Siapa sangka bermula dari projek kaji habitat tuntung, Chen buka peluang wanita di kampung Kemaman jana pendapatan


  • Relaks
  • Isnin, 10 Mac 2025

Pemerkasaan TCSM bersama wanita tempatan beri nilai besar terhadap organisasi.

TURTLE Conservation Society of Malaysia (TCSM) merupakan salah satu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan pemeliharaan dan pemuliharaan tuntung.

Inisiatif dijalankan oleh pengasas bersama TCSM, Dr. Chen Pelf Nyok, itu timbul apabila mendapati tuntung di Malaysia mengalami kepupusan dari semasa ke semasa.

Lalu fasa awal beliau mengatur langkah mengkaji lebih mendalam tentang habitat tuntung khususnya di Terengganu.

BACA LAGI: Kembara ketika berpuasa, siapa kata mustahil? Utamakan bersahur dan mulakan aktiviti pada awal hari

BACA LAGI: [VIDEO] Ukir autograph pada kereta guna 'angle grinder', Lindsay Bercosky digelar wanita unik dalam dunia automotif AS

Tuntung merupakan spesis hampir pupus yang memiliki habitat di Perak, Kedah dan Terengganu.

Graduan Universiti Malaysia Terengganu, Terengganu itu, mula mendapati spesis berkenaan semakin pupus ketika sedang melanjutkan pelajaran peringkat master tentang ancaman dan terapi sungai.

Kajian dan pemuliharaan tuntung

Secara kebetulan pada 2009, Chen bersama pensyarahnya mula berbincang tentang penubuhan NGO bagi memperjuangkan hidupan laut. Maka, TCSM secara rasmi didaftarkan pada 2011 dan gerak kerja mula dilaksanakan.

“Saya buat kajian di seluruh negeri Terengganu, pergi ke 10 batang sungai, 35 kampung dan menemu bual orang kampung sendiri.

“Selain Perak dan Kedah, spesis ini juga boleh dijumpai di negeri Terengganu. Jadi projek awal kami di Sungai Setiu, Terengganu, seterusnya di Sungai Kemaman,” katanya kepada Majoriti.

Turtle Conservation Society of Malaysia (TCS) is a not-for-profit Society that focuses on the research and conservation of turtles, particularly freshwater turtles in Malaysia at Kemaman, Terengganu. — MUHAMAD SHAHRIL ROSLI/The Star

Chen (kiri) bersama pasukan sedang meneliti tuntung bersaiz besar.

Tambahan pula, ketika itu tidak ramai pihak menjalankan misi pemuliharaan dan pemiliharaan hidupan laut berkenaan.

“Ketua kampung Pasir Gajah sangat mengalu-alukan kedatangan kami untuk melaksanakan projek ini. Ketika ditanya tentang tuntung, dia sendiri sudah lama tidak nampak tuntung, malah tidak tahu apa hendak dilakukan,”ujarnya.

Justeru, beliau bersama lima penduduk kampung proaktif menjalankan projek tersebut sehingga penduduk sana menggelarkan mereka Geng Tuntung atau Guardians of the river terrapins.

“Cabaran ketika itu adalah dari segi tenaga kerja, sukar mendapatkan pelajar latihan praktikal, maka saya sendiri turun padang. Apatah lagi, TCSM belum ada nama.

"Sehinggakan ibu saya sendiri bantu masuk sungai bermula waktu malam dan esok pagi pagi baru pulang. Rutin ini berlangsung selama dua tahun," terangnya.

Telur tuntung hanya menghasilkan 25 hingga 35 biji sekali bertelur berbanding penyu 100 biji.

Selain itu, Chen juga menzahirkan kekecewaan dengan sikap sesetengah individu yang suka mengambil telur tuntung untuk dimakan.

Walhal, tuntung tidak menghasilkan telur yang banyak hanya 25 hingga 35 biji sekali bertelur berbanding penyu 100 biji.

“Kadangkala sukar untuk mengubah perspektif dan ambil masa mendidik sesetengah pihak supaya tidak mengambil dan makan telur tersebut sesuka hati,” kongsinya yang turut memberi pendedahan tentang habitat tuntung haiwan dalam kalangan pelajar sekolah.

Chen (empat dari kanan) bersama kumpulan wanita yang menjahit barangan TCSM.

Pemerkasaan TCSM bersama wanita tempatan

Sepanjang melaksanakan projek itu, Chen mendapat idea untuk menghubungkan kerjasama pemuliharaan dan pemeliharan tersebut dengan wanita penduduk kampung di sana.

“Kami bekerjasama dengan lelaki untuk proses lindungi dan membuat terapi sungai, berkunjung ke sekolah-sekolah mendidik pelajar, tetapi masih terasa kekurangan.

"Barulah saya sedar tiada penglibatan golongan wanita dalam misi ini. Jadi, saya masuk ke kampung-kampung dan mencari mereka yang mampu membantu menghasilkan sesuatu yang bermakna dan menarik,” terangnya.

Turtle Conservation Society of Malaysia (TCS) is a not-for-profit Society that focuses on the research and conservation of turtles, particularly freshwater turtles in Malaysiaat Kemaman, Terengganu.— MUHAMAD SHAHRIL ROSLI/The Star

Noratiqah Azemi menjana pendapatan untuk keluarga dengan menjahit barang dagangan TCSM.

Barang dagangan TCSM

Pada awalnya TCSM mengetengahkan penghasilan produk sabun dan pelembab kulit, namun sambutan kurang memberangsangkan.

“Tiba-tiba salah seorang daripada mereka bertanya, ‘Mek (Chen) tak ada program menjahit?” katanya.

Dari situ, Chen melihat kemahiran menjahit menjadi tarikan kepada penduduk kampung.

Lantas beliau membeli sejumlah kain batik bercorak tuntung dan mula menghasilkan  barang dagangan hasil kreativiti wanita di kampung Kemaman.

“Saya masih ingat barang dagangan pertama kami ialah bag uncang untuk diletakkan straw keluli tahan karat dan berus cuci.

“Uncang itulah sumber pendapatan orang kampung dan secara tidak langsung menggalakkan orang ramai agar tidak menggunakan straw plastik,” jelasnya lanjut.

Pendedahan dan pendidikan tentang spesis terancam dari TCSM juga dijalankan bersama pihak sekolah.

Kini, TCSM sudah memiliki 30 jenis produk dan setiap daripadanya dihasilkan daripada kain batik berserta corak berbeza bersama 10 warna pilihan.

Chen berkongsi statistik menunjukkan sejak tiga tahun lalu, pendapatan bulanan penjahit sekitar RM350.

“Kemudian dua tahun lepas meningkat RM750 sebulan hasil daripada produk jahitan itu. Jadi duit tersebut membantu jana pendapatan dan sedikit sebanyak mengubah kehidupan mereka.

“Setakat ini kami sudah menjalinkan kerjasama dengan 10 wanita tempatan dekat kampung Pasir Gajah untuk menjahit produk,” terangnya.

Turtle Conservation Society of Malaysia (TCS) is a not-for-profit Society that focuses on the research and conservation of turtles, particularly freshwater turtles in Malaysiaat Kemaman, Terengganu.— MUHAMAD SHAHRIL ROSLI/The Star

Antara barang cenderamata menggunakan kain batik bercorak tuntung dan penyu kreativiti kumpulan wanita di Terengganu.

TCSM sama sekali tidak pernah berasakan wanita di kampung manja atau malas cuma kurang pendedahan.

“Mereka amat rajin dan berkemahiran. Sejak terlibat dalam projek ini keyakinan diri juga meningkat dan rasa dihargai.

“Menariknya, hasil produk mereka juga menerima tempahan dari luar negara seperti Amerika Syarikat, Perancis, German, Filipina, Singapura dan beberapa buah negara lain,” ujarnya.

Chen berharap, dalam tempoh lima hingga 10 tahun lagi, keberadaan tuntung di laut semakin meningkat dan masyarakat peka bahawa situasi habitatnya kini amat kritikal.

Pada masa sama, TCSM juga semakin berkembang dengan penglibatan lebih ramai individu untuj membina komuniti yang hebat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram