[VIDEO] Lelaki maut tersepit, lori bawa generator elektrik terjunam masuk lubang jalan mendap di Jambatan Bailey


  • 112
  • Khamis, 20 Jun 2024

Seorang lelaki maut selepas lori dipandunya terbabas sebelum terjunam ke dalam lubang jalan mendap berhampiran Jambatan Bailey di Seksyen 102, Kilometer 73, Jalan Kuantan-Segamat pada Rabu.

SEORANG pemandu lori maut selepas kenderaan berat yang dipandunya terjunam ke dalam lubang jalan mendap berhampiran Jambatan Bailey di Seksyen 102, Kilometer 73, Jalan Kuantan-Segamat dekat Pekan, Pahang, Rabu.

Mangsa yang dikenali sebagai Muhammad Farhan Dagang, 29, beralamat di Kampung Cahaya Baru, Masai, Johor mengalami cedera parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Menurut Ketua Polis Daerah Pekan, Superintenden Mohd Zaidi Mat Zin, siasatan awal mendapati, lori jenis Hino membawa muatan generator elektrik dipandu mangsa dipercayai dalam perjalanan dari arah Segamat menghala ke Pekan.

BACA LAGI: [VIDEO] Sempat rakam memori terakhir bersama rakan, pelancong wanita maut kepala ditimpa bongkah batu di China

BACA LAGI: [VIDEO] Remaja maut putus kaki di lebuh raya 'belum siap' di Kok Lanas

"Kemalangan berlaku pada pukul 8.55 malam Rabu.

"Lori dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan dan terlanggar penghalang jalan plastik sebelum terjunam masuk ke dalam lubang jalan mendap.

"Hasil siasatan awal mendapati, kemalangan akibat terbabas sendiri dipercayai pemandu tidak menyedari amaran kawasan lencongan jambatan sementara di lokasi itu," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mohd Zaidi berkata, siasatan di tempat kejadian mendapati keadaan jalan berselekoh (lencongan), satu lorong dua hala, garisan tengah kuning sebagai pembahagi jalan, jalan berturap dan terdapat penghalang plastik di kiri dan kanan laluan.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pekan untuk proses bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria, berkata sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Chini dihantar ke lokasi selepas menerima maklumat kemalangan.

"Setiba di tempat kejadian, sebuah lori didapati terjunam yang menyebabkan pemandunya tersepit dalam kenderaan itu. Mangsa dikeluarkan dengan menggunakan peralatan menyelamat sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram