'Tiada isu persaingan', NUTP sokong penuh modul guru sukarelawan Singapura jika beri faedah


  • Massa
  • Jumaat, 21 Jun 2024

Guru sukarelawan dari Singapura akan berkhidmat dan ditempatkan di kawasan bandar, luar bandar, dan pedalaman yang kurang berkemampuan, termasuk Sabah dan Sarawak. — Gambar Hiasan

KESATUAN Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) berharap penggunaan modul guru sukarelawan dari Singapura akan dapat membantu meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan murid di kawasan luar bandar dan pedalaman jika ia dilaksanakan nanti.

Setiausaha Agung NUTP, Fouzi Singon berkata, pihaknya tidak mempunyai sebarang halangan terhadap pelaksanaan program itu selagi ia tidak mengganggu guru tempatan.

Katanya, ketika ini, kerajaan Singapura bersetuju memberi bantuan tenaga pengajar dengan menampung perbelanjaan guru sukarelawan tersebut sepanjang berkhidmat di Malaysia.

BACA LAGI: Tiada kos tambahan, sukarelawan guru Singapura ditempatkan di luar bandar dan pedalaman

BACA LAGI: Bukan lantik guru bahasa Inggeris tapi sukarelawan dibayar pemerintah Singapura — Anwar Ibrahim

"Sehubungan itu, selagi penggunaan modul guru sukarelawan dari Singapura bersifat mendatangkan faedah dan kebaikan kepada kemajuan murid, NUTP akan memberikan sokongan penuh.

"Seperti yang kita tahu, program kerjasama ini masih dalam penelitian dan perbincangan pihak kementerian dan masih belum pasti kaedah dan keberkesanannya," katanya kepada Majoriti.

Fouzi

Setiausaha Agung NUTP, Fouzi Singon

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan berhubung cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membawa tenaga pengajar bahasa Inggeris dari Singapura hanya sebagai sukarelawan bagi membantu meningkatkan penguasaan bahasa berkenaan di kawasan pedalaman.

Menurut Anwar, cadangan tersebut dianggap sebagai skim bantuan daripada segi diplomasi antara negara dan bukan bermaksud Malaysia bertindak melantik guru bahasa Inggeris dari republik berkenaan.

Mengulas lanjut, Fouzi berkata, bantuan tenaga pengajar berkemungkinan mampu meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris rakyat Malaysia pada masa hadapan.

"Tiada isu persaingan dalam kalangan guru tempatan tetapi saling melengkapi dan bekerjasama.

"Jika program dan modul yang dibawa berkesan, ia sekali gus akan meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar terutamanya di pedalaman," ujarnya.

Newspaper as a classroom resource: SMK Tropicana students deep in concentration during an NiE lesson last year.

Bantuan tenaga pengajar sukarelawan Singapura berkemungkinan mampu meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris rakyat Malaysia pada masa hadapan. — Gambar Hiasan

Terdahulu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengesahkan kerajaan menyambut baik cadangan menjemput sukarelawan Singapura bagi tujuan meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar Malaysia.

Beliau menegaskan bahawa inisiatif itu tidak akan melibatkan sebarang kos tambahan seperti yang didakwa sesetengah pihak dengan mengatakan ia hanya dilihat sebagai bukti hubungan diplomatik kukuh dengan Singapura.

Fadhlina berkata, kerajaan Singapura akan menampung perbelanjaan guru sukarelawan tersebut sepanjang berkhidmat di Malaysia.

"Guru sukarelawan dari Singapura akan berkhidmat dan ditempatkan di kawasan bandar, luar bandar, dan pedalaman yang kurang berkemampuan, termasuk Sabah dan Sarawak," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram