
STRUKTUR kediaman bukan sekadar sebuah binaan fizikal, ia adalah cerminan personaliti, gaya hidup dan perjalanan hidup pemiliknya.
J House yang direka oleh arkitek Malaysia, Oscar Tan daripada OTCQ Architects menjadi contoh sempurna bagi falsafah tersebut.
Rumah separa teres tiga tingkat yang moden di Kuala Lumpur itu diubah menjadi sebuah kediaman sarat hubungan visual antara rupa mendatar dan menegak.
BACA LAGI: Obesiti bukan hanya berat badan, risiko buah pinggang rosak, anak muda ramai obes sebab pemakanan
Rumah J bukti kepercayaan bahawa sebuah kediaman harus berkembang seiring minat dan gaya hidup.
Oleh itu, setiap elemen ruang memiliki matlamat dan estetika tersendiri.
“Rumah ini mempunyai kisah tersendiri mengenai pemiliknya (dikenali sebagai J), seorang usahawan muda dengan minat mendalam terhadap seni bina sehingga fotografi.
"Dari reka bentuk pelan terbuka hingga pengintegrasian dinding pendakian batu, sauna dan kawasan hiburan, J House memiliki persekitaran dinamik menggalakkan pergerakan, interaksi dan pertumbuhan peribadi," kata Oscar.
Visi merealisasikan impian itu didorong dengan kerjasama yang dijalinkan bersama, bahkan sebelum memilih rumah lagi.
“Rumah asal mempunyai ruang dalam yang gelap dan tertutup serta tangga pusat yang membahagikan kediaman itu kepada empat bahagian berbeza.
“Daripada merobohkan dan membina semula, kami menggunakannya sebagai asas untuk hasil kreatif yang baharu,” kata J.
Jambatan unik memberikan estetika tersendiri di dalam J House.
Salah satu elemen paling mencuri perhatian di J House adalah integrasi ruang dalamannya.
“Walaupun mengekalkan tangga sebagai titik fokus, kami membuka rumah supaya membenarkan cahaya masuk ke dalam halaman melalui skylight.
“Kini rumah ini 'bernafas', memeluk persekitaran sambil mengekalkan privasi,” ujar Oscar.
Kemudian, ada tiga elemen sentuhan penting diwajibkan oleh J untuk rumah idamannnya itu.
Ruang ping pong dijadikan port riadah di dalam J House.
Gaya hidup aktif
J House adalah bukti kepada kepercayaan bahawa sesebuah kediaman harus berkembang seiring dengan minat dan gaya hidup empunya diri.
Direka dengan ciri belok yang banyak, rumah ini dijadikan sebagai dinding atau batu pendakian.
“Masih terdapat kerja dan proses pembinaan.
“Apabila siap kelak, ia akan setanding dengan mana-mana gim pendakian batu dalaman," jelasnya.
Tingkat ketiga, yang dulunya bilik tidur dijadikan ruang hiburan manakala meja kolam renang, meja ping pong dan sauna berada di satu sudut.
Bagi bumbung luar adalah kawasan mengadakan pertemuan bersama rakan-rakan atau bersantai.
J House tampil dengan konsep berani dan kontemporari serta berfungsi sehinga ruangan bumbung rumah.
Bentuk dan fungsi
Walaupun J House tampil dengan konsep berani dan kontemporari, ia tetap praktikal. Memandangkan iklim tropika Malaysia, pengurusan haba disempurnakan dengan dua lapisan diperbuat daripada logam merah berlubang. Menarik dan berfungsi.
“Ciri ini mewujudkan jurang udara penebat untuk mengurangkan pemindahan haba dan penjagaan suhu sejuk dalam sambil membenarkan pemandangan matahari terbenam begitu menarik,” jelas Oscar.
Penggunaan logam dan besi yang dominan terutamanya dalam arca tangga, laluan pejalan kaki dan skrin memberikan elemen kontemporari, tetapi minimalis.
“Kayu jarang digunakan dalam reka bentuk minimalis dan kaca pula sukar untuk dijaga.
“Sebaliknya, logam atau besi menawarkan fleksibiliti, ketahanan dan identiti visual yang kuat,” jelasnya.
“Ia bukan hanya tentang komunikasi melalui kata-kata, tetapi perkara tersebut mengenai hubungan visual. Anda tahu anda di sana, saya di sini dan kita bersama-sama dalam ruang ini," jelasnya.
Oscar melihat pergerakan , hubungan dan transformasi di dalam kediaman itu memiliki kisah seni tersendiri.
Penyelenggaraan minimum
Walaupun pelbagai sudut dekorasi diubah suai, J House tetap menekankan penyelenggaraan yang minimum.
Contohnya, landskap memerlukan penjagaan akan dipasang sistem penyiram automatik terhadap tanaman terpilih atau yang tidak mengeluarkan daun yang banyak.
Teres bumbung pula tempat pemilik menikmati kopi pada pagi atau petang dengan pemandangan ke arah garis langit.
“Rumah tidak sepatutnya menjadi produk akhir apabila kita menyerahkannya kepada pelanggan,” kata Oscar lanjut.
“Ia sepatutnya menjadi permulaan perjalanan dan harus ada ruang untuk berkembang dan berubah,” jelasnya.
Oleh itu, beliau menjelaskan sebuah rumah perlu menjadi ruang atau tempat.
“Ia bukan sekadar dinding, lantai, dan siling. Semua berkenaan pergerakan, hubungan dan transformasi merupakan sebuah karya seni bagi menceritakan kisahnya untuk setiap hari yang berlalu,” bicara Oscar. — TheStar/MING TEOH
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram