Sebelum usia senja, amalkan 5 'vitamin' penting ini kalau nak pakai badan lama


  • Sihat
  • Rabu, 04 Okt 2023

Tangkap layar video penjelasan Dr Malar di akaun TikTok miliknya, @drmalarss.

ANTARA 'vitamin' yang perlu diambil bagi mereka yang hampir mencecah umur 40 tahun adalah seperti aktiviti senaman, minum air kosong dan banyak lagi, jelas pakar perubatan yang juga pempengaruh media sosial, Dr Malar Santhi, 40.

Memiliki kesihatan yang baik adalah impian semua orang tidak kira golongan muda ataupun tua.

Ada juga dalam kalangan rakyat Malaysia yang sudah pun memiliki penyakit kronik walaupun umur tidak mencecah 40-an lagi.

Kepada mereka yang mempunyai simptom atau gejala yang mencurigakan, adalah disarankan berjumpa doktor kesihatan untuk menerima rawatan lanjut.

Baru-baru ini, Dr Malar telah memuat naik satu perkongsian di akaun TikTok miliknya (@drmalarss), tentang mengapa pentingnya mengambil 5 jenis 'vitamin' sebelum mencecah usia 40 tahun.

Berikut adalah vitamin yang dijelaskan dalam klip video TikToknya:

Screenshot 2023-10-03 180539

Senaman antara aktiviti yang perlu dilakukan. — Gambar hiasan.

1. Melakukan aktiviti senaman

Menurut Dr Malar, aktiviti senaman adalah penting bagi mereka yang semakin lanjut usia supaya tulang dan otot menjadi lebih kuat.

Kepentingan senaman ini bukan sahaja bagi memiliki badan yang kurus dan fit, tetapi juga untuk menegangkan otot yang semakin lemah apabila semakin tua.

Oleh itu, adalah penting buat masyarakat di luar sana supaya sentiasa mengamalkan senaman dalam rutin harian supaya tulang badan menerima kalsium dan vitamin daripada darah dan perut.

Ini merupakan salah satu cara untuk mengekalkan kepadatan tulang yang dipanggil sebagai ‘bone density’.

Vitamin D merupakan sejenis vitamin yang larut dalam lemak. — Gambar hiasan.

2. Vitamin D

Anda tidak perlu bersusah-payah untuk membeli vitamin D di kedai atau farmasi kerana vitamin jenis ini boleh didapati melalui cahaya matahari selama 15 minit setiap pagi.

Fungsi vitamin D adalah untuk membina sel-sel tulang yang semakin tidak kuat. Tanpa pengambilan nutrien ini, tulang akan mudah rapuh dan tidak padat sekali gus mudah rasa sakit.

3

Karbohidrat adalah salah satu daripada tiga makronutrien atau zat gizi makro selain protein dan lemak. — Gambar hiasan.

3. Kurangkan pengambilan karbohidrat

Antara jenis makanan yang tidak disarankan untuk diambil dalam kuantiti banyak adalah seperti nasi, roti, capati, roti canai dan banyak lagi.

Tambah Dr Malar, manusia yang semakin berumur tidak memerlukan tenaga banyak seperti golongan muda.

Ini kerana mereka tidak lagi membesar dan membuat aktiviti lasak. Oleh demikian, adalah penting untuk anda mengurangkan jumlah karbohidrat agar ia tidak bertukar menjadi lemak.

Formula paling mudah yang perlu diingati oleh orang ramai ketika semakin berusia adalah dengan mengurangkan nasi dalam pinggan.

Air-Kosong

Kekurangan air dalam badan boleh menyebabkan komplikasi yang teruk antaranya strok haba. — Gambar hiasan.

4. Minum air kosong secukupnya

Menerusi hantaran yang sama, doktor pempengaruh itu telah memberi pesanan untuk melatih diri anda untuk menyukai air kosong.

Pengambilan air kosong dalam kuantiti banyak mampu meningkatkan hidrasi penting untuk tubuh badan yang sihat.

Tegasnya, jauhilah minuman-minuman yang berkalori tinggi yang mampu memudaratkan kesihatan.

Screenshot 2023-10-03 183201

Syukur adalah amalan mulia yang perlu diamalkan oleh setiap umat Islam. — Gambar hiasan.

5. Tanam rasa syukur dalam diri

Vitamin terakhir diperjelaskan oleh Dr Malar adalah menanamkan rasa syukur dalam diri bagi kekalkan kesihatan mental yang baik.

"Aspek yang perlu anda syukuri adalah kehidupan, rezeki halal dan pasangan yang baik. Jika anda sentiasa bersyukur, keharmonian dan kebahagiaan hidup akan terjamin," jelasnya.

Jangan ambil ubat atau vitamin sembarangan tanpa pemantauan doktor

Semasa anda mengambil vitamin atau suplemen dalam rutin harian, adalah penting untuk memastikan setiap ubatan yang diambil adalah sesuai dengan badan masing-masing termasuk membaca label pada produk suplemen atau vitamin sebelum membeli untuk mengelakkan pengambilan dua atau lebih produk yang mengandungi kandungan sama.

Seterusnya, jangan ambil vitamin melebihi dos ditetapkan untuk mengelakkan penyakit berbahaya.

Akhir sekali, maklumkan kepada doktor sekiranya mengalami kesan sampingan selepas mengambil vitamin. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram