Perabot berasaskan kayu balak tempatan jadi pilihan, reka bentuk moden dan eksklusif suntik elemen estetik kediaman


  • Relaks
  • Ahad, 09 Mac 2025

TIMB3R DIB 4.0 tampil 13 Pembuatan, 18 Pereka dan 24 produk.

MEMILIH perabot dengan reka bentuk eksklusif dan moden yang mampu menyuntik elemen estetik di segenap rumah pastinya menjadi impian pemilik kediaman.

Tambahan pula, peletakkan dan fungsi perabot tersebut akan memberikan nilai ekstra di ruang tertentu baik di dapur, kamar tidur mahupun ruang tamu.

Berbicara mengenai perabot, baru-baru ini berlangsungnya TIMB3R Design Incubator Programme (TIMB3R DIB 4.0) kerjasama Malaysia Timber Council, Malaysia Furniture Council dan Malaysian Institute of Interior Designer.

BACA LAGI: Ketahui cara hias ruang dalaman rumah guna 3 warna coklat

BACA LAGI: Dekorasi rumah sewa, 10 jenis hiasan sementara praktikal yang perlu penghuni tahu

TIMB3R DIB 4.0 mempamerkan binaan perabot pelbagai reka bentuk, moden dan eksklusif.

Acara yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur itu menampilkan barisan pereka dalaman mempamerkan kepelbagaian binaan perabot yang eksklusif, kreatif dan berkualiti tinggi termasuk produk prototaip.

Presiden Pertubuhan Perekabentuk Dalaman Malaysia, IDr Norshafina Ibrahim, 46, berkata, TIMB3R DIB 4.0 menjadi platform memperkenalkan sebahagian besar perabot dipamerkan diperbuat menggunakan bahan-bahan tempatan.

“Acara ini mempromosi perabot yang dibina menggunakan bahan-bahan tempatan terutamanya kayu balak.

“Berikutan itu terdapat perabot seperti almari dan meja dijual pada harga mahal kerana ia menggunakan kayu balak tempatan yang mampat dan berkualiti,” katanya kepada Majoriti.

Mekanisme pembuatan yang diterapkan mempengaruhi kos, harga dan kualiti perabot.

Harga, mekanisme

Tambah Norshafina, perabot diperbuat menggunakan kaedah Computer Numerical Control (CNC) iaitu proses pemotongan dikawal oleh kompul untuk membina perabot, boleh dihasilkan dalam kuantiti banyak.

“Dengan teknologi CNC pembinaan barang akan rigid dan menghasilkan perabot kategori knockdown atau flat pack (pasang dan cabut). Jadi, pengeluar boleh eksport dalam kuantiti yang banyak.

“Bagaimanapun, masih ada had tersendiri dek mesin digunakan untuk memotong terhad bagi beberapa bentuk, gaya dan kaedah sahaja.

“Jadi ia tidak beberapa fleksibel dan biasanya produk seperti ini tidak cukup eksklusif. Lagipun permintaan pengguna lebih pada produk yang halus hasil kerja,” ujarnya.

Sehubungan itu, menjadi perkara biasa perabot jenis knockdown atau flat pack menawarkan harga mampu milik manakala produk eksklusif harganya lebih premium.

Pada masa sama, Norshafina turut menjelaskan setiap mekanisma digunakan untuk membuat perabot turut mempengaruhi kos dan harga. Bagaimanapun, terdapat juga perabot proses penghasilannya tidak menggunakan apa-apa kaedah pembuatan.

“Lazimnya, hasil kerja tangan dan bahan pembinaan digunakan faktor mempengaruhi perabot berkenaan dijual mahal. Kehalusan kerja dan komplikasi yang tinggi turut diambil kira,” jelasnya

Gerobok Cendayam rekaan Norshafina memiliki fungsi, eksteika dan kualiti tersendiri.

Sebagai individu yang bertanggungjawab mengendalikan rekaan dalaman di  Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 dan beberapa bangunan komersial lain, beliau memberitahu bahawa trend lebih kepada kelestarian dan gaya hidup mudah.

Dalam erti kata lain, minimalis, namun konsep tersebut tidak bermakna sesebuah ruang kediaman perlu kosong atau meletakkan perabot yang sedikit.

“Bukanlah bermaksud kosong dan tak ada apa-apa. Tetapi, ia lebih kepada dekorasi tampak kemas dalam kehidupan yang kompak.

“Terutamanya keluarga muda atau baharu yang kurang gemar mendiami rumah yang besar," katanya.

Selain itu, beliau yang sudah berada dalam landskap rekaan dalaman selama 31 tahun menekankan bahawa nilai atau suasana estetika itu adalah subjektif.

Hasil pemerhatian, beliau mendapati perbezaan ruang atau susunan rekaan dalaman rumah, elemen atau estetika berunsurkan tradisional banyak digunakan.

Pemilihan rekaan dan penyusunan perabot meja makan mempengaruhi konsep minimalis di dalam rumah.

“Zaman datuk nenek kita, saya berasakan segala-galanya berfungsi. Setiap perabot yang dibawa masuk menepati untuk kegunaan secara terperinci. Jadi rumah orang dulu-dulu tidak keterlaluan.

“Terutamanya rumah Melayu, hanya ada satu katil dan almari sudah cukup sebab tiada keperluan lain, jadi memang praktikal,” terangnya lanjut.

Kini, budaya consumerism dilihat sangat tinggi menyebabkan terdapat banyak barang tidak diperlukan dibeli tanpa mengira kos dibelanjakan.

“Kena ingat, apabila banyak barang dibeli, maka besar tempat penyimpanan. Jadi dengan adanya pendedahan kepada masyarakat tentang konsep kelestarian secara tidak langsung mendidik masyarakat peka untuk tidak membazir,” ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram