Bicara kes dera Bella, TMJ seru nama menteri


  • Massa
  • Ahad, 17 Apr 2022

TMJ sedia tawar khidmat peguam kepada Kementerian Keluarga, Wanita dan Masyarakat untuk kes Bella. — Bernama

ISTERI Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Che Puan Besar Khaleeda Bustamam pada Sabtu menyatakan kesudian untuk membantu remaja orang kelainan upaya (OKU) sindrom Down dikenali sebagai Bella mendapatkan keadilan yang sewajarnya.

Che Puan Besar Khaleeda menerusi hantaran di Instagram miliknya pada Sabtu memaklumkan sanggup melakukan apa sahaja untuk membantu remaja OKU itu.

"Saya akan lakukan apa saja dengan kuasa yang saya ada bagi mendapatkan keadilan untuk Bella. Saya kecewa dan letih melihat si pengecut yang berfikir mereka boleh buat apa saja terhadap kanak-kanak teraniaya.

"Kamu boleh bersembunyi di sebalik barisan peguam tetapi karma akan hadir pada waktunya di dunia ini dan akhirat," tulisnya dalam Instagram miliknya.

Susulan kenyataan itu, Tunku Ismail menerusi kenyataan pada Sabtu, memaklumkan pihaknya sudah berhubung dan berbincang dengan para peguamnya tentang kes penderaan Bella.

"Kes ini sedang berjalan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan pihak pendakwaan kerajaan sudah memulakan perbicaraan terhadap orang kena tuduh (OKT) dalam kes tersebut.

"Kes pendakwaan pada ketika ini melibatkan dua pihak iaitu pendakwa raya kerajaan bagi pihak kerajaan/awam dan peguam bela yang dilantik untuk mewakili OKT.

"Saya akan menghubungi Menteri Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun dan menawarkan perkhidmatan peguam-peguam saya secara untuk menjalankan arahan memerhati (watching brief) bagi pihak kementerian untuk kes ini," ujar Tunku Ismail menerusi ciapan di Twitter.

Screenshot 2022-04-17 104524

Siti Bainun (kanan) berdepan dua pertuduhan membabitkan kes Bella.

Siti Bainun, 30, sebelum itu mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

Dia didakwa melakukan perbuatan di sebuah kondominium di Wangsa Maju, Kuala Lumpur antara Februari dan Jun 2021.

Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram