KES penderaan membabitkan remaja Orang Kelainan Upaya (OKU) Sindrom Down dikenali sebagai Bella mendapat perhatian ramai.
Ia susulan tindakan Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali didakwa mengabai dan menganiaya remaja perempuan berkenaan sehingga mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.
Bersimpati dengan nasib Bella, isteri Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Che' Puan Besar Khaleeda Bustamam menyatakan kesudian membantu remaja berkenaan untuk mendapat keadilan sewajarnya.
Menurut Che Puan Besar Khaleeda, beliau sanggup melakukan apa sahaja untuk membantu remaja terbabit.
Che Puan Besar Khaleeda memuat naik kenyataan itu di Instagram miliknya dipercayai sebagai membalas tindakan seorang peguam kepada Siti Bainun memuat naik sekeping gambar bersama-sama tertuduh dan barisan peguam yang membelanya.
Susulan itu, Tunku Ismail pada Sabtu memaklumkan pihaknya sudah berbincang dengan peguam tentang kes tersebut.
Tunku Ismail turut menghubungi Menteri Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun untuk menawarkan perkhidmatan peguamnya secara percuma.
Menyambut baik langkah itu, Rina pada Ahad memaklumkan sedia bekerjasama dengan Tunku Ismail bagi membantu prosiding pembelaan kes Bella.
Namun tindakan Rina yang baru muncul selepas 'diseru' oleh Tunku Ismail mengundang kritikan warganet.
Keberadaan Rina berhubung kes Bella mengundang persoalan warganet. — Bernama
Pengguna Facebook, Aliff Ahmad, mendakwa Rina sebelum ini hanya mendiamkan diri dan tidak memberikan tanda sokongan sepanjang kes perbicaraan Bella.
"Kami telah berjumpa beliau di pejabatnya tahun lalu atas jemputannya untuk menghantar memorandum.
"Tiba-tiba, selepas Tunku Ismail mengeluarkan kenyataan, laju sahaja menawarkan diri untuk berjumpa baginda.
"Walhal, beliaulah orang yang sepatutnya menjadi juara memperjuangkan nasib Bella.
"Tidak, beliau tidak berbuat demikian. Walaupun beliau sebenarnya ada segala dokumen yang kami telah hantar dalam memorandum. Beliau telah dengar segala cerita kami.
"Beliaulah yang sepatutnya menjadi singa betina yang mengamuk melihat 'anaknya' dicederakan sebegitu rupa.
"Beliau ada segala akses untuk memberi tekanan (kepada Siti Bainun). Ada beliau buat?" katanya menerusi hantaran pada Ahad. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram