Kes Bella: Rina sedia menghadap TMJ


  • Primer
  • Ahad, 17 Apr 2022

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun.

KEMENTERIAN Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sedia bekerjasama dengan peguam Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam kes membabitkan remaja Sindrom Down, Bella yang dianiaya.

Menterinya, Datuk Seri Rina Harun berkata, pihaknya bersedia untuk menghadap Tunku Ismail bagi mempersembahkan status kes perbicaraan Bella, dan tindakan-tindakan yang telah disusuli oleh KPWKM dalam membantu perbicaraan kes tersebut.

"Sesungguhnya patik amat terharu dengan keprihatinan dizahirkan Tuanku dan Che Puan Besar (Khaleeda Bustamam) yang sama-sama mengikuti perkembangan kes perbicaraan ini.

"Titah Tuanku yang berkenan menawarkan khidmat peguam secara percuma untuk menjalankan arahan memerhati (watching brief) bagi pihak KPWKM untuk kes ini amatlah bermakna dalam memperkasakan usaha menegakkan keadilan buat adik Bella," katanya dalam satu hantaran di Instagram pada Ahad.

Justeru, Rina berkata, pihaknya akan bekerjasama rapat dengan pihak peguam yang dititahkan oleh baginda.

Tunku Ismail dalam satu hantaran Instastory pada Sabtu menitahkan bahawa baginda sudah berbincang dan berhubung dengan peguamnya dan akan menghubungi Rina untuk menawarkan perkhidmatan peguam secara percuma.

Dalam pada itu Rina menyeru orang ramai berdoa supaya keadilan dalam kes Bella berjaya ditegakkan.

"Buat seluruh Keluarga Malaysia, dalam bulan Ramadan yang mulia ini, marilah kita terus memanjatkan doa semoga urusan perbicaraan kes penderaan adik Bella dipermudahkan dan kebenaran dan keadilan dapat dibuktikan di akhir perbicaraan kelak," katanya.

Siti Bainun, 30, menghadapi dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini antara Februari dan Jun 2021. Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram