Risiko budak lelaki didiagnosis autisme, lebih 4 kali ganda berbanding perempuan — Pakar


  • Massa
  • Ahad, 23 Jun 2024

Statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat sehingga November 2022, seramai 40,250 individu di Malaysia disahkan mempunyai autisme dan daripada angka itu, lebih 31,000 terdiri daripada golongan lelaki, manakala selebihnya adalah perempuan.

AUTISME atau Masalah Spektrum Autistik (ASD) merupakan gangguan perkembangan neurobiologi kompleks yang memberikan kesan terhadap interaksi sosial, komunikasi, minat dan tingkah laku individu.

Gejala autistik boleh bervariasi daripada ringan hingga parah dan setiap individu dengan autisme mempunyai ciri-ciri unik mereka tersendiri.

Seperti di kebanyakan negara lain, autisme merupakan isu kesihatan yang semakin mendapat perhatian di Malaysia.

BACA LAGI: [VIDEO] NGO sokong usaha Nasom, akui penubuhan SAVe demi masa depan individu autisme

BACA LAGI: NASOM minta PDRM pertimbang tarik balik saman bapa budak autisme biar anak pandu kereta sendiri

Tahap kesedaran dan pengetahuan mengenai autisme dalam kalangan masyarakat di negara ini semakin meningkat, malah pendekatan untuk menyokong individu dengan autisme dan keluarga mereka juga semakin diperkukuh.

Statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat sehingga November 2022, seramai 40,250 individu di Malaysia disahkan mempunyai autisme dan daripada angka itu, lebih 31,000 terdiri daripada golongan lelaki, manakala selebihnya adalah perempuan.

Profesor Dr Nursuriati Jamil

Profesor Dr Nursuriati Jamil

Menurut Presiden Pusat Sumber Autisme Kebangsaan (NARC), Profesor Dr Nursuriati Jamil, kanak-kanak autistik boleh dikesan seawal usia dua tahun dan kebanyakannya hanya dapat dikesan selepas mereka berusia empat tahun.

"Namun, agak sukar untuk mengenal pasti simptom autistik dalam kanak-kanak perempuan kerana mereka pandai menyembunyikan tanda-tanda tersebut.

"Susulan daripada itu, ada kes budak perempuan yang menghidap autisme berjaya dikesan hanya selepas mereka sudah menjangkau usia tujuh tahun ke atas.

"Melalui kajian yang dilakukan secara global, lelaki mungkin lebih cenderung untuk menunjukkan tanda-tanda autisme yang lebih ketara, seperti masalah komunikasi dan interaksi sosial yang terhad, berbanding perempuan.

"Oleh itu, lelaki mungkin lebih mudah dikenal pasti dan didiagnosis dengan autisme pada peringkat awal pembangunan kanak-kanak," katanya kepada Majoriti.

Profesor Madya Dr Azlina Wati Nikmat

Profesor Madya Dr Azlina Wati Nikmat

Sementara itu, Profesor Madya Dr Azlina Wati Nikmat berkata, simptom autisme pada kanak-kanak perempuan adalah berbeza berbanding kanak-kanak lelaki.

Beliau memberitahu, ini kerana mereka tidak menunjukkan sifat yang biasanya dikaitkan dengan autisme.

"Sebahagian besar (input) banyak berdasarkan penyelidikan yang tertumpu kepada kanak-kanak lelaki.

"Sebagai contoh, tingkah laku berulang dan kesukaran dengan kawalan impuls mungkin lebih kerap muncul pada kanak-kanak lelaki autistik berbanding kanak-kanak perempuan autistik.

"Kanak-kanak perempuan mungkin menyembunyikan gejala mereka atau meletakkan lebih banyak masa dan tenaga untuk mempelajari norma sosial.

"Kanak-kanak perempuan autisme juga lebih berkemungkinan untuk menjalin persahabatan berbanding lelaki autisme," ulasnya.

autisme-majalahsains

Kanak-kanak lelaki lelaki mungkin lebih cenderung untuk menunjukkan tanda-tanda autisme yang lebih ketara, seperti masalah komunikasi dan interaksi sosial yang terhad, berbanding perempuan. — Gambar Hiasan

Ditanya mengenai risiko penyakit tersebut, Dr Azlina menjelaskan, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC) turut menganggarkan risiko kanak-kanak lelaki didiagnos dengan autisme adalah lebih empat kali ganda berbanding kanak-kanak perempuan.

Tambah beliau, situasi itu berlaku disebabkan struktur dan fungsi otak lelaki yang berbeza daripada perempuan.

"Autisme juga tidak boleh sembuh tetapi simptom hanya boleh dikurangkan melalui intervensi, terapi, adapatasi atau modifikasi. Mereka yang menghidap autistik perlu hidup dengan penyakit tersebut sehingga dewasa," jelasnya.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram