
PENJUALAN pakaian terpakai atau bundle atau kini lebih dikenali sebagai "preloved", makin diterima oleh pelbagai golongan masyarakat tanpa mengira peringkat umur atau latar belakang.
Populariti barangan bundle tidak kira baju atau kasut membuka minda 'kaki bisnes' untuk memulakan perniagaan.
Ia sekali gus mengetepikan stigma bahawa barangan terpakai ini hanya menyasarkan golongan kurang berkemampuan tetapi mahu bergaya.
BACA LAGI: Bukan ibu saja bergaya, anak-anak selebriti pun sama melaram, bertukar-tukar baju raya
Menceburi dunia perniagaan bundle pada 2018 secara live di platform media sosial, siapa sangka usahawan Ridzuan Leman, 34, menjadi sebutan dalam kalangan penggemar produk bundle terutama kasut gred A.
Boss Wan meninggalkan kerjaya sebagai cef di salah sebuah hotel terkemuka di ibu negara ini dan fokus dalma bidang perniagaan.
Pada 2019, penangan Covid-19 telah merubah kehidupan Ridzuan atau lebih mesra digelar Boss Wan meninggalkan kerjaya sebagai cef di salah sebuah hotel terkemuka di ibu negara lalu membuka kedai W Vintage Bunde Taman Maluri, Cheras, Kuala Lumpur tiga tahun kemudian.
Bermodalkan wang simpanan RM40,000, Boss Wan memulakan fasa pertama perniagaan dan persediaan stok, pengubahsuaian
“Saya guna duit simpanan RM40,000, nak bayar sewa kedai, deposit 3+1, ubahsuaian kedai, stok dan macam-macam lagi, pekerja pun tidak ada lagi, kami laki bini saja kerja,” katanya kepada Majoriti.
Ruang rak kasut bundle di W Vintage Bundle yang kini sudah mula berkembang besar.
Tatkala usia perniagaan masih hijau, Boss Wan mencuba nasib membuat pinjaman bank namun gagal kerana perniagaan tidak kukuh.
“Hantar permohonan dekat bank tapi bank tolak. Ada cuba beberapa kali tapi ditolak juga atas sebab baru berniaga, kenyataan kewangan pun macam tak cantik lagi, senang cerita kena pangkah.
“Kemudian tidak sampai setahun saya berniaga, Alhamdulillah rezeki menyebelahi kami dan dapat pinjaman dekat Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN)," katanya.
Melalui pinjaman bank, Boss Wan mengembangkan lagi perniagaan bundlenya dengan mengeluarkan kasut jenamanya sendiri iaitu Voltage.
Boss Wan berkata, sejurus mendapat pinjam TEKUN yang umpama seperti durian runtuh buat dirinya dan isteri, beliau membulatkan tekad untuk tidak culas dalam melaksanakan pembayaran balik pinjaman.
“Lepas jaga keluar masuk duit dan bayar pinjam dengan disiplin, saya berjaya juga buat pinjaman melalui Maybank sebanyak RM100,000.
“Bahkan baru-baru ini, kami dapat lagi pinjaman daripada MARA. Pinjaman tersebut adalah bertujuan untuk kami mengeluarkan kasut jenama baharu dan lokal daripada kita sendiri bernama Voltage,” jelasnya yang baru-baru ini melancarkan kasut terbaharunya itu.
Menjual pelbagai jenama kasut import terpakai, beliau mengakui seorang usahawan amat memerlukan pinjaman bank, bukan sahaja untuk memulakan perniagaan tapi lebih penting untuk melebarkan sayap perniagaan.
"Kita kalau nak berniaga boleh tapi nak kembangkan bisnes perlu buat pinjaman bank dan jangan takut untuk cuba nasib menghadap bank-bank yang ada," katanya.
Boss Wan amat mementingkan kemesraan bersama pelanggannya yang hadir bagi mengekalkan hubungan jangka masa panjang.
Mengulas lanjut, bapa kepada tiga cahaya mata itu menyarankan kepada usahawan yang baru mahu berjinak dalam dunia perniagaan, agar membuat pinjaman dari institusi kewangan yang sah dan bukannya seperti 'ah long'.
“Orang- orang kaya dekat luar sana yang buat bisnes, mereka buat pinjaman, gunakan bank untuk kembangkan perniagaan, jadi kena berani ambil risiko.
“Ada sesetengah orang macam ‘ah pinjam bank takut tak bayar, tak boleh bayar’ dan sebagainya tapi mereka sebenarnya kena besarkan bisnes dengan mengambil risiko. Harus dan wajib gunakan duit bank,” terangnya.
Boss Wan tidak pernah putus asa dan sentiasa maju ke depan untuk kekal menajdi pemain industri kasut bundle.
Bagi usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) pula, Boss Wan mengingatkan kepada masyarakat yang mahu memulakan perniagaan bahawa, sebelum melangkah dalam dunia perniagaan mereka harus benar-benar bersedia dengan tekanan kewangan.
“Jangan sesekali buat pinjaman untuk menampung perniagaan lain, fokus satu-satu, dapatkan pengalaman dan kukuhkan pengurusan kewangan.
“Jangan terbabas gunakan duit pinjaman bank yang diperoleh untuk kegunaan peribadi seperti beli telefon, motosikal, kereta dan sebagainya. Ingat itu harta bukan kita yang punya,” nasihatnya dalam nada bergurau.
Ikuti video lanjut perkongsian Boss Wan dalam dunia bundle dalam segmen Duduk Sembang di Majoriti.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram