'Mahu fokus mengajar, tak dibebani kerja kerani', untungnya andai dapat 'privilege' guru sukarelawan Singapura


  • Massa
  • Ahad, 23 Jun 2024

Walaupun sukarelawan guru dari negara jiran itu akan ditempatkan di kawasan miskin bandar, desa dan pedalaman termasuk di Sabah dan Sarawak dan tidak melibatkan kos tambahan, namun ada kalangan pendidik berasakan ia adalah satu percaturan yang kurang bijak.

CADANGAN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membawa masuk sukarelawan guru Bahasa Inggeris dari Singapura masih lagi menjadi bualan hangat dalam kalangan pendidik tempatan.

Walaupun sukarelawan guru dari negara jiran itu akan ditempatkan di kawasan miskin bandar, desa dan pedalaman termasuk di Sabah dan Sarawak dan tidak melibatkan kos tambahan, namun ada kalangan pendidik berasakan ia adalah satu percaturan yang kurang bijak.

Hal ini kerana, ada yang berpendapat sukarelawan guru itu tidak akan memberi impak pengajaran dan pembelajaran (PdP) seperti mana yang telah dilakukan oleh guru tempatan.

Seorang pengguna media sosial, Yuanyi Tan turut meragui keberkesanan sukarelawan guru Bahasa Inggeris yang akan mengajar di lokasi-lokasi tertentu memandangkan faktor geografi yang berbeza.

Dakwanya, rakyat Singapura tidak tahan lasak dan lebih memilih pekerjaan yang lebih selesa.

"Adik-beradik saya semua kerja Singapura dan mereka selalu bercerita, orang Singapura tidak suka jenis-jenis pekerjaan yang memberi tekanan dan bebanan kerja yang banyak.

BACA LAGI: 'Guru sukarelawan Singapura perlu kental fizikal, mental andai kena mengajar di luar bandar, pedalaman'

BACA LAGI: 'Tiada isu persaingan', NUTP sokong penuh modul guru sukarelawan Singapura jika beri faedah

"Selain itu, kebanyakan syarikat di Singapura juga lebih suka menawarkan rakyat Malaysia untuk bekerja.

"Boleh ke sukarelawan guru Singapura mengajar di sini, dengan upah sama dengan guru-guru tempatan dan diberi tugasan sama rata?

"Kalau datang sekadar mengajar sahaja, cuba kita fikir semula?" katanya.

Guru sukarelawan dari Singapura akan berkhidmat dan ditempatkan di kawasan bandar, luar bandar, dan pedalaman yang kurang berkemampuan, termasuk Sabah dan Sarawak. — Gambar Hiasan

Guru sukarelawan Singapura akan berkhidmat dan ditempatkan di kawasan bandar, luar bandar, dan pedalaman yang kurang berkemampuan, termasuk Sabah dan Sarawak. — Gambar hiasan

Tambah Yuanyi Tan lagi, sekiranya guru-guru mendapat keistimewaan yang sama seperti guru sukarelawan terbabit, sudah tentu mereka akan lebih fokus untuk mengajar di dalam kelas.

"Kalau guru Malaysia juga diberi privilege begitu, fokus mengajar sahaja dan tidak dihantui kerja-kerja perkeranian lain, sudah tentu kualiti mengajar pun mesti akan meningkat.

"Tidak perlu bawa masuk guru negara luar. Nak selesai masalah, selesaikan masalah dari akar umbi," ujarnya lagi.

Sebelum ini, media melaporkan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, inisiatif itu memberi peluang kepada murid, guru dan pihak sekolah untuk mendapat pendedahan amalan PdP dan inovasi yang baik.

“Inisiatif sebegini sememangnya sentiasa dilaksanakan KPM dengan melibatkan pertukaran guru dari negara maju seperti Korea, Australia dan Amerika Syarikat.

“Lantikan ini tidak melibatkan sebarang bebanan kos tambahan seperti telahan sesetengah pihak. Sebaliknya ia adalah bukti kerjasama erat diplomatik antara Malaysia dan Singapura.

“Khidmat guru sukarelawan ini akan dibayar oleh kerajaan Singapura,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram