Jururawat tenangkan Bella, masih takut dan trauma jumpa sesiapa


  • Tular
  • Isnin, 18 Apr 2022

Tangkap layar aksi Bella (dua dari kiri) yang kelihatan takut untuk berdepan orang ramai dan hanya mahu berkepit dengan seorang jururawat.

KANAK-KANAK orang kelainan upaya (OKU) yang didera, dikenali sebagai Bella dilihat takut dan trauma apabila berhadapan dengan orang ramai ketika menerima rawatan kesihatan.

Menerusi sebuah video yang kembali tular baru-baru ini, Bella, 13, hanya menundukkan pandangan dan mengelak daripada bertentang mata dengan orang ramai termasuk Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun.

Sebaliknya, dia dilihat kerap memegang lengan selain hanya mahu berkepit dengan seorang jururawat yang menenangkannya.

Video lama itu dimuatnaik semula oleh seorang pengguna TikTok, @leeyaaamylia ketika lawatan Rina Harun di Rumah Kanak-Kanak Rembau di Negeri Sembilan pada Julai tahun lalu.

Terdahulu pada Ahad, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sedia bekerjasama dengan peguam Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bagi membantu kes prosiding penderaan membabitkan Bella.

Sebelum ini, Tunku Ismail menerusi Instastory di Instagram rasmi baginda memaklumkan sudah menghubungi peguamnya dan akan berhubung dengan Rina bagi menawarkan perkhidmatan peguam secara percuma untuk menjalankan arahan memerhati bagi pihak kementerian berhubung kes penderaan remaja berkenaan.

Titah dikeluarkan Tunku Ismail itu beberapa jam selepas isterinya, Che Puan Khaleeda Bustamam berkongsi pendiriannya di laman sama, bagi membantu menuntut keadilan buat remaja perempuan Down Sindrom berkenaan.

Kisah Bella didakwa didera dan diabaikan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali, 31, mendapat perhatian seluruh rakyat Malaysia dan prosiding mahkamah berkaitan kes berkenaan masih berjalan.

Siti Bainun didakwa atas dua pertuduhan iaitu mengabaikan dan menganiaya Bella sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram