[VIDEO] Hasnizan Harun dedah cara terus berjuang demi rakyat walaupun tanpa peruntukan kerajaan Pusat


  • Politik
  • Sabtu, 22 Jun 2024

Hasnizan diangkat menjadi wakil rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

AHLI Parlimen Hulu Selangor, Hasnizan Harun menegaskan bahawa kekurangan dana tidak menjadi halangan baginya untuk terus berbakti kepada masyarakat di kawasan Hulu Selangor.

Walaupun beliau tidak menerima peruntukan daripada kerajaan Pusat, namun Hasnizan mempunyai caranya tersendiri.

Hasnizan yang juga yang Di-pertua PAS Hulu Selangor menjelaskan bahawa beliau telah menggunakan pelbagai pendekatan untuk memastikan kebajikan rakyat terjaga.

BACA LAGI: ADUN Jeram sudah lama turun padang, cadang ‘Simpang Mario’ ditutup selama-lamanya

BACA LAGI: Masalah 'Persimpangan Mario' dijangka selesai hujung bulan ini — Harrison Hassan

"Antara langkah yang diambil termasuklah menggunakan jentera kerajaan yang sedia ada.

"Sebagai contoh, sekiranya berlaku masalah di Kawasan taman-taman perumahan yang, saya akan membuat laporan secara bertulis dan mengambil gambar di kawasan tersebut.

"Aduan dan laporan itu akan diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan semua agensi yang terlibat.

"Kami membuat aduan menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) Kerajaan Negeri Selangor.

"Dari situ, saya boleh bantu rakyat menggunakan jentera kerajaan," katanya kepada Majoriti.

Tambah Hasnizan lagi, beliau akan turun padang dan bergaul dengan masyarakat setempat di kawasannya untuk melihat sendiri masalah rakyat.

"Tak kira sekiranya ada jemputan, sekiranya ada benda-benda yang perlu untuk saya hadir saya akan hadir bersama.

"Jadi sebenarnya tugas wakil rakyat ini bukan sekadar sebab duit saja kerana kadang-kadang masyarakat itu sendiri ingin melihat bagaimana wakil rakyat bersama dengan masyarakat. Itu yang penting," tegasnya.

Beliau menambah bahawa kehadirannya secara konsisten di kalangan masyarakat telah mewujudkan hubungan yang erat dan mesra dengan penduduk tempatan.

"Kemesraan saya dengan mereka ini terjalin kerana saya sering bersama dengan mereka. Ini adalah salah satu kekuatan saya.

"Selain itu, ahli-ahli PAS di belakang tabir banyak membantu saya, sama ada dari segi kewangan atau tenaga. Begitu juga dengan badan bukan kerajaan (NGO) yang sentiasa sedia membantu. Semua ini adalah sumber kekuatan saya.

"Sehingga sekarang, walaupun dah setahun tujuh bulan saya bergerak tanpa peruntukan, tetapi saya diberi kekuatan dengan kaedah seperti itu,"katanya.

Untuk rekod, Hasnizan diangkat menjadi wakil rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram