
MASALAH gejala sosial dalam kalangan remaja wanita kini dapat dilihat daripada pelbagai golongan masyarakat.
Setiap tahun, kes pembuangan bayi tidak pernah lekang daripada dilaporkan oleh pihak berkuasa.
Perkara ini berkait rapat dengan kes remaja mengandung (tidak sah) dan hal tersebut amat dititik berat oleh Jennifer Atok, 58, yang merupakan ahli sebuah badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Jawatankuasa Pusat Sehenti Remaja (OSTPC).
BACA LAGI: Tumbuhan akuatik penyeri landskap rumah
Jennifer menyantuni anak muda sambil memberi kesedaran kepada mereka tentang langkah mengekang remaja hamil di Sarawak.
Di Sarawak, kehamilan remaja merupakan satu permasalahan sosial yang memerlukan perhatian yang serius.
Beberapa tahun kebelakangan ini, Sarawak merupakan antara negeri di Malaysia yang mempunyai bilangan peratusan kehamilan remaja yang tinggi berbanding negeri-negeri lain di Malaysia.
“Walaupun majoriti remaja hamil itu berjaya bersalin secara selamat dan tindakan undang-undang dilaksanakan ke atas si pelaku, permasalahan sosial seperti kemiskinan, pembuangan bayi, tahap ekonomi yang rendah dan keruntuhan institusi kekeluargaan tetap mendapat kesan.
“Ia merupakan risiko-risiko yang akan dihadapi oleh remaja hamil dan bayi mereka sekiranya tiada sokongan sosial diberikan kepada ibu atau remaja hamil yang masih muda ini,” kata Jennifer kepada Majoriti.
Organisasi yang ditubuhkan sejak 2014 itu amat menitik beratkan faktor-faktor yang menyumbang kepada gejala tersebut di negeri berkenaan.
Ini termasuk pendedahan gambar dan video lucah, faktor keluarga, keciciran pendidikan termasuk faktor budaya yang mendorong perkara tersebut.
Ceramah kesedaran dalam kalangan pelajar sekolah menjadi langkah penting untuk mengekang gejala remaja wanita mengandung.
Mencari identiti
Perjuangan Jennifer sejak NGO itu ditubuhkan pada 2014 dan dipengerusikan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Sri Fatimah Abdullah tidak pernah berhenti.
Bekas anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang berkhidmat selama 32 tahun itu terus proaktif menggunakan pengalamannya membantu komuniti menangani isu sosial.
Remaja merupakan golongan yang masih mencari identiti diri dan memerlukan kasih sayang berterusan daripada ahli keluarga.
“Jika institusi kekeluargaan tidak kuat atau runtuh dan tiada nilai-nilai murni, maka remaja mudah mencari kasih sayang di luar. Dari situ hadirnya pengaruh rakan sebaya dan orang di sekeliling mereka.
“Lebih berbahaya jika bergaul pula kelompok yang salah. Inilah bermulanya punca gejala sosial tidak diingini. Peringkat mencari identiti diri mendorong remaja mudah terjebak dalam gejala antisosial seperti seks bebas, alkohol, dadah dan sebagainya.
“Saya selalu menggunakan petikan yang diilhamkan oleh Dan Pena, 'Show me your friends and I’ll show you your future,” ujarnya.
Jennifer (duduk, kanan) yang bersara tahun lalu sebagai anggota PDRM setelah berkhidmat selama 32 tahun akan menggunakan pengalamannya berbakti terhadap komuniti.
Bahkan, Jennifer memilih perjuangan tersebut kerana ia seiring dengan gerak kerja beliau ketika berhadapan dengan siasatan kes jenayah seksual dalam D11, JSJ PDRM Sarawak lebih sembilan tahun (Disember 2014 hingga Mei 2024).
“Ini menimbulkan rasa tanggungjawab bahawa sesuatu harus dilakukan bagi membendung gejala ini. Disebabkan rasa tersebut dan sebagai ibadah kepada Tuhan, saya tidak pernah jemu mengatur program di peringkat unit dan jabatan saya.
“Setelah bersara pada Mei 2024, kini saya melabelkan diri sebagai pekerja sosial untuk sebuah rumah perlindungan khas buat remaja hamil di Kuching dikenali Dawn Hope Shelter Home, Kuching kendalian Pertubuhan Pembangunan Insan Sarawak (PPIS),” terangnya.
Randau Solidariti Pembangunan Sosial melibatkan ahli OSTPC menelusuri kawasan kampung dan pendalaman di Sarawak.
Bertemu komuniti
OSTPC sentiasa menyediakan pelbagai program kesedaran dan garis panduan menguruskan isu remaja hamil mengenai tatacara pengurusan, rujukan dan memberi sokongan kepada mereka yang terlibat.
“Randau Solidariti Pembangunan Sosial adalh salah satu program yang melibatkan semua ahli OSTPC menjelajah seluruh pelusuk Sarawak termasuk masyarakat di kawasan terpencil.
“Perjalanan yang memakan masa selama tujuh jam dari bandar atau pekan terdekat menggunakan pacuan empat roda itu bertujuan berkongsi kesedaran dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh agensi masing-masing.
Salah satu rumah panjang kawasan pedalaman yang menjadi lokasi Randau Solidariti Pembangunan Sosial.
“Biasanya selepas berkongsi secara ceramah dan pameran, saya akan mengambil peluang duduk bersembang dengan warga kampung atau rumah panjang untuk mendengar keluhan dan rintihan mereka,” jelasnya terhadap salah satu program kesedaran OSTPC.
Data menunjukkan sejak tahun 2014 hingga 2021, Sarawak berjaya untuk menurunkan sebanyak 52.3 peratus bilangan kehamilan remaja sekitar iaitu 3401 kes (2014) kepada 1623 pada 2021.
Jumlah tersebut melibatkan bilangan kes remaja hamil di Sarawak di semua bahagian.
Jennifer menerima anugerah Kasih Wanita Harmoni sempena Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2025.
Sempena Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2025 yang berlangsung di Kuala Lumpu baru-baru ini, Jennifer menerima anugerah Kasih Wanita Harmoni, atas jasanya membantu komuniti menangani isu tersebut.
“Tetapkan matlamat untuk berjaya kerana matlamat mampu meningkatkan motivasi diri dan keyakinan untuk memupuk pertumbuhan peribadi.
”Dekatkan diri dengan Tuhan dan keluarga. Pilih bergaul dengan kawan yang betul,” harapannya. —Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,InstagramdanTelegram