
TEMPOH kitaran haid merupakan proses normal bagi wanita yang tidak hamil sekitar 28 hari setiap bulan.
Bagaimanapun, terdapat sesetengah individu mengalami kitaran haid tidak normal atau abnormal berpunca daripada sebab-sebab tertentu.
Menurut doktor dan pempengaruh media sosial, Dr. Malar Santhi Santherasegapan, beliau menyarankan agar wanita kenal pasti punca berlakunya situasi tersebut dan mengambil kira beberapa faktor.
Salah satu punca berlakunya haid tidak stabil adalah disebabkan kitaran hormon abnormal. — Gambar hiasan
Perkara tersebut dilakukan dalam bentuk komunikasi dua hala bersama Pakar Sakit Puan Ara Damansara Medical Centre, Datuk Dr. Mohammad Niraj dalam sebuah video.
Salah satu punca adalah disebabkan kitaran hormon tidak stabil.
“Kedua adalah Polycystic Ovarian Syndrome atau kita panggil PCOS atau POLYPS. Ini termasuk benda-benda yang kecil dalam rahim dan disebabkan fibroid.
“Banyak punca yang boleh menyebabkan pertambahan tak normal dan akhirnya boleh menyebabkan gejala kanser dan sebagainya,” katanya.
Mengulas lanjut, Dr. Malar menimbulkan persoalan adakah haid tidak normal dalam fasa-fasa tertentu seperti usia remaja atau sebelum menopaus?
Dr. Mohammad Niraj
Dr. Mohammad menjelaskan tempoh reproduktif ataupun permulaan seseorang itu mula baligh dan dapat haid pertama boleh menyebabkan kitaran haid tidak stabil.
Namun, bagi mereka yang sudah menopaus atau pramenopaus, anda tidak akan datang bulan dalam tempoh dua ke tiga bulan.
Tanda-tanda awal haid tidak stabil cenderung ke arah yang lebih serius, jika wanita mengalami ketidakstabilan haid lebih daripada tiga atau empat bulan serta keluar banyak darah.
“Kalau banyak keluar dan mendapati ketulnya besar, ini semua merupakan benda yang tidak normal,” terang Dr. Mohammad.
Pemeriksaan darah perlu diambil untuk kenal pasti masalah kitaran haid tidak stabil.
Untuk mengenal pasti kitaran haid sama ada stabil atau tidak, pemeriksaan ujian darah perlu dilakukan untuk mengenal pasti masalah hormon, thyroid, kekurangan hemoglobin atau darah dalam badan (anemia).
Kemudian, disusuli ujian ultrasound untuk melihat keadaan dalam rahim.
Turut dibincangkan adakah pil perancang membantu mengaturkan haid? adakah ia selamat untuk penggunaan jangka masa panjang?
“Pill perancang boleh membantu mengawal selia haid kalau mengalami pendarahan luar biasa disebabkan oleh hormon tak seimbang. Tapi kalau hormon itu disebabkan thyroid yang tidak simbang, maka pil perancang tidak akan membantu.
Tangkap layar Tik Tok Dr. Malar.
Turut dijelaskan gaya hidup sihat dan berat badan ideal turut memainkan peranan penting.
“Jika tidak bersenam langsung, berat badan semakin meningkat itu boleh menjadi penyebab mendapat PCOS.
“Ada juga golongan yang terlampau banyak bersenam dan diet, juga berisiko menyebabkan hormon tidak stabil antara enam bulan hingga setahun,” pesannya.
Dr. Malar menasihati agar wanita yang mengalami masalah tersebut untuk segera melakukan pemeriksaan lanjut.
“Ingat untuk betul-betul faham masalah anda secara peribadi, mesti berjumpa pakar Obstetrics dan Gynaecologist untuk pemeriksaan dan rawatan sepatutnya,” ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram