Fenomena Imane Khelif ubah landskap tinju, lebih ramai gadis di Algeria tak kisah ceburi sukan lasak


  • Relaks
  • Selasa, 22 Apr 2025

Dengan lebih ramai anak gadis menggemari tinju, ibu bapa perlu memainkan peranan penting dalam menyokong minat mereka menceburi sukan itu.

RAMAI sedia maklum, tinju merupakan sukan lasak yang memerlukan kekuatan fizikal apatah lagi jika ia melibatkan golongan wanita.

Juara kebangsaan dua kali, Cerine Kessal,15, dari utara Kabylia, Algeria merupakan atlet tinju yang menceburi sukan tersebut sejak usia muda.

Dia mengimpikan kejayaan yang lebih besar selepas Imane Khelif dari Algeria memenangi pingat emas Olimpik tahun lepas.

Kejayaan Khelif itu berjaya mencetuskan fenomena dan minat dalam kalangan gadis serta wanita di negara berkenaan, untuk aktif dalam sukan yang selama ini didominasi oleh kaum Adam.

BACA LAGI: Kaedah Ayurveda guna daun pisang perawatan rambut unik, kaya khasiat semula jadi

BACA LAGI: Lukisan Mercedes-Benz 300 SL pernah dijual RM7,500, karya automotif julang nama graduan UiTM

Imane Khelif membuktikan golongan wanita juga boleh menceburi sukan tinju.

Bahkan gimnasium di kebanyakan negara-negara di Afrika Utara termasuk Algeria turut menyaksikan peningkatan jumlah ahli yang ingin menyertai sukan tinju.

Khelif yang beraksi ketika Olimpik Paris menjadi perintis bagi atlet wanita yang bercita-cita tinggi di Algeria, di sebalik kontroversi berkaitan jantina dan kelayakannya semasa beraksi dalam sukan tersebut.

“Saya mahu bertanding dalam kejohanan di Afrika dan dunia,” kata Kessal.

Jurulatihnya, Djaafar Ourhoun berkata, Khelif telah menjadi idola kepada peninju lain di gim itu selepas memenangi satu-satunya pingat untuk kelab tempatan, Jeunesse Sportive Azazga (JSA), dalam kejohanan kebangsaan baru-baru ini.

Salah satu kelab tempatan tinju Algeria, Ghilas Boxing meraikan kejayaan peninju wanita (junior) dalam kejohanan tempatan di sana.

Gim kecil itu yang dahulunya adalah rumah sembelihan milik majlis perbandaran telah diubah suai dengan bantuan penduduk setempat, kini melatih kira-kira 20 peninju wanita.

“Keinginan tinggi para gadis muda ini untuk mencapai kejayaan sering kali mencetuskan persaingan sihat, malah rasa cemburu dalam kalangan rakan lelaki mereka,” kata Ourhoun.

Bagi Kessal, dia mahu mencontohi kejayaan Imane Khelif dan memenangi pingat emas Olimpik.

 

Imane Khelif pecahkan tembok stigma wanita tak boleh bertinju

Di daerah Bejaia, kelab-kelab seperti Dream Team dan Kelab Tinju Sidi Ayad turut menyaksikan peningkatan penyertaan wanita dan gadis muda.

Lina Debbou, bekas peninju yang kini menjadi penasihat sukan melihat momentum tersebut bermula sejurus selepas temasya Olimpik.

“Imane Khelif telah menyumbang begitu banyak kepada sukan tinju wanita dengan lebih ramai gadis menyertai sukan ini hasil inspirasi daripadanya,” katanya.

Begitu juga di kawasan pedalaman seperti daerah Djelfa, kira-kira 300 kilometer ke selatan Algeria yang menyaksikan semakin ramai wanita direkodkan mula menceburi sukan ini.

“Kami pernah cuba memperkenalkan tinju wanita pada tahun 2006, tetapi tidak berjaya kerana kawasan ini agak pedalaman.

“Kini, sukan wanita mula digemari apabila Khelif telah memecahkan tembok stigma yang mengatakan wanita tak boleh bertinju,” kata Mohamed Benyacoub, pengarah kelab tempatan Ennasr.

Khelif membawa perubahan dalam sukan tinju di Algeria selepas memenangi pingat emas Olimpik Paris tahun lepas.

Sementara itu, pengadil tinju, Nacim Touami, yang juga suami kepada seorang peninju wanita profesional berkata, ibu bapa memainkan peranan penting dalam menyokong anak-anak yang menggemari sukan tinju.

“Dulu ibu bapa lebih gemar anak perempuan mereka bermain bola tampar atau berenang. Tapi selepas Khelif berjaya membawa pulang pingat emas, kami lihat perubahan yang ketara,” katanya.

‘Fenomena Khelif’

Naib Presiden Persekutuan Tinju Algeria, Hocine Oucherif, menyifatkan perubahan industri sukan tersebut sebagai 'Fenomena Imane Khelif'.

“Golongan ibu bapa kini mendaftarkan anak perempuan mereka untuk hadir ke sesi latihan dan menyaksikan sendiri perlawanan melibatkan anak masing-masing. Ia sesuatu yang sangat indah.

“Khelif adalah simbol kekuatan kepada tinju wanita di Algeria. Dia telah memberikan kami satu dorongan yang kuat.” jelasnya.

Kessal meraih pingat emas, selepas bertanding menentang atlet dari pelbagai kelab, termasuk Kelab Perlindungan Awam Tiaret.

Beliau menyatakan lebih 100 peninju perempuan junior telah mengambil bahagian dalam kejohanan kebangsaan tahun ini, menjadikan angka itu lebih dua kali ganda berbanding tahun lalu.

Dalam kejohanan itulah, Cerine Kessal meraih pingat emas, selepas bertanding menentang atlet dari pelbagai kelab, termasuk Kelab Perlindungan Awam Tiaret iaitu tempat Khelif memulakan kerjayanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram