
SIAPA sangka minat melukis sejak kecil menjulang nama Muhammad Emir Effendy Ahmad Lothfi ke pentas seni automotif yang diiktiraf dalam kalangan pengikut 'kaki kereta'.
Anak jati Ipoh, Perak berusia 28 tahun itu mula serius dalam dunia seni sejak Disember 2016 dan telah menghasilkan lebih 2,500 lukisan dengan 2,000 hasil seni itu bermotifkan kenderaan automotif.
Mewarisi bakat bapanya yang juga seorang pelukis tersohor, Datuk Ahmad Lothfi Ibrahim, Muhammad Emir menunjukkan bakat seni sejak berusia tujuh tahun.
BACA LAGI: Semoga raih pahala berpanjangan, bos Bawal Exclusive wakaf van jenazah untuk kegunaan ramai ramai
Karya seni Muhammad Emir mempunyai nilai sentimetal tersendiri.
Graduan Ijazah Seni Halus dari Universiti Teknologi MARA Shah Alam itu berkata, minatnya terhadap dunia permotoran bermula sejak di bangku sekolah lagi.
"Saya memang minat dunia permotoran sejak kecil dan hampir semua karya seni saya menjurus ke arah automotif.
"Lukisan automotif pertama saya adalah sebuah BMW Z4 yang dilukis seawal usia 7 tahun dan sehingga hari ini, lukisan itu masih belum dijual kerana menyimpan nilai sentimentalnya yang tersendiri," ceritanya kepada Majoriti.
Muhammad Emir obses dengan karya lukisan kereta berprestasi tinggi.
Selepas hampir sembilan tahun berkarya, boleh dikatakan kebanyakan sentuhan seninya berkaitan dengan kereta berprestasi tinggi.
Antara karya yang menonjol ialah lukisan kereta ikonik seperti Ford Mustang, Porsche RWB, serta Nissan Silvia S15 LB dan Skyline LB ER34, yang diinspirasikan oleh jenama modifikasi terkenal dunia, Liberty Walk yang diasaskan oleh Wataru Kato sendiri.
Lukisan Emir yang pertama Bmw e30 M3 yang dihasilkan semasa umur 5 tahun disimpan sebagai koleksi peribadi.
Malah, kata Muhammad Emir, terdapat sebahagian sentuhan seninya pernah mendapat perhatian dan dibeli oleh pelanggan berprofil tinggi yang mengagumi kehalusan serta ketelitian karya yang dihasilkan.
Lukisan terkini Bmw e30 M3 hasil tangan Emir.
"Saya melukis dari hati dan kreativiti yang dikurniakan oleh ALLAH dan apabila ada orang yang hargai seni ini, saya sangat terharu dan bersyukur," katanya.
Lukis automotif Muhammad Emir sarat dengan sentuhan kreatif.
Menurutnya salah satu pencapaian terbesar yang diraih ialah apabila berjaya menjual lukisan Mercedes-Benz 300 SL pada harga RM7,500 kepada seorang golongan kenamaan.
Pembelian karya itu dari pihak Mercedes sendiri sekali gus menjadikannya antara hasil lukisan paling mahal yang pernah terjual setakat ini.
Antara koleksi lukisan Emir yang dipamerkan di Galeri Artists' Corner, The Curve, Damansara.
Dek kerana hasil sentuhan seni yang luar biasa, Muhammad Emir pernah dijemput untuk melukis dalam beberapa acara rasmi termasuk anjuran Hot Wheels.
Perkara itu secara tidak langsung mengukuhkan lagi kedudukan sebagai artis automotif dalam dunia seni automotif tempatan mahupun antarabangsa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram