
  • Jumaat, 13 Jun 2025

Seiring dengan evolusi dan penambahbaikan berterusan dalam tawaran pelancongannya, pelawat boleh menjangkakan pelbagai pengalaman yang semakin berkembang dan mencerminkan identiti unik negara ini.

SATU kebanggaan luar biasa buat rakyat Malaysia dalam landskap pelancongan Asia Tenggara (Asean) apabila Malaysia kini memintas Thailand, dengan kedua-dua negara bersaing untuk merebut kedudukan teratas di rantau ini.

Peningkatan mendadak dari segi jumlah pelancong antarabangsa ke Malaysia telah mencatat lebih daripada 10.1 juta pelawat pada suku pertama tahun 2025 didorong oleh dasar visa negara yang kini lebih longgar.

Langkah-langkah yang dilaksanakan kerajaan khususnya pengecualian visa yang dilanjutkan kepada pelancong dari China dan India, telah memudahkan kemasukan pelancong untuk meneroka pelbagai tarikan di Malaysia.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Hidden gem', lokasi 'OOTD', swafoto menarik seolah-olah dalam hutan di tengah KL

BACA LAGI [VIDEO] Obsesi Harry Potter buatkan Tun sanggup ubah suai bilik seakan sekolah Hogwarts

Malaysia kini muncul sebagai kuasa dominan dalam arena pelancongan Asean, mengatasi Thailand buat pertama kalinya pada suku pertama tahun 2025.

Dengan kehadiran pelancong antarabangsa yang direkodkan itu, sektor pelancongan Malaysia telah mencatat lonjakan kunjungan pelawat yang luar biasa.

Pencapaian penting itu melonjakan ketibaan Malaysia di bawah sorotan sebagai destinasi terunggul di rantau ini, sekaligus mengubah dinamik persaingan pelancongan di Asia Tenggara.

Sekian lama Thailand menjadi peneraju mutlak dalam pelancongan serantau, kini republik itu jatuh ke tangga kedua dengan catatan 9.55 juta pelawat, diikuti oleh Vietnam dan Singapura masing-masing dengan enam juta dan 4.31 juta.

Pelonggaran Visa Pacu Pertumbuhan Pelancongan

Faktor utama yang mendorong lonjakan pelancongan Malaysia ialah keputusan kerajaan untuk melonggarkan sekatan visa bagi negara-negara utama, terutamanya China dan India.

Pengecualian selama lima tahun itu membolehkan pelancong dari China dapat memanjangkan tempoh visa sehingga 2036, sekali gus memacu sasaran Malaysia untuk menjadi satu daripada kuasa pelancongan terbesar di dunia.

Selain itu, pengenalan kemasukan tanpa visa untuk warganegara India sehingga tahun 2026 telah menjadikan negara lebih mudah diakses oleh pelancong India, yang semakin menjadikan negara ini sebagai destinasi percutian jarak dekat.

Perubahan dalam landskap pelancongan Malaysia ini menandakan hasrat negara untuk menarik lebih ramai pelancong antarabangsa dan bersaing secara langsung dengan peneraju pelancongan serantau seperti Thailand.

Kepelbagaian budaya Malaysia yang kaya, digabungkan dengan keindahan semula jadi dan kemudahan moden, menawarkan gabungan pengalaman yang sempurna untuk semua lapisan pelancong.

Destinasi pelancongan wajib di Malaysia

Bagi pelancong yang merancang lawatan mereka pada tahun 2025, Malaysia menawarkan pelbagai destinasi yang tidak dapat dilupakan, yang mencerminkan keindahan alam semula jadi, kekayaan budaya dan daya tarikan moden negara ini.

Patung ikonik burung helang di Langkawi.

Langkawi

Gugusan 99 pulau di barat laut Malaysia iaitu Langkawi, adalah destinasi ideal bagi mereka yang mencari pengembaraan dan ketenangan.

Dengan pantai berpasir, air laut yang jernih dan hutan hujan tropika yang subur, Langkawi sesuai untuk aktiviti sukan air sambil melihat pengalaman hidupan liar dan percutian mewah.

Pelawat boleh menaiki kereta kabel ke puncak Gunung Mat Cincang untuk menikmati pemandangan panoramik atau meneroka kehidupan marin yang menakjubkan di Taman Marin Pulau Payar.

 

Pemandangan bandar George Town.

George Town

Ibu kota budaya Pulau Pinang, George Town ialah Tapak Warisan Dunia UNESCO yang terkenal dengan seni bina kolonial, seni jalanan yang meriah termasuk kepelbagaian makanan yang unik.

Malah turut menawarkan pelawat gabungan menarik antara elemen lama dan baharu terhadap pembangunan seperti kuil purba, bangunan warisan, dan kafe moden yang boleh diakses dengan berjalan kaki.

Makanan jalanan tempatan di sini amat terkenal, menjadikan George Town destinasi wajib bagi penggemar makanan yang ingin merasai masakan Malaysia yang autentik.

 

Skyline of Kuala Lumpur with Petronas Towers in forefront

Mercu tanda ikonik Kuala Lumpur, Menara Berkembar Petronas ialah karya seni bina yang menakjubkan.

Menara Berkembar Petronas

Mercu tanda ikonik Kuala Lumpur, Menara Berkembar Petronas ialah karya seni bina yang menakjubkan dan menawarkan pemandangan luas bandar metropolitan yang sibuk.

Pelawat boleh naik ke dek pemerhatian di tingkat 86 untuk menikmati panorama bandar.

Menara ini lebih mempesona pada waktu malam apabila ia menyinari langit kota, manakala Taman KLCC berdekatan menyediakan suasana ideal untuk berjalan santai.

 

Patung besar Dewa Murugan dan deretan gua batu kapur yang menempatkan kuil serta tempat ibadat Hindu di Batu Caves.

Batu Caves

Sebuah lokasi suci bagi penganut Hindu, Batu Caves, Selangor, menampilkan patung besar Dewa Murugan dan deretan gua batu kapur yang menempatkan kuil serta tempat ibadat Hindu.

Tangga berwarna-warni sebanyak 272 anak tangga itu menuju ke gua yang menawarkan cabaran menarik kepada pelawat, serta memberi peluang untuk merasai sisi kerohanian Malaysia.

Lokasi ini bukan sahaja pusat keagamaan, malah keajaiban alam semula jadi dengan pemandangan memukau kawasan sekitarnya.

 

Taman Burung Kuala Lumpur menempatkan lebih daripada 3,000 ekor burung.

Taman Burung Kuala Lumpur

Merupakan kawasan terbuka terbesar di dunia dengan konsep penerbangan burung secara bebas. Taman Burung Kuala Lumpur menempatkan lebih daripada 3,000 ekor burung daripada 200 spesies.

Terletak di kawasan hijau Taman Tasik Perdana, taman eko-pelancongan itu merupakan pengalaman pembelajaran dan juga tempat santai yang menyegarkan.

Ia amat sesuai untuk pencinta alam dan keluarga yang ingin melihat haiwan eksotik dengan lebih dekat, sambil menikmati suasana damai taman tropika yang luas.

Masa depan pelancongan Malaysia

Dengan kemasukan pelancong antarabangsa yang berterusan serta reputasi yang semakin meningkat sebagai hab pelancongan utama Asia Tenggara, masa depan pelancongan Malaysia kelihatan lebih cerah berbanding sebelum ini.

Daya tarikan Malaysia bukan sahaja terletak pada keindahan alam semula jadinya, tetapi juga pada kepelbagaian warisan budayanya yang menarik pelbagai jenis pelancong.

Daripada pengembara bandar yang mencari kemudahan moden, pencinta alam semula jadi, hinggalah kepada pelancong yang ingin menerokai budaya tempatan di Malaysia.

Dengan penekanan terhadap kelestarian dan pelancongan bertanggungjawab, negara ini berada di landasan yang tepat untuk menjadi salah satu destinasi paling dicari di rantau ini.

Seiring dengan evolusi dan penambahbaikan berterusan dalam tawaran pelancongannya, pelawat boleh menjangkakan pelbagai pengalaman yang semakin berkembang dan mencerminkan identiti unik negara ini.

Sama ada untuk percutian pantai, pengembaraan budaya atau eksplorasi bandar, masa depan pelancongan Malaysia sememangnya amat menjanjikan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram