KISAH pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali kini hangat diperkatakan oleh warga maya yang rata-ratanya berang, apabila beliau dipercayai menjadi suspek utama kes penderaan tragis kanak-kanak orang kurang upaya (OKU), Bella.
Seperti biasa, netizen menjalankan tanggungjawab mereka untuk 'menggali' semula kisah-kisah lama Siti Bainun, termasuk dikaitkan mempunyai hubungan bersama salah seorang anak pemimpin politik terkemuka tanah air.
Selain itu, 10 peguam yang mewakilinya turut dikecam hebat oleh netizen kerana dianggap seolah-olah menyokong kekejaman yang dilakukan terhadap Bella.
Terbaharu, netizen mempersoalkan kebenaran wanita berusia 30 tahun itu mendapatkan sementara pasport, bagi membolehkannya menghadiri program sukarelawan di Filipina.
Meskipun berita itu disiarkan pada 28 Januari lepas, perasaan tidak puas hati dalam kalangan netizen masih timbul kerana wanita tersebut ketika itu masih lagi dalam perbicaraan mahkamah.
@Nik_Mohd_Fitri menyifatkan bahawa undang-undang rimba hanya wujud di Malaysia.
"Masih dalam perbicaraan kes penderaan yang sangat kejam, (tetapi) dibenarkan mendapat pasport.
"Warga Twitter tolong jadikan kes adik Bella trending. Undang-undang sangat tidak adil kerana membenar manusia sekejam Siti Bainun ke sana ke sini tanpa direman, tanpa digari dan dibenarkan dapat pasport," katanya menerusi hantaran di laman Twitter.
Turut kesal dengan perkara itu, @CikPutih7 berkata, undang-undang di negara ini juga disifatkan paling kelakar di dunia.
"Kes kecik ka kes besaq semua settle kalau ada kroni, kalau ada duit banyak. Semua boleh beli," katanya.
Tangkap layar komen netizen berkaitan kebenaran mendapatkan sementara pasport terhadap Siti Bainun.
Sementara itu, @hanturbo berkata, ALLAH SWT mahu memberitahu manusia di Malaysia bahawa undang-undang di negara ini tidak boleh dipakai.
"Sebab tu ramai yang dok gila kuasa sebab nanti undang-undang depa punya. Ramai ja yang dianiaya dengan kes-kes bodoh yang kita tak pernah tahu.
"Takpa dik Bella, ALLAH tak pernah buat kerja sia-sia," katanya.
@c1t0d0s1 berkata, walaupun berita tersebut telah lama disiarkan, namun kebenaran wanita itu untuk mendapatkan pasport disifatkan tidak adil.
"Orang ada 'connection' dengan mudah boleh keluar negara walaupun ada kes," ujarnya.
@kecaman pula menulis: "Banyak sangat kabel (cable) dia ni. Time inilah rasanya pengaruh TMJ (Tunku Mahkota Johor) dengan barisan lawyer (peguam) perlu buat sesuatu kot,"
Terdahulu, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 28 Januari lalu, membenarkan permohonan Siti Bainun untuk mendapatkan sementara pasport, bagi membolehkan beliau menghadiri program sukarelawan di Filipina.
Hakim Izralizam Sanusi memberikan pelepasan sementara pasport itu dari tarikh tersebut hingga 11 Februari, selepas mendengar hujahan peguam Farhan Maaruf, yang mewakili Siti Bainun, dan Timbalan Pendakwa Raya, Zilfinaz Abbas.
"Perkara pertama yang dinilai oleh mahkamah ialah sama ada terdapat asas untuk tertuduh melarikan diri. Saya berpendapat tiada risiko untuk pemohon melarikan diri dan berdasarkan rekod, pemohon tidak pernah gagal hadir di mahkamah dan sentiasa memberikan kerjasama.
"Setelah mempertimbang hujahan pihak pembelaan dan pendakwaan, mahkamah membenarkan pemulangan sementara pasport bermula hari ini (28 Januari) dan pemohon perlu menyerahkannya semula kepada mahkamah, sebelum atau pada 11 Februari, selain wang jaminan sebelum ini RM17,000 dinaikkan RM3,000 menjadikan keseluruhannya RM20,000," katanya.
Siti Bainun, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan, iaitu mengabai dan menganiaya seorang remaja perempuan Sindrom Down berusia 13 tahun sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah kondominium di Wangsa Maju di ibu negara di antara Februari dan Jun 2021.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram