Prosiding Bella bikin panas, netizen tuduh peguam Siti Bainun batu api


Seorang kanak-kanak memegang kertas menuntut keadilan untuk Bella ketika hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur baru-baru ini. — Bernama

KES melibatkan seorang pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali yang didakwa mengabai dan menganiaya seorang remaja kanak-kanak Sindrom Down, Bella mendapat perhatian ramai yang simpati terhadap nasib yang dialami remaja itu.

Bella ditemui dengan kesan kecederaan seperti melecur di bahagian tangan, dada, paha dan beberapa bahagian lain serta kesan luka lama terdapat pada tubuh badannya.

Salah seorang peguam yang mewakili tertuduh, Hafidzah Hassan diserang netizen di Twitter selepas memuat naik beberapa hantaran mengenai kes tersebut.

Ramai yang menasihatinya supaya mengamalkan sikap profesionalisme dalam menjalankan tugasnya dan tidak membawa perkara itu ke media sosial.

"Hafidzah, nasihat saya adalah simpan untuk diri sendiri, jadi peguam yang betul-betul perjuangkan keadilan dan berperanglah sebaiknya dalam mahkamah. Jangan jadi batu api dan mengejar populariti dan akhir sekali bezakanlah manusia dan syaitan," kata @malaysiadude.

"Perjuangan kamu adalah dalam mahkamah, bukan lawan dengan netizen. Fokus kepada kes anda. Nak kawal persepsi umum buat apa? soal @harasnamhar.

"Jadilah profesional... bertugas di lapangan sahaja... di luar lapangan menutup diri," kata @riesna_zasly pula.

Siti bainun mahkamah

Pengasas rumah bonda, Siti Bainun Ahd Razali. — Bernama

Sebilangan netizen turut mengecamnya kerana sanggup membela tertuduh walaupun selepas melihat apa yang berlaku kepada Bella.

"Saya hargai laporan-laporan anda. Tetapi saya nak tanya satu, adakah kamu ingat sebab-sebab mengapa kamu mahu jadi peguam? Beritahu saya, selepas lihat apa yang terjadi kepada Bella, kamu rasa tiada unsur penderaan? Kalau kamu yakin bukan Bainun yang dera, beritahu kami siapa yang lakukan. Kami hanya mahu keadilan buat Bella," kata @AbdShidah.

"Keadilan yang sebenar adalah di akhirat. Ingat itu apabila anda mempertahankan seseorang yang melakukan perkara sedemikian terhadap kanak-kanak yang malang. ALLAH tahu segala-galanya. Jangan pernah lupakan," ujar @Elise_JeTaime.

Siti Bainun, 30, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah kondominium di Wangsa Maju, Kuala Lumpur antara Februari dan Jun 2021.

Dia dituduh mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram