Pejuang desak siasat operasi Rumah Bonda


  • Primer
  • Isnin, 18 Apr 2022

Siti Bainun (baju merah) berdepan pertuduhan mengabai dan mendera Bella. — Bernama

SIASATAN menyeluruh diperlukan terhadap kes penderaan remaja Orang Kelainan Upaya (OKU) yang mengalami sindrom Down iaitu Bella.

Kenyataan itu dilontarkan oleh Ketua Pejuang Wanita, Datin Paduka Asmah Ibrahim.

Menurutnya, siasatan perlu dijalankan untuk mengetahui bagaimana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) membenarkan Rumah Bonda beroperasi meskipun tidak berdaftar.

Asmah berkata, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat perlu tampil menjelaskan kepada rakyat tentang persepsi bahawa sebuah agensi di bawah kementerian tersebut melindungi individu berpengaruh.

"Saya harap siasatan tidak terhenti di mahkamah kerana saya percaya pihak berkuasa bertanggungjawab memastikan rumah itu dipantau.

"Dalam isu ini, saya tidak faham bagaimana JKM membenarkan Rumah Bonda beroperasi tanpa lesen untuk sekian lama," katanya.

Screenshot 2022-04-18 161756

Seorang remaja Sindrom Down menunjukkan sokongan terhadap Bella. — Bernama

Asmah juga berkata, adalah menjadi tanggungjawab kementerian untuk menjelaskan kepada rakyat tentang prosedur operasi standard (SOP) JKM untuk kanak-kanak di bawah jagaannya.

"Kegagalan JKM dalam melaksanakan tanggungjawab terhadap kanak-kanak istimewa yang diletakkan di bawah rumah perlindungan kanak-kanak perlu disiasat kerana keselamatan mereka tidak boleh dikompromi.

"Sebelum ini, diketahui bahawa Bella berada di bawah JKM sebelum dihantar ke Rumah Bonda yang menunjukkan ia mengetahui kewujudan rumah perlindungan kanak-kanak itu.

"Persoalannya, apakah asas Jabatan Kebajikan Masyarakat memberi kebenaran kepada pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali untuk menjaga Bella, kerana jabatan itu hanya membenarkan mereka yang layak berbuat demikian selepas menyemak latar belakang individu," ujarnya.

Asmah, yang merupakan bekas ketua pegawai eksekutif Yayasan Kebajikan Negara berkata, operasi semua institusi kebajikan yang menjaga kanak-kanak istimewa perlu diteliti kerana kanak-kanak berkenaan tidak dapat menyuarakan hak mereka.

Siti Bainun, 30, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan mengabai dan mendera remaja tersebut sehingga menyebabkan kecederaan serta trauma emosi.

Kes berkenaan menarik perhatian ramai di seluruh negara kerana penderaan yang dilakukan adalah tidak berhati perut. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram