CADANGAN membawa masuk tenaga pengajar sukarelawan Bahasa Inggeris dari Singapura bagi membantu meningkatkan penguasaan murid di negara ini terhadap bahasa berkenaan masih lagi menjadi perbualan hangat dalam kalangan guru dan pendidik tempatan.
Sebelum ini perkara tersebut dimaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas pertemuan empat mata dengan rakan sejawatnya dari Singapura, Lawrence Wong di Seri Perdana di Putrajaya.
Menurut Anwar, cadangan tersebut dianggap sebagai skim bantuan daripada segi diplomasi antara negara dan bukan bermaksud Malaysia bertindak melantik guru Bahasa Inggeris dari republik berkenaan.
BACA LAGI: 'Tiada isu persaingan', NUTP sokong penuh modul guru sukarelawan Singapura jika beri faedah
BACA LAGI: Tiada kos tambahan, sukarelawan guru Singapura ditempatkan di luar bandar dan pedalaman
"Tenaga pengajar Bahasa Inggeris dari Singapura hanya sebagai sukarelawan bagi membantu meningkatkan penguasaan bahasa berkenaan di kawasan pedalaman.
"Inisiatif itu tidak akan melibatkan sebarang kos tambahan seperti yang didakwa sesetengah pihak dengan mengatakan ia hanya dilihat sebagai bukti hubungan diplomatik kukuh dengan Singapura," katanya.
Teh Boon Siang ataupun lebih dikenali sebagai Cikgu Teh dalam kalangan muridnya menyambut baik cadangan membawa masuk tenaga pengajar sukarelawan Bahasa Inggeris dari Singapura.
Seorang guru, Teh Boon Siang, menyambut baik cadangan yang diperkenalkan Anwar, dalam usaha meningkatkan tahap penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan murid sekolah.
Malah jelas beliau, manfaatnya bukan sekadar kepada murid tetapi juga berupaya membantu guru-guru.
Bagaimanapun menurutnya, guru sukarelawan perlu bersedia baik dari segi fizikal mahupun mental sekiranya ditempatkan di sekolah pedalaman.
"Mereka seharusnya dapat mengadaptasi persekitaran kerja dengan cepat, di samping mendalami budaya tempatan dan mencari ruang untuk mewujudkan suasana kerja yang seronok.
"Saya sendiri juga seronok sekiranya dapat berkolaborasi dan sedia membantu selagi dapat menyumbang kepada pencapaian murid.
"Jika guru tersebut boleh menguasai bahasa tempatan mungkin satu kelebihan dan lebih memudahkan pergaulan kelak, malah saya yakin dapat mendekatkan guru tersebut dengan komuniti," katanya kepada Majoriti.
Dalam pada itu, guru Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Syed Ahmad (SMKDSA) dekat Kuala Nerang, Kedah itu menjelaskan, perkembangan itu juga boleh menyebabkan berlakunya pertukaran budaya, secara tidak langsung.
"Moga dapat memberi manfaat kepada murid terutamanya dalam penguasaan bahasa Inggeris. Kepada guru sukarelawan, gunakan peluang yang ada untuk berkongsi kepakaran," ujarnya.
Cikgu Farina berharap agar guru yang dihantar nanti perlulah bersedia dan ikhlas mengajar sekiranya ditempatkan di sekolah pedalaman yang jauh dari bandar.
Sementara itu, seorang lagi guru, Farina Rauf turut menyokong cadangan membawa masuk tenaga pengajar sukarelawan Bahasa Inggeris dari Singapura.
"Saya menyambut baik usaha kerajaan dalam membantu Kementerian Pendidikan (KPM) untuk mencapai matlamat murid boleh menguasai Bahasa Inggeris di sekolah jika itu tujuan sebenarnya.
"Hal ini kerana isu kekurangan guru Bahasa Inggeris di Sabah Sarawak bukan berlaku pada hari ini sahaja namun perkara ini sudah kian lama dibangkitkan," katanya.
Cikgu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Madai, Kampung Madai di Sabah itu turut mengakui agak sukar bagi murid di Sabah untuk mendapatkan keputusan yang cemerlang bagi subjek terbabit.
"Banyak faktor yang menyebabkan isu itu terjadi antaranya ialah kekurangan guru yang mahir dalam bidang tersebut, ketinggalan arus pemodenan terutama sekolah di pedalaman.
"Justeru, saya melihat program itu relevan untuk penguasaan Bahasa Inggeris murid sekali gus dapat membantu menyelesaikan isu kekurangan guru bagi subjek yang kritikal di sekolah dengan secepat mungkin," ujarnya.
Namun begitu, Farina juga berharap agar guru yang dihantar nanti perlulah bersedia dan ikhlas mengajar sekiranya ditempatkan di sekolah pedalaman yang jauh dari bandar.
"Kriteria yang perlu ada bagi seorang guru yang akan bertugas di sekolah pedalaman adalah mental dan fizikal kena kuat, berdikari, terima apa jua cabaran mendatang, yang paling penting ikhlas dalam mendidik murid tidak kira masyarakat, agama mahupun bangsa," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram