
PENGASAS dan arkitek Upcycled Shack, Tressie Yap, 52, memaklumkan terdapat banyak komuniti pertanian luar bandar di Kota Marudu, Sabah sering menganggap kulit atau sekam jagung sebagai sisa pertanian, sekali gus menyumbang kepada pencemaran alam sekitar.
Menyedari potensi sumber tersebut, beliau memutuskan untuk memperkasakan golongan suri rumah di kampung mengubah semula kulit jagung menjadi produk bernilai.
Dari segi reka bentuk, produk berkenaan menggabungkan warisan budaya masyarakat dengan teknik pembuatan secara moden.
BACA LAGI: [VIDEO] 'Jawab hi pun merdu', TokTi selamba berbahasa Thai jawab panggilan scammer
BACA LAGI: Sebelum usia senja, amalkan 5 'vitamin' penting ini kalau nak pakai badan lama
"Bunga kulit jagung buatan tukang telah menjadi produk pameran ekologi dan mendapat pengiktirafan atas kreativiti dan aspek kelestarian. Beberapa artisan juga telah mencapai kejayaan melalui usaha berkenaan dan kini mereka hasilkan serta menjual kraf mereka sendiri.
"Projek ini lebih daripada sekadar inisiatif menjana pendapatan. Ia bagi memperkasakan kaum wanita, mengurangkan sisa dan meningkatkan kesedaran tentang kelestarian.
“Bagi Upcycled Shack, CHC menggambarkan bagaimana usaha berasaskan komuniti dapat mengubah sisa menjadi seni, menggabungkan penjagaan alam sekitar, pemeliharaan budaya dan pemerkasaan ekonomi ke dalam satu gerakan yang berkuasa," kata Tressie.
Berbekalkan kreativiti sekam jagung diubah menjadi bunga hiasan dan dipamerkan di Galeri Seni Sabah, Kota Kinabalu, Sabah.
Tressie yang tidak asing dalam memperjuangkan aspek kelestarian banyak mendidik komuniti luar bandar di Sabah mengenai amalan kelestarian dan bagaimana ia dapat mendorong ke arah perubahan yang signifikan.
Untuk seni bina, kelestarian mempengaruhi setiap keputusan. Daripada merancang sumber tenaga, struktur yang cekap hingga menggunakan bambu serta bahan kitar semula.
“Begitu juga, kelestarian dalam komuniti luar bandar dalam memperkuatkan masyarakat untuk menguruskan sumber mereka, mengurangkan kebergantungan dan membina warisan yang berkekalan.
“Kelestarian lebih penting berbanding sebelumnya kerana pilihan yang kita buat hari ini akan menentukan masa depan planet, komuniti dan kualiti hidup kita.
“Sebagai arkitek dan penyokong kelestarian, saya menyaksikan bagaimana amalan tidak lestari menghabiskan sumber, merosakkan ekosistem dan membahayakan mata pencarian. Itulah sebabnya saya memperjuangkan 5R, tolak (refuse), kurangkan (reduce), guna semula (reuse), kitar semula (recycle) dan reput (rot),” jelasnya. — TheStar
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp